Images
  • phone
    Gambar fail seorang yang sedang menggunakan telefon bimbit. (Gambar: Xabryna Kek)

Ini 5 tip paling berkesan cas telefon bijak

INDIA: "Bagaimana cara untuk mengecas bateri telefon bijak?"

Soalan ini mungkin kedengaran terlalu asas sedang telefon bijak digunakan dengan amat meluas.

Namun menurut laporan TimesNowNews, masih ramai yang melakukan kesilapan apabila mengecas telefon mereka, meskipun ia satu rutin harian.

Pastinya seorang pengguna tidak ingin telefon mereka mudah rosak akibat mengecas bateri dengan cara salah.

Lantaran itu, TimesNowNews mengumpulkan lima tips untuk mengelakkan kesilapan lazim apabila mengecas telefon bijak:

1. Patuhi mantra '20-80'

Telefon bijak tidak sepatutnya digunakan hingga baterinya habis, kerana ia akan menjejas kapasiti bateri.

Amalan paling baik adalah untuk mula mengecasnya apabila paras kuasa bateri mula mencecah 20 peratus.

Untuk melanjutkan jangka hayat dan kapasiti bateri, sudah memadai jika telefon itu dicas sehingga sekitar 80 peratus sahaja setiap kali.

2. Kurangkan kitaran cas bateri

Mengecas telefon dengan terlalu kerap juga membuatnya mudah panas dan lebih sukar untuk menyimpan tenaga cas secara berkesan.

Maka itu, pastikan anda cas telefon anda cukup untuk kegunaan sehari agar tidak perlu mengecasnya berulang-ulang kali dalam sehari.

3. Jangan cas telefon semalaman

Menurut TimesNowNews lagi, telefon bimbit tidak sepatutnya dicas ataupun diletakkan berdekatan dengan katil anda semalaman, akibat radiasi yang dikeluarkan oleh gajet itu.

Selain berpotensi membawa kesan kepada kesihatan, mengecas telefon semalaman juga mengakibatkan bateri mudah panas dan kembang.

Dalam situasi paling ekstrim, dikhuatiri bateri itu juga boleh meletup.

4. Jangan gunakan pengecas 'fast-charging' jika ciri itu tidak disokong telefon anda

Anda tidak digalakkan menggunakan pengecas dari model berbeza dari telefonnya untuk mengecas telefon bimbit mereka.

Bagi telefon yang tidak mempunyai ciri cas laju atau 'fast-charging' pula, jangan sesekali gunakan pengecas laju kerana ia mengeluarkan volt lebih tinggi. Ini akan membuat bateri cepat panas dan mudah rosak.

5. Tanggalkan selongsong luaran telefon semasa mengecas

Setiap bateri akan menjadi panas sedikit apabila dicas.

Lantaran itu agar haba tidak terperangkap dan menaikkan suhu telefon, keluarkan gajet daripada selongsong luaran ('phone casing') semasa mengecas telefon.

Selain lima langkah ini, jangan lupa baca panduan keselamatan dan arahan yang disediakan bagi setiap alat yang anda gunakan agar dapat mengelakkan insiden yang tidak diingini! 

- Agensi berita/TQ/tq

Top