Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Kaedah pancing ‘old school’ dan sekarang: Apa bezanya?

Memancing boleh dikatakan satu aktiviti riadah cukup popular, terutamanya pada cuti hujung minggu panjang seperti minggu ini.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Memancing boleh dikatakan satu aktiviti riadah cukup popular, terutamanya pada cuti hujung minggu panjang seperti minggu ini.

Sebagaimana banyak kegiatan lain, aktiviti memancing turut mengalami perubahan dek penggunaan teknologi.

BERITAMediacorp mengikut kaki-kaki pancing dan meninjau perbezaan kaedah pancing dahulu dan sekarang.

Dua hingga tiga kali seminggu, Encik Ahmad Nin Sainal, 70 tahun, akan ke laut untuk memancing.

Walaupun sudah enam dekad melakukan aktiviti ini, masih segar dalam ingatan pesara ini, bagaimana cara beliau mula-mula memancing.

ZAMAN DAHULU GUNA KELONTANG

Encik Ahmad berkongsi: "Kita pakai kelontang, kelontang itu yang putih gabus. Kita campak ke laut. Kita sudah taruh cacing, campak ke laut. Jadi kita campak, hanyut. Bila ikan itu makan, nanti pelampung itu kita kejar. Kita berenang, kita kejar. Ini dululah di Katong Park."

Encik Ahmad Nin Sainal akan ke laut untuk memancing dua hingga tiga kali seminggu. (Gambar: Taufiq Hussein Zalizan)

Juga tidak luput daripada ingatan beliau, adalah betapa banyaknya pantang larang dan amalan orang terdahulu apabila ke laut, seperti menggunakan khidmat pawang.

Selain banyak dipengaruh unsur-unsur ghaib, pemancing dahulu juga lebih berpandukan kepada deria dan alam sekitar semasa memancing untuk mengesan lubuk ikan.

"Kalau dulu mereka pakai karang. Mereka dengar daripada dayung mereka. Dayung nanti mereka dengar dalam air, celup dalam air nanti dia dengar macam bunyi 'krrr krrr'. Itu bermakna karang. Mungkin karang itu ada ikan," katanya lagi.

Itu cara orang-orang lama.

KINI MANFAATKAN GPS, PENGESAN BUNYI

Namun zaman sekarang pula, pemancing lebih muda seperti Encik Abdul Haleem Hamzah lebih bergantung kepada alat Sistem Kedudukan Global (GPS) dan sistem pengesan bunyi atau sonar untuk tujuan yang sama.

"Kita ada sistem sonar, yang boleh melihat sama ada di perkarangan di bawah, ada karang di bawah – di mana ada karang, itulah rumah ikan," ujar Encik Haleem.

Selain cara mengemudi yang berbeza, umpan yang digunakan turut banyak berubah - iaitu pelbagai umpan tiruan canggih kini digunakan.

Encik Haleem turut berkata: "Ini semua trend sekarang yang pemuda seperti saya ini semua akan gunakan benda yang baru, seperti 'jig' (umpan tiruan). Yang membuat tertarik pada jig ini adalah apabila mereka ukir jig ini, khas mengikut arus dasar laut."

Walaupun ada perbezaan ketara dari segi penggunaan peralatan dan peranti, nampaknya masih ada persamaan antara pemancing dahulu dan sekarang, iaitu sifat berwasapada apabila di laut.

(Gambar-gambar: Taufiq Hussein Zalizan)

"Kalau boleh, pergi ke laut elakkan daripada bercakap besar, megah. Kalau boleh elakkan itu semua. Bendanya ada, bukan tak ada. Yang penting kita jangan cabar. Makhluk-makhluk ini ada di laut, jadi kita jangan cabar. Kalau kita cabar, maka itu kita memanggil dia, mengundang bahaya," ujarnya.

Tidak kira cara lama atau baru, yang jelas, kaki-kaki pancing ini mendapat keseronokan yang unik dan susah didapati di darat.

Ibarat ikan yang terkena mata kail, keseronokan inilah yang akan terus 'mengumpan' mereka untuk turun ke laut berkali-kali.

Sumber : BERITA Mediacorp/TQ/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan