Skip to main content

Iklan

Iklan

Teknologi

Jack Ma umum akan bersara

Pengasas bersama Alibaba, Jack Ma akan bersara daripada syarikat gergasi e-dagang China itu pada Isnin (10 Sep) untuk menumpukan masanya kepada kerja-kerja kebajikan berkaitan dengan pendidikan. Demikian kongsi hartawan itu kepada New York Times dalam satu wawancara.

Anggaran Waktu Membaca:
Jack Ma umum akan bersara

Jack Ma (Gambar: Reuters)

Diterbitkan : 08 Sep 2018 01:25PM Dikemas Kini : 08 Sep 2018 01:27PM

BEIJING: Pengasas bersama Alibaba, Jack Ma akan bersara daripada syarikat gergasi e-dagang China itu pada Isnin (10 Sep) untuk menumpukan masanya kepada kerja-kerja kebajikan berkaitan dengan pendidikan. Demikian kongsi hartawan itu kepada New York Times dalam satu wawancara.

Encik Ma merupakan seorang guru bahasa Inggeris sebelum mula mengasaskan Alibaba pada 1999 dan membangunkannya menjadi gergasi Internet bernilai berbilion dolar, dalam masa yang sama menjadikan dirinya sendiri antara hartawan paling kaya dan dihormati di China.

Encik Ma memberitahu The New York Times bahawa beliau akan bersara daripada syarikatnya pada Isnin - pada ulang tahunnya ke-54 - menyifatkan persaraannya sebagai "permulaan satu era" dan bukan penghujungnya.

Beliau menambah bercadang untuk menghabiskan masa dan hartanya untuk pendidikan.

Dalam satu wawancara bersama Bloomberg TV yang diterbitkan Jumaat, beliau membayangkan rancangan persaraannya.

Encik Ma berkata beliau berhasrat untuk mengikut jejak langkah pengasas Microsoft, Bill Gates, yang juga terkenal sebagai seorang dermawan.

"Ada banyak perkara yang boleh saya pelajari daripada Bill Gates. Saya mungkin tidak pernah akan menjadi sekaya beliau, tapi apa yang saya boleh lakukan lebih baik adalah bersara lebih awal," katanya.

Encik Ma adalah sebahagian daripada generasi usahawan hartawan yang menjadi kaya sedang China mendakapi era digital, dalam masa yang sama membangunkan antara syarikat paling besar dan berjaya di negara itu dalam masa kurang sedekad.

Beliau juga CEO yang pertama daripada generasi usahawan teknologi untuk bersara. Keputusannya untuk bersara agak ganjil berbanding para pemimpin perniagaan lain di negaranya yang sering menduduki takhta empayar perniagaan mereka sehingga umur 80-an tahun.

Sumber : AFP/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan