Images
  • jack ma
    Jack Ma (Gambar: Reuters)

Jack Ma buka institut usahawan teknologi di Indonesia

NUSA DUA: Pengerusi eksekutif syarikat China, Alibaba Group Holding, Jack Ma merancang untuk membuka sebuah institut bagi melatih beribu-ribu usahawan teknologi di Indonesia, di mana beliau adalah penasihat pemerintah bagi bidang e-dagang.

Encik Ma bagaimanapun tidak pula mendedahkan bilakah Institut Usahawan Jack Ma akan dilancarkan, setakat memberitahu bahawa matlamatnya adalah untuk melatih 1,000 pemimpin teknologi setiap tahun dalam tempoh 10 tahun akan datang.

"Kami memberi banyak peluang kepada warga muda Indonesia untuk belajar," kata Encik Ma kepada para wartawan selepas bertemu para menteri Indonesia di luar mesyuarat Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dan Bank Dunia yang dihoskan Indonesia.

Pengasas bersama Alibaba, iaitu firma e-dagang terbesar di China berkata, penting bagi Indonesia untuk melabur dalam modal insan kerana "hanya apabila rakyat bertambah baik, apabila minda rakyat berubah, apabila kemahiran rakyat meningkat, maka kita boleh memasuki era digital".

Indonesia berdepan dengan kekurangan tenaga jurutera terlatih dalam teknologi dan institut ini juga akan melatih ratusan pembangun (perisian) dan jurutera mengenai pengkomputeran awan untuk membantu menjadikan perniagaan Indonesia lebih canggih digital.

Indonesia merupakan pasaran utama bagi Alibaba. Cabang pengkomputeran awan Alibaba Cloud melancarkan pusat data di Indonesia pada bulan Mac.

Encik Ma berkata syarikatnya akan terus melabur "bukan sahaja untuk e-dagang, tetapi juga pengkomputeran awan, logistik dan ... prasarana" di Indonesia, sambil membantu perniagaan tempatan berkembang.

Menteri Komunikasi Indonesia Rudiantara memberitahu Reuters pada September bahawa Indonesia bekerjasama dengan Encik Ma untuk meneroka cara memanfaatkan perniagaan Alibaba untuk meningkatkan eksportnya, terutama sekali ke China.

McKinsey menganggarkan dalam satu laporan yang diterbitkan pada 30 Ogos bahawa nilai pasaran e-dagang Indonesia akan meningkat kepada sekurang-kurangnya AS$55 bilion (S$75.7bilion) menjelang 2022 berbanding AS$8 bilion (S$11 bilion) pada 2017.

Pada Jumaat, Encik Ma memberitahu panel perbincangan di mesyuarat IMF dan Bank Dunia bahawa "internet direka untuk negara-negara membangun", dengan "peluang hebat di Afrika" juga.

- REUTERS/TQ/tq

Top