Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Ini bukan kain! Cendol Kain Pelikat ini ‘cendol botol’ yang dihantar ke rumah

Jika kita sering mendengar tentang perniagaan dari rumah yang menjual kek cawan, pastri atau yang terbaru ini, teh tarik, kini ada satu lagi perniagaan manisan ‘umpan tekak’ yang boleh anda dapatkan dari flat HDB! 

Anggaran Waktu Membaca:
Ini bukan kain! Cendol Kain Pelikat ini ‘cendol botol’ yang dihantar ke rumah

Perniagaan Cendol Kain Pelikat menerima sehingga 50 tempahan botol setiap hari. (Gambar: Ira Musfirah)

BERITAMediacorp: Jika kita sering mendengar tentang perniagaan dari rumah yang menjual kek cawan, pastri atau yang terbaru ini, teh tarik, kini ada satu lagi perniagaan manisan ‘umpan tekak’ yang boleh anda dapatkan dari flat HDB!

Apa dia? Jawapannya ialah… Cendol!

Seringkali cendol dijual dalam bentuk mangkuk atau cawan di kedai-kedai atau pasar seperti Geylang Serai. Tapi kini anda boleh menikmati hidangan cendol langsung dari keselesaan rumah anda dan dalam bentuk - botol!

Nama cendol ini sungguh unik, iaitu ‘Cendol Kain Pelikat’. Perniagaan cendol ‘home-made’ yang diusahakan dan diasaskan Cik Syafiqah Said dan suaminya itu baru berusia setahun.

Namun tahukah anda, BERITAMediacorp diberitahu bahawa beliau menjual hampir 1,500 botol sebulan! Atau tepat lagi sehingga 50 botol cendol hampir setiap hari!

CENDOL KAIN PELIKAT: KEMBALIKAN BUDAYA TRADISIONAL

Bermula sebagai 'live station' atau hidangan yang disiapkan secara langsung di majlis-majlis perkahwinan, para pengasas Cendol Kain Pelikat sebenarnya berhasrat mengisi jurang hidangan tradisional yang jarang disediakan.

“Kita sering melihat stesen ‘live’ seperti churros atau makanan hipster di majlis-majlis perkahwinan. Kami suami isteri pula terfikir mengapa tidak kami kembalikan makanan tradisional bagi stesen ‘live’ sebegini - sesuatu yang dapat memenuhi citarasa kedua-dua golongan muda dan lanjut usia,” kongsi Cik Syafiqah, 30 tahun, kepada BERITAMediacorp.

Bagaimana pula tercetusnya idea untuk berniaga dari rumah?

Suami Cik Syafiqah, Encik Khairul Anuar pula berkongsi begini: “Pada mulanya, rakan saya ingin menyokong bisnis ini dan memesan 13 botol cendol sekitar dua bulan lalu. Sejak dari itu, kami terus berjinak-jinak dan semakin mendapat lebih banyak tempahan untuk dihantar ke rumah.”

“Kami juga berusaha untuk mendapatkan kembali rasa asli cendol dan mahukan nama yang tradisional untuk mengiringinya. Jika di Kuala Lumpur, ada Cendol Songkok Tinggi. Kami juga berfikir mengapa tidak menamakan bisnis ini Cendol Kain Pelikat,” seloroh Encik Khairul yang berusia 34 tahun. Mereka menjualnya pada harga $4 sebotol.

Bukan sekadar berniaga dari rumah, pasangan itu turut melanjutkan perniagaan mereka ke acara-acara seperti bazar LalooLalang, pasar malam dan acara amal termasuk bagi Widad Project dan Majulah Community.

BERGURU DENGAN WARGA JOHOR

Antara bahan-bahan penting bagi menyediakan hidangan cendol semestinya adalah santan, gula Melaka dan tepung beras bagi jelinya. Bagaimanapun setakat itu sahaja nampaknya tidak mencukupi.

Cik Syafiqah dan Encik Khairul bertekad mencari ‘guru’ bagi mempelajari selok-belok membuat cendol dengan betul.

Meskipun mereka akui bahawa resipi yang diajar itu belum benar-benar menepati cita rasa mereka, mereka akhirnya berjaya berusaha sendiri dan tidak berhenti mencuba sehingga mendapatkan resipi yang memuaskan.

“Ia bergantung pada selera masing-masing. Walaupun kami berguru, pada kami, tidak cukup impaknya. Oleh itu, kami perbaiki sedikit resipi yang diajar dan menghasilkan resipi sendiri,” jelas Cik Syafiqah.

Turut dikenali dengan rasa cendol ‘asli’ dan jeli hijau cendol buatan sendiri yang lembut, proses menghasilkan resipi cendol khas ini memakan masa sekitar dua bulan.

Cendol Kain Pelikat

Teh tarik botol sudah ada. Kini muncul pula 'Cendol botol'! Lebih menarik lagi, Cendol Kain Pelikat 'home-made' ini dihantar terus ke rumah anda jika anda memesannya. Mahu cuba?Laporan penuh: http://bit.ly/2hEU4w2

Posted by BERITAMediacorp on Saturday, 4 November 2017
 

TINGGALKAN KERJAYA STABIL DEMI PERNIAGAAN CENDOL

Sebelum bergelumang secara sepenuh masa dengan cendol, Cik Syafiqah ketika itu sedang bekerja sebagai pegawai perkhidmatan pelanggan – kerjaya yang disandangnya selama 10 tahun. Encik Khairul pula bertugas sebagai seorang pegawai polis bagi tempoh yang sama.

Tapi setelah melihatkan perniagaan mereka menjadi bertambah maju, pasangan tersebut lantas mengambil langkah berani. Berani untuk memberikan 100%! Iaitu memberikan tumpuan penuh kepada perniagaan tersebut.

Ini bermakna, mereka meninggalkan kerjaya masing-masing yang stabil, untuk ‘terjun botol’ menjadi ‘tauke cendol’! Dalam perkataan lain, menjadi ‘tauke cendol botol’!

Cik Syafiqah memberitahu BERITAMediacorp: “Kami rasa bahawa kami sebagai pemilik bisnis ini harus tahu sendiri tentang selok-belok perniagaan dan harus datang dari titik peluh masing-masing. Memandangkan permintaan bagi khidmat kami agak tinggi, kami yakin produk kami akan terus berkembang maju.”

“Kami mungkin tidak dapat hidup dalam kemewahan. Tapi dari hasil perniagaan ini, kami dapat menampung perbelanjaan bagi empat orang anak, Alhamdulillah,” jelas beliau lagi, yang baru meninggalkan kerjayanya sekitar empat bulan lalu.

Bagaimana pula perasaannya bekerja dengan suami sebagai rakan niaga?

“Ia memberikan kepuasan dapat berniaga dengan ahli keluarga sendiri. Selain dapat bertemu satu sama lain, ia juga tentunya merapatkan silaturahim antara suami dan anak-anak.

“Meskipun memberikan tekanan disebabkan personaliti yang kontra, lama-kelamaan, anda semakin banyak mempelajari tentang pasangan anda dan sekaligus membantu dalam mengukuhkan rumahtangga,” cerita Cik Syafiqah lagi.

MAHU CIPTA WARISAN BAGI ANAK DAN MASYARAKAT

Walaupun pada mulanya perniagaan Cendol Kain Pelikat bermula sebagai wadah pendapatan sampingan, rezeki datang mencurah-curah bagi pasangan suami isteri ini, sehingga mereka berjaya membiayai perbelanjaan keluarga sepenuhnya.

Bahkan, Cik Syafiqah turut berkongsi bahawa perniagaan itu juga sedikit sebanyak melambangkan warisan serta peninggalan yang dapat beliau bekalkan bagi masa depan anaknya yang sulung, yang sudah mencecah 13 tahun.

(Gambar-gambar: Ira Musfirah)

“Jika perniagaan ini dapat berterusan, anak saya bolehlah menyambung usaha ini sebagai perniagaan keluarga. Itu yang benar-benar mendorong kami untuk mengusahakan perniagaan ini,” kata Cik Syafiqah penuh harapan kepada pihak kami.

Malah, kedua-dua pengasas Cendol Kain Pelikat ini memiliki hasrat yang lebih besar lagi, iaitu untuk terus meneruskan warisan tradisional bagi masyarakat tempatan.

“Walaupun kami belajar dari kenalan dari Johor, kami mengubah suai resipinya mengikut cita rasa tempatan (Singapura).

“Malah, apabila kami berniaga di luar, ada yang fikir kami adalah orang Malaysia, hanya kerana cendol kami memiliki rasa tradisional. Tetapi kami bangga mengatakan kami anak Singapura dan ini cendol asli Singapura,” kata Cik Syafiqah kepada BERITAMediacorp, penuh rasa bangga. Bangga yang bersalut tekad dan semangat.

Jika usaha niaga pasangan suami isteri ini berjaya, berkembang dan menjadi sebutan ramai, perkataan kain pelikat nanti benar-benar bukan setakat kain sarung. Bukan setakat kain.

Tapi, Kain Pelikat ialah Cendol yang masyhur dan harum baunya! 


LAPORAN LAIN:

Sumber : BERITA Mediacorp/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan