Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Jangan tahan bersin, ada bahayanya berbuat demikian. Ini sebabnya...

Jika anda berasa hendak bersin, jangan ditahan. Satu kajian mendapati menahan bersin boleh membahayakan diri anda.

Anggaran Waktu Membaca:
Jangan tahan bersin, ada bahayanya berbuat demikian. Ini sebabnya...

Gambar hiasan. (Gambar: Jim Watson/ AFP)

Diterbitkan : 18 Jan 2018 11:58PM Dikemas Kini : 19 Jan 2018 12:01AM

PARIS: Jika anda berasa hendak bersin, jangan ditahan. Satu kajian mendapati menahan bersin boleh membahayakan diri anda. Ia boleh menyebabkan tekak, gegendang telinga atau saluran darah dalam otak anda pecah. Demikian hasil kajian yang diterbitkan dalam jurnal perubatan BMJ Case pada Selasa (16 Jan).

Menurut para pengkaji itu, apabila seseorang menahan bersin, ia akan mewujudkan tekanan kuat dalam tubuh.

Bahaya menahan bersin dialami sendiri oleh seorang lelaki berusia 34 tahun. Lelaki itu ke sebuah hospital di Leicester, Britain, selepas mengadu bengkak dan sakit di bahagian leher.

"Pesakit menggambarkannya seperti berasa 'letupan' pada bahagian lehernya selepas beliau menahan bersin dengan memicit hidung dan menutup mulut," kata doktor menerangkan kajian yang diterbitkan itu.

Imbasan Tomografi Berkomputer (CAT) mengesahkan apa yang mereka syaki iaitu tekanan kuat yang dihasilkan akibat menahan bersin menyebabkan belakang tekak mangsa terkoyak.

Lelaki itu yang tidak mampu menelan makanan mahupun bercakap dimasukkan ke hospital di mana beliau diberi makanan dan antibiotik menggunakan tiub sehingga bengkak serta sakitnya reda.

Beliau dibenarkan pulang selepas seminggu dirawat.

"Menahan bersin dengan menutup mulut dan hidung adalah satu perbuatan yang berbahaya dan harus dielak," kata para doktor.

Dalam kes-kes yang jarang berlaku, menahan bersin boleh menyebabkan udara terperangkap antara paru-paru, "dan memecahkan aneurisme serebrum," iaitu keadaan saluran darah membengkak seperti belon dalam otak.  

Sumber : AFP/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan