Images
  • google
    (Gambar fail: Dado Ruvic/REUTERS)

Jangan terlalu bergantung kepada 'Dr Google' untuk dapatkan maklumat kesihatan

PUTRAJAYA: Jangan terlalu bergantung kepada kandungan dalam talian berkaitan kesihatan atau 'Dr Google' bagi penjagaan kesihatan dan pilihan perubatan.

Itulah amaran yang dikeluarkan Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan Malaysia Dr Chen Chaw Min.

Mengakui bahawa trend dalam kalangan masyarakat tempatan yang menggunakan Google bagi mendapatkan maklumat kesihatan agak membimbangkan, Dr Chen berkata enjin pencarian itu boleh mendiagnosis seseorang yang mempunyai simptom ringan sehinggalah kepada keadaan serius, yang seringkali menimbulkan ketakutan kepada pesakit.

"Media sosial atau Google boleh digunakan untuk mendapatkan pengetahuan atau maklumat am. Ia banyak memberi maklumat tetapi dibesar-besarkan. Sekarang ini, apabila seseorang itu berasa tidak sihat, mereka segera 'Google' untuk mendapatkan maklumat.

"Apabila anda 'Google' untuk mengetahui keadaan kesihatan anda, simptom penyakit akan dipaparkan. Apabila anda baca paparan ini, anda akan bertanggapan bahawa ini adalah keadaan kesihatan semasa anda dan terus jadi takut.

“Tanpa pemeriksaan sewajarnya, anda memilih untuk mendapatkan rawatan lain. Ini amat membimbangkan," katanya.

Dr Chen turut menasihati masyarakat supaya berjumpa doktor perubatan profesional untuk mendiagnosis keadaan kesihatan mereka kerana maklumat dalam talian bukanlah benar-benar sesuai.

"Jadi apa yang berkesan kepada seseorang, mungkin tidak berkesan kepada orang lain". 

- BERNAMA/AQ/aq

Top