Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Inilah 3 negara dengan jangka hayat terpanjang di dunia

Pulau Okinawa di Jepun sering digelar sebagai "pulau dewata". Ini kerana beratus-ratus penduduknya berusia lebih 100 tahun. Malah pada tahun lalu saja, jumlah penduduk yang berusia 90 tahun dan ke atas mencecah dua juta orang.

Anggaran Waktu Membaca:
Inilah 3 negara dengan jangka hayat terpanjang di dunia

Seorang lelaki warga tua sedang berehat di sebuah taman. (Gambar: Carlos Barria/Reuters)

Diterbitkan : 26 Sep 2018 10:51PM Dikemas Kini : 26 Sep 2018 11:03PM

WASHINGTON: Pulau Okinawa di Jepun sering digelar sebagai "pulau dewata". Ini kerana beratus-ratus penduduknya berusia lebih 100 tahun. Malah pada tahun lalu saja, jumlah penduduk yang berusia 90 tahun dan ke atas mencecah dua juta orang.

Individu tertua di dunia, Chiyo Miyako, seorang warga Jepun meninggal dunia bulan lalu pada usia 117 tahun.

Menurut laporan USA Today, wanita tertua di dunia sekarang ialah Kane Tanaka, 115 tahun, yang tinggal di Fukuoka di Jepun. Lelaki tertua di dunia juga adalah seorang rakyat Jepun iaitu Masazo Nonaka, yang menyambut ulang tahunnya yang ke-113 pada 25 Julai di Hokkaido.

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), purata jangka hayat di Jepun pada 2018 adalah 84.2 tahun. Secara purata, kaum lelaki dapat hidup sehingga usia 81.1 tahun manakala kaum wanita pula bertahan sehingga usia 87.1 tahun.

APAKAH RAHSIA DI SEBALIK KEHIDUPAN YANG PANJANG DAN SIHAT?

'Diet' atau cara pemakanan adalah salah satu faktor mengapa para penduduk Jepun dapat hidup sehingga usia melepasi 100 tahun. Rakyat Jepun biasanya memakan jenis ikan yang kaya dengan lemak omega-3 dan mengandungi khasiat bagi jantung. Makanan lain termasuk tauhu, rumpai laut dan sotong - semuanya berisiko kecil bagi beberapa jenis barah dan arteriosklerosis.

Jepun juga memiliki salah satu sistem jagaan kesihatan yang mudah diakses di dunia. Pemerintah Jepun menampung 70 peratus daripada kesemua kos prosedur kesihatan dan sehingga 90 peratus bagi rakyat yang berpendapatan rendah, lapor USA Today.

Selain Jepun, berikut adalah senarai negara yang turut mempunyai penduduk yang dapat hidup sihat sehingga usia lanjut:

Switzerland

Purata jangka hayat di Switzerland pada 2018 adalah 83.3 tahun. Kaum lelaki hidup sehingga usia 81.2 tahun manakala wanita pula hidup sehingga usia 85.2 tahun.

Jangka hayat yang panjang itu mungkin disebabkan oleh semangat muhibah dalam masyarakat negara itu. Menurut USA Today, satu kajian yang dijalankan pada 2015 mendapati bahawa rasa terasing dan kesepian mungkin buruk bagi kesihatan, sama seperti masalah kegemukan.

Sekitar 94 peratus rakyat Switzerland berkata mereka boleh bergantung kepada sekurang-kurangnya satu orang dalam masa-masa sukar, menurut Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD).

Ada juga yang menyatakan bahawa cinta mereka terhadap coklat mungkin menyumbang kepada kesihatan mereka. Rakyat Switzerland memakan 19.8 paun (8.98 kilogram) coklat per kapita setiap tahun, dan coklat pahit dapat mengurangkan risiko mengalami serangan jantung dan angin ahmar.

Sepanyol

Di Sepanyol pula, secara purata jangka hayat negara itu adalah 83.1 tahun. Wanita dijangka hidup sehingga mencecah usia 85.7 tahun manakala lelaki pula hidup sehingga usia 80.3 tahun.

Rakyat Sepanyol biasanya memakan makanan Mediterranean yang kaya dengan minyak zaitun, ikan dan sayur-sayuran. Malah diet ini didapati berupaya mengurangkan risiko mengalami penyakit jantung dan kolesterol tinggi.

Budaya 'siesta' atau berehat pada waktu tengah hari juga mungkin satu faktor mengapa rakyat Sepanyol lebih sihat. Kedai-kedai dan pejabat di Sepanyol juga ditutup dari pukul 2.00 hingga 5.00 petang supaya rakyatnya dapat berehat dan menjamu selera bersama keluarga mereka.

BAGAIMANA PULA DENGAN NEGARA-NEGARA LAIN?

Singapura, Australia dan Perancis mempunyai jangka hayat purata 82.9 tahun. Menurut WHO, negara-negara ini mempunyai kadar tinggi akses kepada khidmat kesihatan penting dan ramai daripada mereka mengutamakan berjalan kaki dan senaman lain.

Perancis masih memegang rekod penduduk tertua di dunia iaitu Jeanne Calment yang hidup selama 122 tahun dari 1875 hingga 1997.

Sementara itu, negara-negara dengan jangka hayat paling rendah adalah Republik Afrika Tengah, Chad dan Lesotho yang masing-masing mempunyai jangka hayat purata sehingga 53, 54.3 dan 52.9 tahun, disebabkan oleh konflik dan sumber kesihatan yang tidak mencukupi.  

Sumber : Agensi berita/AI/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan