Images
  • kurma 1

Jangan ketepikan kurma selepas bulan puasa

BERITAMediacorp: Sudah setengah bulan kita berpuasa dan ramai daripada kita berbuka dan bersahur dengan buah kurma. Juga digelar tamar atau nama saintifiknya Phoenix Dactylifera, buah ini mempunyai khasiat yang sangat tinggi seperti yang boleh didapati di dalam aprikot dan kismis.

Bagi anda yang belum mengamalkan pengambilan kurma, masih belum terlambat untuk berbuat demikian, kerana hakikatnya, kurma sepatutnya tidak diamalkan pada bulan puasa sahaja, tetapi juga pada bulan-bulan lain.

Kurma dipercayai mempunyai kandungan gula atau monosaccharide yang lebih tinggi daripada pisang. Ia boleh memberi tenaga segera yang dapat diserap oleh tubuh serta merta.


Terdapat pelbagai jenis kurma di pasaran seperti Ajwa, Medjool, Thoory dan banyak lagi. Selain menikmatinya begitu saja, kurma juga boleh dijadikan sebagai bahan untuk membuat kek atau minuman shake segar semasa berbuka puasa, bersahur atau pada bila-bila masa.

Ayuh mari, dalam menikmati kehebatan buah ini, pastikan juga kita tahu khasiat-khasiat yang terkandung di dalamnya.

KALIUM, SERAT & LAWAS

Kurma diperkaya dengan serat, vitamin A, protein, zat mineral dan besi, kalsium, sodium serta kalim (potassium) yang dapat membantu mengimbangi kembali kandungan air dalam tubuh.

Lebih-lebih lagi setelah kita berpuasa sehari menahan dahaga. Selain itu kehadiran kalium juga dapat membantu memelihara sistem saraf dan merangsang pembinaan otot termasuk otot jantung.

Juga kaya dengan serat larut dan tidak larut, setiap 100gm kurma terdapat anggaran 8gm serat. Kandungan serat yang tinggi ternyata amat baik kerana ia membantu memudahkan sistem pelawasan.

Bagi sesetengah orang, kurma bukan saja menjadi santapan pada bulan Ramadan, ia dijadikan sebagai snek seharian kerana khasiatnya yang tinggi. Apabila menikmati kurma, ia boleh dimakan begitu saja tanpa perlu mengupas kulitnya kerana kulit kurma mengandungi serat.

BAGUS UNTUK DAYA INGATAN

Seperti kismis, kurma juga merupakan makanan terbaik yang dapat membantu menguatkan daya ingatan. Tak kira golongan kanak-kanak atau dewasa, sesiapa saja boleh manfaatkan khasiatnya dan ia dapat tingkatkan lagi kecerdasan setiap individu.

MUDAHKAN PROSES BERSALIN 

Menurut kajian, buah kurma adalah amat baik untuk wanita yang hamil dan ia membantu dalam proses semasa bersalin. Secara tidak langsung ia dapat mengurangkan pengaliran darah semasa melahirkan.

PENAWAR PENYAKIT

Tidak mempunyai lemak yang boleh membahayakan jantung, kurma memang baik untuk pesakit jantung dan juga sesuai untuk mereka yang menghidapi kencing manis. Walaupun ia manis, ia tetap berkhasiat.

Mereka yang mempunyai tekanan darah tinggi juga digalakkan untuk banyak makan kurma kerana bebas dari kandungan sodium tapi diperkaya dengan potassium. Selain itu kandungan potassium dalam kurma juga merupakan mineral yang penting untuk pemulihan sistem saraf dan dapat mengelakkan angin ahmar atau stroke.

Jika anda mengambil anggaran 400mg kalium seharian, ia dapat membantu menguatkan saraf.

5 KURMA PILIHAN RAMAI

Ajwa - Kurma ini berasal dari kota Madinah dan merupakan antara yang popular dan digemari ramai. Walaupun harganya mahal sedikit daripada yang lain, ia tetap popular. Jika dibandingkan dengan kurma yang lain, Ajwa mempunyai bentuk yang lebih kecil dan warnanya juga lebih hitam.

Medjoul - Berasal dari Morocco, kurma ini juga dikenali sebagai Madjhoola. Medjoul juga boleh didapati di negara-negara lain seperti Palestin di kawasan Jericho. Isi kurma ini tebal tapi teksturnya lembap, membuatnya digemari ramai.

Safawi - Bentuknya bulat memanjang dan kulitnya ada kedutan sedikit. Warnanya hitam kemerahan dan rasanya manis dan lembut. Kurma Safawi yang berasal dari Madinah Al Munawwarah dan turut menjadi kegemaran ramai di rantau Asia.

Thoory - Juga digelar Thuri, warna kurma ini coklat kemerahan, teksturnya kering dan isinya agak kenyal sedikit. Namun rasanya manis dengan sentuhan rasa seperti kacang.

Zahidi - Jenis kurma ini berwarna emas keemasan dan bentuknya lonjong. Kulitnya tebal dan kering. Namun kurma Zahidi dikatakan mempunyai kandungan serat yang tinggi.

CUBALAH MILKSHAKE KURMA


Bahan:

250ml susu segar (rendah lemak)

3 biji kurma

Segenggam bijirin Oat

Cara:

Kisar semua bahan dan letakkan ais jika suka. Tepat untuk dinikmati pada bila-bila masa.

Selamat mencuba! 

- BERITAMediacorp/sm

Top