Images
  • bazaar 1
    Stik mentaiko halal dari Beef Bros (kiri) dan mi kuah dalam baldi dari Sofnade. (Gambar: Beef Bro, Sofnade)

Inilah makanan, minuman 'trending' di Bazar Geylang Serai

SINGAPURA: Jika anda melakukan pencarian online tentang bazar Ramadan Geylang Serai, anda pasti akan melihat catatan netizen di sosial media bahawa bazar terkenal itu kian menjadi terlalu 'hipster'.

Meskipun ada yang kurang puas hati dengan perkembangan tersebut, beberapa perniagaan 'hipster' di bazar berkenaan sebetulnya kreatif belaka. Malah, meskipun makanan dan minuman kegemaran ramai diubah suai, rasanya tetap enak.

Ini dia lima trend jualan yang menarik perhatian di bazar tahun ini.

DAGING LEMBU 'MENTAIKO' OLEH DANIAL ASHRIQ

Danial Ashriq, pemenang Selebriti Juara Memasak dan pengacara Juara Memasak Milenia membuka gerai Beef Bros bersama rakannya Norvan Tan di bazar kali ini.


(Daging mentaiko hasil Cef Danial Ashriq. Gambar: Beef Bros)

Mereka menjual daging lembu 'mentaiko' yang berharga S$18 bagi setiap hidangan. Malah, anda juga boleh membeli sambal belacan khasnya dengan harga S$2.50.

Beef Bros terletak di gerai 70, depan OneKM, di luar Tanjong Katong Complex.

MAKANAN DIHIDANG DALAM BALDI

Makan dalam Baldi? Mungkin aneh tetapi inilah antara trend di bazar Ramadan tahun ini.

Malah, ia mungkin idea yang bijak memandangkan susah untuk mendapatkan tempat duduk meskipun para penganjur tahun ini menyediakan lebih banyak kerusi dan meja.

Selain itu, anda boleh bawa pulang baldi tersebut, cuci dan menggunakannya semula. Ini sudah tentu lagi mesra alam berbanding beg plastik.


(Gangster Ribs yang disajikan di dalam baldi. Gambar: Jeremy Long)

Salah satu gerai yang menjual makanan dalam baldi adalah WORD.cafe yang diasaskan adik-beradik, Shereen dan Toni Anwar.

Gangster Ribs iaitu daging lembu atau kambing (ikut cita rasa anda) dijual dengan harga S$12 secawan berserta nasi beriani ataupun kentang goreng.

Jika anda masih ingat, WORD.cafelah yang memperkenalkan 'bagel' pelangi tahun lalu. Tahun ini, kafe yang terletak di Upper Thomson itu turut menawarkan air minuman 'mocktail' dalam baldi dengan perisa seperti 'Minah Blackcurrant' yang buat julung-julung kalinya dijual di bazar Ramadan.

WORD.cafe boleh didapati di gerai 39 di luar Wisma Geylang Serai dan di gerai 202 di luar Darul Arqam.


(Sate bebola ayam di dalam baldi. Gambar: Jeremy Long)

Terdapat juga Mee Kuah dalam baldi yang dijual Sofnade dengan harga S$9. Jika anda sudahpun mengintai ketibaan Hari Raya, anda boleh cuba bebola ayam satay dalam baldi pada harga yang sama siap dengan ketupat, timun dan bawang.

Sofnade terletak di gerai 4 di luar Tanjong Katong Complex manakala gerai 243 dan 244 pula di luar Darul Arqam.

PELBAGAI JENIS TEH SUSU

Bermacam-macam teh susu boleh didapati di bazar Ramadan tahun ini.

IceBurnz yang popular dengan trend 'butterbeer halal' kini menawarkan IceBurnz’s Butterfoam Milk Tea (Teh Susu Buih) yang dijual pada harga S$4. Anda boleh memilih perisa 'matcha' kelapa, coklat pahit, Kinder Bueno, 'matcha' Hokkaido dan Nutella.

(Teh susu speculoos. Gambar: BREWUP)

Selain IceBurnz, BREWUP menyertakan Teh Susu Speculoos (S$5) dalam senarai minuman-minuman popularnya termasuk limau mapel, masala, pandan dan bandung yang berharga S$4 setiap satu.

IceBurnz boleh didapati di gerai 518 di luar Darul Arqam dan BREWUP pula di gerai 55 dan 56 di luar Tanjong Katong Complex.

JATUH CINTA DENGAN KEJU

The Raclette Factory terus menarik perhatian para pengunjung tahun ini dengan jualan baru dalam menunya - Swiss Raclette Rosti (S$12).

Malah, gerai lain turut serta menjual hidangan berkeju. Misalnya, Chickaaaboom menyediakan empat pilihan 'chicken chop' dalam kon bermula dari S$7 - ketam masak lada, bawang putih, 'sambal works' dan aligot, iaitu fondue yang berasal dari Perancis.


Anda gemar makaroni dan keju? MNC Co menjual hidangan tersebut dengan perisa seperti ketam masak lada, laksa dan tomyam dari S$5 setiap satu.

The Raclette Factory terletak di gerai 221 dan Chickaaaaboom di gerai 232 di luar Darul Arqam manakala MNC Co pula di gerai 55 dan 56 di luar Tanjong Katong Complex.

APAM BALIK VERSI BARU

Martabak manis Markozar buat penampilan pertama di bazar Ramadan tahun ini. Pasangan di sebalik hidangan itu menjual 'apam balik' Indonesia itu pada harga S$6.50 setiap satu.

Dengan pilihan inti seperti Nutella dan coklat serta susu, martabak manis ataupun juga dikenali sebagai Terang Bulan itu pastinya manis.


(Martabak manis. Gambar: Jeremy Long)

Namun, jika anda inginkan sesuatu yang lebih manis lagi, anda boleh mencuba Fountain Banana Cheese iaitu pisang keju yang disaluti coklat cair, coklat putih, coklat berbuah atau Nutella, menurut pilihan anda.

Markozar terletak di luar Tanjong Katong Complex di gerai 10 dan di gerai 202 di luar Darul Arqam.  

- CNA/SM/fa

Top