Images
  • tourist take pic
    (Gambar hiasan: AFP/JOE KLAMAR)

Jumlah rakyat S'pura yang ambil suntikan sebelum melancong naik 20%

SINGAPURA: Semakin ramai rakyat Singapura kini memilih melancong ke tempat-tempat yang agak luar biasa pada hujung tahun ini.

Sehubungan itu, para doktor berkata jumlah mereka yang mendapatkan suntikan sebelum melancong naik 20 peratus.

Mediacorp meninjau apakah jenis-jenis suntikan yang diperlukan dan bilakah ia perlu diambil.

Sebagai contoh, Encik Joshua Ang dan isterinya akan melancong ke Habsyah bagi meraikan ulang tahun pertama perkahwinan mereka.

Pada mulanya mereka tidak begitu memikirkan tentang mendapatkan suntikan sebelum perjalanan mereka itu. Namun perbualan dengan seorang rakan membuat mereka merubah fikiran.

"Menerusi seorang kawan yang sering melancong ke Afrika, beliau memberitahu kami, sebenarnya kami perlu menjalani beberapa suntikan sebelum kami berangkat.

"Suntikan demam kuning memang perlu, sebab kalau tidak dilakukan, kita tidak boleh pulang ke Singapura," kongsi Encik Ang.

Beliau juga memilih untuk mendapatkan suntikan bagi mengelakkan penyakit demam kepialu, Hepatitis A dan radang otak, sebagaimana yang disarankan oleh doktor, walaupun tidak wajib.

Suntikan demam kuning diwajibkan untuk mereka yang hendak ke Amerika Selatan dan Afrika.

Doktor-doktor juga menyarankan suntikan bagi perlindungan daripada beberapa penyakit lain termasuk hepatitis A, demam kepialu, Japanese Encephalitis yang berjangkit menerusi nyamuk serta penyakit anjing gila.

Beberapa jenis suntikan tidak perlu dilakukan bagi setiap perjalanan.

Misalnya suntikan mencegah Hepatitis A boleh bertahan selama lapan hingga 10 tahun.

Kebanyakan suntikan vaksin perlu dilakukan dua minggu sebelum seseorang bertolak ke luar negara.

Namun para doktor menasihatkan adalah lebih baik jika suntikannya dilakukan enam minggu lebih awal kerana ada suntikan yang perlu dilakukan lebih daripada sekali, seperti pencegahan terhadap penyakit anjing gila. 

- CNA/SS/tq

Top