Images
  • obesity
    Masalah kegemukan dijangka menjadi punca utama barah dalam kalangan wanita menjelang 2043. (Gambar: David McNew/Reuters)

Kegemukan punca utama barah dalam kalangan wanita?

LONDON: Masalah kegemukan dijangka akan mengatasi merokok sebagai punca barah yang boleh dicegah dalam kalangan wanita di Britain, menurut satu laporan baru.

Cancer Research UK menganggarkan seramai 23,000 wanita rakyat Britain akan menghidap barah yang ada kaitan dengan kegemukan menjelang 2035. Jumlah itu hanya 2,000 lebih rendah berbanding bilangan kes barah disebabkan oleh merokok, lapor agensi berita CNN.

Malah, ia mendapati bahawa masalah kegemukan akan menjadi punca utama barah dalam kalangan wanita menjelang 2043 jika trend itu berterusan.

Merokok kini dikaitkan dengan 12.4 peratus barah dalam kalangan wanita di Britain, berbanding 7.5 peratus yang disebabkan oleh kegemukan, menurut Jurnal Barah Britain.

"Buat masa ini, masalah kegemukan adalah satu ancaman besar terhadap kesihatan awam dan ia akan menjadi bertambah buruk jika tiada sebarang langkah diambil bagi menanganinya," kata Linda Bauld, seorang pakar pencegahan di Cancer Research UK.

"TINDAKAN TEGAS" DIPERLUKAN BAGI TANGANI KEGEMUKAN

Lebih 25 peratus daripada jumlah penduduk Britain mengalami masalah kegemukan dan negara itu juga mempunyai kadar kegemukan yang paling tinggi di bahagian barat Eropah, menurut Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD).

Meskipun kajian baru itu tertumpu kepada kaum hawa, Charlotte Bevan, seorang profesor biologi barah di Kolej Imperial London memberitahu CNN bahawa trend itu adalah sesuatu yang tidak dapat dielakkan bagi kedua-dua jantina.

"Sedang kadar merokok dalam kalangan lelaki semakin merosot, kami akan menyaksikan trend yang sama pada lelaki dan wanita - dengan masalah kegemukan menjadi 'pembunuh' utama berbanding merokok," kata Dr Bevan.

"Kebanyakan perubahan fizikal dan kimia di dalam tubuh yang disebabkan oleh kegemukan boleh merangsang barah dan menyebabkan jenis-jenis barah tertentu seperti barah prostat dan barah payu dara merebak," tambah beliau lagi.

Ketua Pemakanan di Jabatan Kesihatan Awam England, Alison Tedstone, pula berkata bahawa negara itu sudah menyaksikan "perubahan besar terhadap merokok," namun menambah: "Tindakan tegas perlu diambil bagi menangani masalah kegemukan, iaitu cabaran sesebuah generasi."

"Adalah membimbangkan jika masalah kegemukan boleh menjadi punca terbesar barah yang dapat dicegah dalam kalangan wanita tidak lama lagi," kata Caroline Cerny dari Obesity Health Alliance, sebuah perikatan yang terdiri daripada lebih 40 pertubuhan dan tabung amal untuk mengurangkan masalah tersebut.

CNN juga menukil Cik Cerny sebagai berkata: "Faktor persekitaran seperti iklan serta promosi makanan dan minuman yang tidak sihat turut menyumbang kepada krisis kesihatan awam ini."

- Agensi berita/AI/ai

Top