Images
  • person using phone
    Gambar fail seorang menggunakan telefon bimbit. (Gambar: Xabryna Kek)

Ini cara bersihkan telefon bimbit tanpa merosakkannya…

BERITAMediacorp: Tangan adalah anggota badan yang paling kotor. Anda mungkin tidak bersetuju dengan pandangan ini, namun itulah hakikatnya.

Ini bermakna telefon bimbit anda antara barang yang paling terjejas oleh kekotoran itu. Tiada siapa yang mahukan telefon bimbit yang diselaputi bakteria, namun ia tidak boleh dicuci begitu sahaja untuk membersihkannya. Jadi bagaimana caranya?

Mujur terdapat beberapa tips yang boleh dicuba untuk membersihkan telefon bimbit anda, menurut laman Curiosity.

CARA-CARANYA

Pertama, perkara yang paling asas. Hampir semua syarikat pengilang telefon bimbit menyarankan agar telefon bimbit dibersihkan. Apple mencadangkan agar telefon bimbit dilap dengan kain tanpa kasa yang lembab.

Motorola pula menyarankan penggunaan kain mikrofiber – seperti yang digunakan untuk kaca mata – dibasahkan sedikit jika telefon bimbit terlalu kotor.

Jika anda menggunakan telefon bimbit Pixel Google, syarikat itu menyatakan ia boleh dibersihkan dengan sedikit sabun pencuci pinggan mangkuk jika perlu.

Cara-cara itu boleh membantu memastikan telefon bimbit anda bersih, namun ia tidak dapat menghapuskan bakteria, lebih-lebih lagi jika anda bertugas di tempat yang udaranya dicemari kuman dan bakteria.

Beberapa ujian dijalankan ke atas iPad yang sudah dicemari Clostridium difficile (lazimnya dikenali sebagai C. diff) dan Staphylococcus aureus (dikenali MRSA). Kedua-duanya bakteria berbahaya yang terdapat di hospital.

Kajian itu menunjukkan bahan pembersih yang mengandungi peluntur paling berkesan untuk membersihkan telefon bimbit dan menghapuskan bakteria, lapor laman Curiosity.

Namun masalahnya satu – lama-kelamaan ia boleh menghakis lapisan yang melindungi telefon daripada jari-jemari berminyak. Malah penggunaan bahan peluntur boleh membatalkan waranti telefon.

JANGAN BIMBANG

Terdapat dua perkara yang perlu dipertimbangkan tentang kajian tersebut dan kedua-duanya berita baik untuk anda.

Pertama, anda mungkin tidak selalu berdepan dengan dua jenis bakteria itu di luar bangunan hospital. Kedua, anda boleh gunakan cara yang disarankan oleh syarikat pengilang untuk membersihkan telefon bimbit setiap hari. Yang penting, anda perlu kerap membasUh tangan.

Namun sekiranya telefon anda terjatuh di dalam tandas misalnya, cara terbaik pastinya menggunakan bahan pembersih yang mengandungi peluntur. Tapi ingat, cara ini mungkin membatalkan waranti telefon bimbit, lapor laman Curiosity.

Perlahan-lahan semburkan bahan pembersih yang mengandungi peluntur pada telefon bimbit, selepas 30 saat (tidak lebih daripada itu) lapkan dengan kain mikrofiber. Telefon anda kini sudah bersih. Jangan lupa untuk mencuci tangan anda!

- Agenis berita/NK/

Komen Anda?

Top