Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Inikah usahawan M'sia termuda? Nur Iman Safiyah jual koleksi tudung sendiri bagi murid sekolah

Sedang kebanyakan pelajar perempuan Tingkatan Dua hanya sibuk dengan kerja sekolah atau bermain, Nur Iman Safiyah Mohammed Shahree nampaknya sudah tahu ke mana hala tujunya selepas tamat sekolah nanti.

Anggaran Waktu Membaca:
Inikah usahawan M'sia termuda? Nur Iman Safiyah jual koleksi tudung sendiri bagi murid sekolah

Nur Iman Safiyah Mohammed Shahree mula berniaga sejak usia 11 tahun. (Gambar: News Straits Times melalui TODAY)

Diterbitkan : 21 Jan 2018 11:32PM Dikemas Kini : 21 Jan 2018 11:44PM

KUALA LUMPUR: Sedang kebanyakan pelajar perempuan Tingkatan Dua hanya sibuk dengan kerja sekolah atau bermain, Nur Iman Safiyah Mohammed Shahree nampaknya sudah tahu ke mana hala tujunya selepas tamat sekolah nanti.

Pelajar 13 tahun dari Sekolah Menengah Kebangsaan Subang Bestari tanpa ragu-ragu, sudah menanam niat untuk menjadi seorang usahawan. Malah dia sudahpun memulakan dan mengorak langkah dalam ke arah kerjaya itu.

Ini walaupun Nur Iman belum pun menduduki penilaian Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3).

Tingkatan Dua sama dengan Menengah 2 di Singapura, manakala PT3 adalah penilaian bagi pelajar Menengah 3 yang dilakukan melalui ujian bertulis dan lisan, serta tugasan dan projek bagi beberapa mata pelajaran tertentu.

ADA JENAMA TUDUNG SENDIRI! BALUNA BAWAL

Nur Iman kini adalah pemilik koleksi tudung bawalnya yang tersendiri, yang diberi nama Baluna Bawal, yang menyasarkan pelajar perempuan.

Dia mula berkecimpung dalam dunia perniagaan sejak usia 11 tahun apabila menyedari bahawa rakan-rakannya berminat membeli koleksi mainan 'squishy'.

Selain menjual mainan kepada rakan-rakannya, Nur Iman juga berjaya memujuk ibu bapanya, yang masing-masing merupakan seorang akauntan dan pegawai bank, untuk melabur dalam perusahaannya.

"Mereka membeli lebih banyak mainan 'squishy' secara borong untuk saya jual. Jadi saya mula menjualnya online," katanya kepada Harian Metro.

"TUDUNG SEKOLAH IMAN SAFIYAH"

Selepas dua tahun, Nur Iman sudahpun meraih golongan pengikut yang ramai di media sosial. Usahawan muda itu kemudian bercadang untuk menggunakan pendapatannya dari penjualan mainan itu untuk melabur ke dalam perusahaan yang baru, dengan menjual tudung.

Perniagaannya kian rancak, dan empat bulan kemudian, dia menghasilkan koleksi tudung bawalnya sendiri, yang diberi nama ' Baluna Bawal', yang dijual sempena Hari raya Aidiladha tahun lalu.

Pada bulan November tahun lalu, dia juga melancarkan produk baru, iaitu Tudung Sekolah Iman Safiyah (TSIS). Tudung serba putih itu juga disasarkan kepada pelajar yang memakai tudung di sekolah.

JUAL 1,500 TUDUNG DALAM 2 BULAN

"Selepas dilancarkan, kami berjaya menjual sebanyak 500 helai. Bulan selanjutnya, kami mendapat tempahan bagi lebih 1,000 helai, jadi perniagaan kini baik," kata Nur Iman.

Nur Iman turut menambah bahawa tempahan yang melimpah itu bermakna dia harus mendapatkan bantuan ibu bapa dan adik-beradiknya untuk mengendalikan pertanyaan, dan membungkus dan menghantar kiriman itu.

Nur Iman juga akur bahawa perniagaan online adalah usaha yang mencabar kerana dia harus melayan permintaan pelanggan.

Bagaimanapun, remaja itu berkata dia dapat menguruskan perniagaannya dari rumah buat masa ini, dan belum terlintas dalam fikirannya untuk mendapatkan khidmat ejen atau membuka cawangan.

(Gambar-gambar: Nur Iman Safiyah/ Instagram)

"Saya masih baru dalam bidang ini. Buat masa ini, saya masih memberikan tumpuan untuk mendapatkan bahan dengan mutu yang terbaik, bagi memastikan hasil kerja memenuhi piawai dan mengikut spesifikasi saya.

"Inshaallah, dalam masa terdekat, saya mahu menghasilkan tudung labuh bagi sekolah agama dan tudung sekolah dalam pelbagai warna," kata Nur Iman, yang turut berkata dia mahu menjadi seorang usahawan berjaya dan membeli bangunannya sendiri.

Nur Iman memberitahu media Malaysia bahawa idolanya adalah pelakon/usahawan Neelofa yang mengendalikan jenama Naelofar Hijab. Perniagaan Neelofa itu tahun lalu dilapor mencatat penjualan bernilai RM200 million (S$67 juta).

Sumber : Agensi berita/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan