Images
  • cat3

Ini caranya dekatkan bayi baru lahir dengan kucing secara selamat

BERITAMediacorp: Bayangkan mempunyai bayi dan anak kucing di bawah satu bumbung. Situasi yang pastinya nampak comel, namun berpotensi menjadi kelam-kabut jika tidak ditangani dengan baik!

Kucing yang secara naluri bersifat teritorial, sewajarnya 'diperkenalkan' kepada kehadiran bayi baru secara bertahap-tahap, agar dapat membiasakan diri kepada perubahan pada kehidupannya.

Jadi bagi pemilik kucing yang juga baru menimang cahaya mata, ini panduan oleh TheSprucePets.com untuk 'memperkenalkan' dua 'individu' merangkak ini, secara perlahan-lahan.

MENGAPA PERLU PERLAHAN-LAHAN?
Walaupun mungkin sudah biasa dengan kehadiran manusia dewasa, kelakuan dan ciri-ciri seorang bayi adalah sangat asing bagi seekor kucing.

Dengan pergerakan bayi yang sukar diramal dan suara tangisannya yang bernada tinggi dan lantang, ini boleh menakutkan kucing itu.

Sama ada ia akan bersembunyi, atau sebaliknya menakutkan si bayi pula dengan menyerangnya - ini pasti sesuatu yang tidak diingini!

PERSIAPAN KETIKA MENGANDUNG
Sepertimana ahli keluarga lain diberitahu awal, begitu juga buat si 'ahli keluarga' berkaki empat itu.


Menurut TheSprucePets, perubahan pada sekitaran kucing perlu dibuat secara perlahan-lahan. Biarkannya meneroka bilik yang sedang disusun semula untuk menyambut ketibaan bayi.

Rakaman tangisan bayi juga boleh dimainkan untuk membiasakan kucing itu dengan suara yang jelas bernada lebih tinggi daripada yang biasa didengari.

SEBELUM KELAHIRAN BAYI
Kucing mempunyai deria hidu yang sensitif. Maka itu TheSprucePets menyarankan orang dewasa di rumah memakai bedak atau krim bayi buat beberapa minggu, jadi si 'comel' berbulu itu dapat mengaitkan haruman itu dengan sesuatu yang sudah dikenalinya.

Rutin ibu bapa juga pasti berubah dengan ketara selepas menyambut ketibaan cahaya mata.

Maka itu, lakukan perubahan rutin lebih awal dan secara bertahap-tahap agar si haiwan 'manja' di rumah itu tidak berasa sedih atau stres apabila tidak lagi menjadi tumpuan utama.

SESUDAH BAYI LAHIR
Bawa pulang pakaian bayi yang baru lahir itu untuk dihidu oleh si kucing, supaya ia mengenalinya sebelum si bayi dibawa pulang ke rumah.

Biarkan kucing mendekatkan diri dengan si bayi secara perlahan-lahan di bawah pengawasan orang dewasa, dan jangan memaksanya.


Lebih baik lagi jika si kucing diberi 'upah' makanan istimewa dan mainan semasa meluangkan masa dengan bayi, agar haiwan itu dapat 'mengaitkan' benda-benda menggembirakan dengan kehadiran bayi itu.

ANAK JUGA PERLU DIDIDIK
Apabila bayi membesar, dia pasti menjadi lebih ligat dan tangannya akan mula mencapai apa sahaja yang dilihatnya.

Asuh anak itu supaya menghormati kucing dan bermain dengannya secara lembut, dan berikan ruang untuk kucing bersembunyi daripada digapai tangan si cilik yang pantas.


Natijahnya, tidak susah untuk meletakkan bayi dan kucing bersama-sama. Jika dilakukan dengan betul dan perlahan, pasti banyak kenangan manis sebagai sebuah keluarga besar dapat diukir bersama. 

- Agensi berita/TQ/tq

Top