Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Jenama fesyen S'pura lancarkan koleksi bersama Anggota Parlimen M'sia demi amal

Label fesyen tempatan Adrianna Yariqa akan melancarkan koleksi baru bersama ahli politik Malaysia Nurul Izzah Anwar, yang juga anak kepada Presiden Parti Keadilan Rakyat Anwar Ibrahim.

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Label fesyen tempatan Adrianna Yariqa akan melancarkan koleksi baru bersama ahli politik Malaysia Nurul Izzah Anwar, yang juga anak kepada Presiden Parti Keadilan Rakyat Anwar Ibrahim.

Lebih menarik lagi, hasil penjualan bagi koleksi tersebut akan disalurkan kepada sebuah badan kebajikan.

Kerjasama ini juga mungkin adalah kali pertama sebuah jenama pakaian Singapura berkolaborasi dengan ahli politik dari seberang tambak.

Ketua pereka fesyen dan pemilik Adrianna Yariqa, Nurlida Yusof, memberitahu idea kerjasama itu tercetus semasa jenamanya menyertai sebuah acara peragaan fesyen di Jakarta.

"MELAMAR" DENGAN TEMA PEMERKASAAN WANITA

"Tema koleksi itu adalah memperkasakan wanita. Jadi tercetus idea apabila kami melihat YB (Nurul Izzah) sebagai seorang yang sesuai untuk bekerjasama," ujar beliau.

Lantaran itu, pihaknya terus bertemu dengan pihak Cik Nurul Izzah untuk "melamar" ahli politik itu dengan koleksi yang mencerminkan pemerkasaan golongan wanita.

Mungkin sudah ditakdirkan, dua wanita dalam bidang yang berbeza dapat bekerjasama bagi mengukuhkan lagi kedudukan wanita masa kini.

"Lamaran" Nurlida diterima AP Lembah Pantai itu dan kerja-kerja bagi kolaborasi tersebut terus dimulakan.

"Kita amat terkejut dan berbesar hati apabila YB setuju dengan kerjasama ini tetapi mungkin dengan tema koleksi yang bersesuaian dan visi kerjasama ini adalah untuk membantu golongan yang susah, YB bersetuju dengan kolaborasi ini," kongsi Nurlida.

Menurut Nurlida, koleksi itu diilhamkan daripada kisah-kisah perjuangan wanita yang dikenalinya dan pihak sana pula akan menyelaraskan kutipan penjualan untuk disalurkan kepada Tabung Yayasan Palestin Negara.

LEPAS YB NURUL IZZAH, PRESIDEN HALIMAH PULA?

Namun segala keringat yang dititiskan amat berbaloi buat graduan dalam kajian fesyen dari Akademi Seni Halus Nanyang (NAFA) ini.

"Perjalanan ini amat bermakna bagi kita semua dan YB juga meluangkan masa untuk sendiri melancarkan koleksi istimewa ini di Fashionvalet Pavillion Kuala Lumpur pada 2 September 2018," kongsi Nurlida.

Hasilnya? Kolaborasi itu menawarkan 10 rekaan berbeza yang sesuai bagi golongan muslimah menggayakannya untuk ke kerja dan dijual pada harga dimampui iaitu dari $19.90 hingga $65.90 saja.

Orang ramai boleh mendapatkan koleksi itu mulai 2 September nanti melalui laman Adrianna Yariqa dan juga Fashionvalet.

Apabila BERITA mengajukan soalan rancangan masa depan dan apakah kemungkinan Adrianna Yariqa akan bekerjasama dengan "YB Singapura", Nurlida berseloroh menjawab:

"Jikalau diberi peluang dan situasi yang sesuai pasti kami terbuka untuk kerjasama dengan "YB Singapura". Mungkin dengan presiden wanita pertama Singapura Presiden Halimah Yacob?" 

Sumber : BERITA Mediacorp/RU/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan