Images
  • semput
    (Gambar: David McNewGetty/AFP)

Kanak-kanak berlebihan berat badan lebih risiko hidap semput

(Reuters Health) - Golongan kanak-kanak dan remaja yang mempunyai berat badan berlebihan lebih berkemungkinan menghidap semput, menurut satu kajian Amerika Syarikat.

Meskipun keadaan berat badan berlebihan sudah lama dikaitkan dengan semput di kalangan orang dewasa, kajian sehingga kini mengemukakan bukti-bukti bercanggah tentang sama ada ini juga benar bagi golongan kanak-kanak, menurut para pengkaji dalam Pediatrics.

Kajian sedia ada dijalankan ke atas lebih 500,000 kanak-kanak, berusia dua hingga 17 tahun, untuk tempoh purata empat tahun, Secara keseluruhannya, sekitar lapan peratus disahkan menghidap semput.

Berbanding kanak-kanak yang mempunyai berat badan sihat, kanak-kanak dengan berat badan berlebihan 17 peratus lebih berkemungkinan menghidap semput manakala belia dengan berat badan berlebihan 26 peratus lebih berkemungkinan menghidap semput, menurut kajian itu. Ini berdasarkan satu diagnosis atau pemberian ubat semput tetapi bukan hasil ujian pernafasan.

Kajian itu bukan eksperimen yang terkawal untuk membuktikan sama ada atau bagaimana berat badan berlebihan mungkin menyebabkan semput secara langsung. Bagaimanapun, menurut penulis utama kajian itu Dr Jason Lang di Sekolah Perubatan Universiti Duke di Durham, North Carolina, hasilnya menyarankan ada kaitan.

Kadar kegemukan berlebihan juga boleh mencetuskan faktor-faktor risiko kardiometabolik seperti kadar kolesterol tinggi dan ketidakupayaan untuk menggunakan insulin hormon untuk menukar gula darah kepada tenaga yang boleh menyekat salur udara, tambah Encik Lang.

Para pengkaji membuat penilaian bahawa sekitar 23 peratus hingga 27 peratus kes kanak-kanak yang menghidap semput, mungkin disebabkan secara langsung oleh masalah berat badan berlebihan. 

- Reuters/NA/na

Top