Images
  • china couple
    Gambar: Weibo

Kalau jodoh tak ke mana, suami isteri tidak sedar pernah bergambar 18 tahun lalu

CHENGDU, SICHUAN: Nampaknya, lirik lagu nyanyi P.Ramlee dan Saloma dalam filem Anak Bapak, "kalau jodoh tak ke mana," memang benar-benar boleh berlaku.

Begitulah kisah cinta sepasang suami isteri dari China yang setelah lima tahun bernikah, mendapati bahawa mereka pernah terlintas jalan hampir 20 tahun lalu sebelum mengenali satu sama lain.

Encik Ye dan isterinya Cik Xue bertemu dan jatuh cinta pada 2011 di Chengdu. Mereka kemudian dianugerahi sepasang kembar.

Namun, baru-baru ini, mereka mendapati bahawa kedua-duanya pernah berada di tempat yang sama pada waktu yang sama pada Julai 2000. Malah, si suami menemukan dirinya dalam gambar isterinya ketika beliau mengunjungi Lapangan May Fourth di bandar Qingdao!

Sina News melaporkan bahawa Encik Ye terjumpa gambar itu 4 Mac lalu sedang beliau menyelak gambar-gambar isterinya pada zaman dahulu di rumah ibu mertuanya.

Alangkah terperanjatnya beliau apabila mendapati bahawa dalam sekeping gambar isterinya yang berlatarbelakangkan sebuah arca di lapangan di daerah Tiongkok, dirinya sedang berdiri, mengambil gambar.

Mujurlah ketika itu Encik Ye sedang mengikuti lawatan berpandu untuk menggantikan ibunya yang tidak dapat datang kerana sakit. Sementara itu, bakal isterinya pula mengunjungi daya tarikan tersebut untuk mengambil angin dengan ibunya yang baru menjalani pembedahan tiga bulan sebelumnya.

Encik Ye dengan serta-merta mengenal pasti bahawa lelaki berbaju biru dengan seluar hitam dalam gambar itu adalah dirinya.

"Apabila saya ternampak gambar itu, saya terperanjat dan bulu roma saya berdiri ... itu memang posisi saya ketika mengambil gambar. Saya juga sedang mengambil gambar, dan posisinya sama (seperti yang diambil dalam gambar Cik Xue), hanya dari sudut berbeza," katanya kepada Sina News.

Lebih menakjubkan lagi, Encik Ye berjaya menemukan gambarnya dan kemudian berkongsi kedua-duanya di media sosial. Tidak hairanlah catatannya itu menjadi viral dengan ramai daripada rakan-rakan Encik Ye menyatakan bahawa kedua-dua pasangan tersebut memang ditakdirkan untuk bersama.

Sina News turut melaporkan bahawa Encik Ye merancang untuk membawa keluarganya ke tempat yang sama pada masa hadapan.

"Ia kelihatan seperti Qingdao sememangnya antara bandar yang sangat istimewa (bagi kami). Apabila anak-anak kami sudah dewasa, kami akan pergi ke Qingdao sekali lagi dan mengambil gambar sekeluarga," katanya.  

- Agensi berita/SM/sm

Komen Anda?

Top