Images
  • Sleep generic
    (Gambar: Pixabay/Free-Photos)

Kajian: Waktu tidur jejas masa yang diluangkan untuk 'tidak melakukan apa-apa'

REUTERS: Satu kajian mendapati bahawa golongan remaja yang mempunyai masa tidur yang mencukupi, mengurangkan masa yang diluangkan untuk melakukan aktiviti-aktiviti yang tidak aktif.

Para penyelidik mendapatkan 18 remaja yang sering tidur selama antara lima hingga tujuh jam setiap malam, untuk tidur lebih awal. Ini membolehkan mereka untuk mendapat waktu tidur tambahan selama satu setengah jam. Sepanjang dua minggu kajian itu dijalankan, kegiatan para peserta dipantau bagi melihat kesan waktu tidur lebih panjang pada kegiatan seharian mereka.

Hasil kajian menunjukkan, para remaja tidur lebih lama iaitu purata 71 minit lebih lama daripada biasa.

Masa yang diluangkan bagi kegiatan-kegiatan tidak aktif pula berkurangan secara purata selama 52 minit. Bagaimanapun, kajian itu mendapati masa yang diluangkan untuk bersenam tidak berubah.

Hasil kajian ini diterbitkan dalam Jurnal Sleep Medicine.

"Apabila remaja mempunyai kurang masa tidur, mereka mempunyai lebih banyak masa untuk melakukan perkara lain dan kami dapati mereka cuba melakukan sesuatu dalam masa 'tambahan' itu," kata penulis Tori Van Dyk dari Hospital Pusat Perubatan Kanak-Kanak Cincinnati.

"Sepanjang masa tambahan mereka tidak tidur, mereka tidak melakukan apa-apa yang bersifat aktif,” kata Encik Van Dyk melalui kiriman emel. "Pada sisi yang lain, apabila remaja memperuntukkan lebih banyak masa untuk tidur, masa yang terluang untuk tidak melakukan apa-apa digantikan dengan masa tidur. Sudah pasti ia lebih baik kerana ia mampu meningkatkan daya pemikiran, kesihatan dan mood mereka."

Menurut Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) Amerika Syarikat, golongan remaja seharusnya mendapatkan antara 8 hingga 10 jam tidur setiap malam. Mereka juga dinasihati supaya meluangkan sejam setiap hari untuk melakukan senaman. 

- Reuters/AQ/aq

Komen Anda?

Top