Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Jika pengantin perempuan guna Mak Andam, kini pengantin lelaki semakin guna khidmat Pak Andam

Apa sebenarnya khidmat ‘Pak Andam’? Apa yang ditawarkannya? 

Anggaran Waktu Membaca:
Jika pengantin perempuan guna Mak Andam, kini pengantin lelaki semakin guna khidmat Pak Andam

Pak Andam Encik Abdull Halim Rashid semasa membantu pengantin lelaki. (Gambar-gambar: Abdull Halim Rashid)

BERITAMediacorp: Pengantin perempuan lazimnya akan menempah khidmat Mak Andam bagi memastikan keterampilan dan keanggunannya semasa bernikah, bersanding sehinggalah ke sesi mengambil gambar.

Namun baru-baru ini, semakin ramai pengantin lelaki menggunakan khidmat Pak Andam - khusus untuk lelaki - bagi tujuan yang sama, menurut penyedia khidmat tersebut. Apa sebenarnya khidmat ‘Pak Andam’? Apa yang ditawarkannya?

BERITAMediacorp bertemu dengan seorang jejaka yang masih lagi muda untuk mengetahui lebih lanjut tentang khidmat Pak Andam yang ditawarkannya.

IDEA TERCETUS KERANA ADANYA ‘KEPERLUAN’

Encik Abdull Halim Rashid, pengasas syarikat Raja Sehari SG, berkata bahawa beliau menubuhkan syarikat tersebut kerana ia satu “keperluan”. Ini kerana menurut beliau, pengantin lelaki, atau raja sehari itu sering diabaikan.

“Raja sehari tercetus untuk memenuhi keperluan pengantin lelaki, ataupun si raja sehari itu. Ini kerana pada pandangan saya si raja sehari itu tidak dilayan seperti seorang raja,” kata beliau.

Beliau menjelaskan kepada BERITAMediacorp bahawa tercetusnya idea untuk beliau mendirikan syarikat itu bukan sahaja untuk menjaga keterampilan dan imej pengantin lelaki. Tetapi juga untuk menjaga adat dan tatasusila adat istiadat persandingan.

Dengan itu, pakej perkhidmatan beliau yang baru sahaja didirikan selama dua tahun itu termasuk dandanan asas bagi pengantin lelaki, menjaga keterampilan, cara mengikat kain samping serta sebagai pembantu peribadi kepada pengantin lelaki.

“Bagi Pak Andam, kita menjunjung adat seperti sediakan sirih latlat di mana pengantin lelaki akan memegang seperti jambak bunga,” kongsi beliau.

Tambah Encik Abdull Halim lagi, yang kini berusia 28 tahun, cara memegang dan membawa keris juga membawa pelbagai makna dan peranannya adalah bagi memastikan ia dipegang dengan betul.

“Kalau letak (keris) di peha ia membawa pelbagai maksud jadi kita harus pastikan pengantin lelaki memegang keris dengan betul, bahagian hujung keris harus memandang ke dalam, dan bukan ke luar kerana kalau hujungnya di depan ia bermaksud pengantin lelaki ingin membuka langkah!” jelasnya itu.

RAJA SEHARI BERI PELUANG PRAKTIKKAN APA YANG DIPELAJARI

Menurut Encik Abdull Halim, beliau menceburi bidang ini kerana ingin mempraktikkan kemahiran serta pengetahuan beliau.

Contohnya, kata beliau, kemahiran berdandan ditimba semasa beliau menyertai teater Kelab Budaya Melayu (Malay Cultural Society) semasa beliau di bangku sekolah di Politeknik Republik.

Minatnya dalam bahasa serta kebudayaan Melayu turut mendorong beliau memulakan khidmat ini.

Lantaran itu, beliau memberikan perbezaan antara tatacara adat istiadat dahulu dan kini: “Kita harus ingat pengantin lelaki raja sehari, Kalau kita lihat orang-orang dulu kahwin sopan santun sahaja, hanya bertunduk, tidak mendongak.”

Setakat ini, Encik Abdull Halim, yang bertugas sepenuh masa sebagai eksekutif syarikat penerbangan Scoot, mendedahkan bahawa terdapat tiga Pak Andam, termasuk dirinya sendiri yang berkhidmat di bawah Raja Sehari SG.

LEBIH RAMAI LELAKI TERBUKA UNTUK BERDANDAN

Selain menjaga tatasusila pengantin lelaki, peranan Pak Andam, tambah Encik Abdull Halim, adalah bagi memastikan imej pengantin lelaki kekal bersih sepanjang hari.

Beliau turut mendedahkan bahawa kaum lelaki semakin bersikap terbuka untuk berdandan bagi hari tersebut.

Ini kerana menurut beliau, hampir 40 peratus tempahan yang dilakukan adalah oleh pengantin lelaki sendiri. Manakala 60 peratus adalah dari pihak wanita yang mewakilkan tunang mereka itu.

“Ada (lelaki) yang berani datang secara langsung. Bagi mereka, mereka mempunyai pemikiran yang sama seperti pihak wanita -‘Ini hari kebesaran kami dan ingin menampilkan yang terbaik’. Sama juga seperti si pengantin lelaki,” jelas beliau.

“(Lelaki) sebelum kahwin baru nak cukur dan kesannya akan ketara apabila mengambil gambar. Jadi (berdandan) membantu mereka untuk berkelihatan lebih bersih kerana (gambar) itu akan dijadikan momento buat selama-lamanya.”

PAK ANDAM JUGA GUNAKAN KHIDMAT PAK ANDAM LAIN!

Ditanya sama ada Encik Abdull Halim, yang akan bernikah pada bulan Julai kelak, turut menggunakan khidmat Pak Andam walaupun beliau sendiri seorang Pak Andam.

Menurutnya, jumlah khidmat Pak Andam kini “hanya boleh dikira dengan jari” tetapi jumlahnya “kian berkembang”.

Sebagai seorang Pak Andam dan bakal menjadi mempelai, ini nasihat beliau kepada bakal pengantin lelaki akan datang: “Guna khidmat Pak Andam demi kemaslahatan diri sendiri. Ini kerana Pak Andam akan membantu anda dari segi nasihat adat dan tatasusila budaya, mempersiapkan diri untuk majlis dari awal hingga akhir. (Sekurang-kurangnya) Ada seorang yang akan menjaga kerana pengapit-pengapit mungkin diberikan tugasan yang lain dan pengantin lelaki diabaikan”.  

Sumber : BERITA Mediacorp/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan