Images
  • Nasi lemak gateaux
    (Gambar: BERITAMediacorp)

Ini 10 hidangan khas Hari Kebangsaan termasuk Nasi Lemak Gateaux...

BERITAMediacorp: Bukan rakyat Singapura sahaja, tetapi makanan di sini juga menyambut Hari Kebangsaan Singapura ke-53!

Makanan-makanan yang kami maksudkan ini bukan setakat 'pasang badan' dengan lambang-lambang negara, malah ia juga dijual lebih murah dek pelbagai potongan harga yang ditawarkan - semua ini demi meraikan ulang tahun Kota Singa ini.

Di sini, BERITAMediacorp menyenaraikan untuk anda 10 hidangan unik dan khas bagi Hari Kebangsaan. Ada yang eksklusif dan ada yang bukan sahaja sedap tetapi sesuai untuk dimakan sambil anda menonton acara Perbarisan Hari Kebangsaan (NDP).

1) NASI LEMAK GATEAUX

Nasi Lemak Gâteaux atau boleh disebut sebagai kek nasi lemak ini tidak mengecewakan.

Luarannya sahaja sudah cukup untuk membuatkan anda bersemangat melafazkan ikrar negara. Lengkap dengan warna merah putih, lima bintang dan bulan sabit lambang bendera negara.


(Gambar: BERITAMediacorp)

Mengikut tema, Nasi Lemak Gâteaux adalah kek span dengan empat lapisan. Lapisan paling bawah terdiri daripada asas bijirin 'rice krispy', marshmallow, kacang tanah dan ikan bilis. Kek span diletakkan di lapisan kedua.

Lapisan ketiga adalah krim sambal yang dibuat daripada sambal, santan dan mascarpone (krim keju) sebelum diletakkan mousse kelapa dan nasi pandan sebagai lapisan kempat.


(Gambar: BERITAMediacorp)

Gabungan bahan-bahan tersebut menghidupkan letusan rasa manis, masin, lemak dan sedikit pedas! Unik sekali. BERITAMediacorp berpeluang mencubanya dan rasanya memang 'sebijik macam nasi lemak!'.

Nasi Lemak Gâteaux boleh anda cuba apabila anda menjamu selera bufet di restoran terkenal Carousel di Royal Plaza on Scotts mulai hari ini (7 Ogos) hingga 9 Ogos.

2) LEMPER OTAH

Khas sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-53, kedai makanan Ratu Lemper menawarkan Lemper Otah. Lemper ini dijual pada harga simbolik, $5.30 bagi setiap tiga potong dan hanya boleh dibeli dari 1 hingga 12 Ogos.


(Gambar: BERITAMediacorp)

Jika anda masih belum tahu, lemper adalah pulut yang dimasak dengan santan dan lazimnya diletakkan lapisan ayam atau daging. Ratu Lemper dikenali dengan lemper-lempernya yang lembut dan lemak. Setiap satu lempernya pula dibalut dengan daun pisang.

Selain itu, Lemper Ayam juga diberikan potongan harga 50 sen dari $5.80 kepada $5.30 bagi setiap tiga potong.


(Gambar: BERITAMediacorp)

Lemper Ayam terdapat dalam tiga perisa biasa, pedas dan 'extra' Pedas dan boleh dibeli pada harga promosi mulai hari ini (7 Ogos) hingga 12 Ogos.

3) BURGER RENDANG & BURGER HAINANESE

Dua hidangan kegemaran rakyat Singapura - Nasi Ayam Hainanese dan lauk Rendang dijadikan burger!

Restoran makanan segera Burger King menawarkan dua jenis burger baru iaitu Hainanese Tendergrill Chicken dan Rendang Beef Tendergrill Chicken.


(Gambar: laman Burger King)

Setiap satu set dijual pada harga promosi $5.30 dari 1 hingga 10 Ogos sempena Hari Kebangsaan. Harga biasa bagi hidangan itu adalah $7.95. Ini bermakna bagi masa terhad ini, anda menikmati potongan harga lebih 30 peratus atau $2.65!

Setiap set Burger termasuk minuman dan kentang goreng. Namun bagi Burger Hainanese, terdapat sambal nasi ayam untuk melengkapkan rasa Nasi Ayam Hainanese. Apa kata anda cuba sendiri... Kami sendiri sudah cuba dan ia memang sedap! Tak sangka, nasi ayam Hainan boleh di-burgerkan dengan mutu rasa sebegini.

4) LYCHEE BANDUNG CHOUX AU CRAQUELIN

Sekali pandang, bentuk pastri ini seperti sebuah kotak perhiasan yang di dalamnya tersimpan sebutir mutiara. Ini adalah satu lagi pencuci mulut simbolik sempena Hari Kebangsaan yang dihasilkan oleh kedai pastri halal Konditori di kawasan Arab Street.

Pastri choux adalah paf krim yang dilengkapi dengan hiasan atas (topping) yang rangup. Lychee Bandung Choux Au Craquelin ini diilhamkan daripada warna kebanggaan negara - merah putih - dan juga minuman klasik kegemaran ramai penduduk setempat - Bandung.

Intinya adalah krim putar bandung bertatahkan buah laici.


(Gambar: BERITAMediacorp)

Pastri ini sudah mula dijual sejak 4 Ogos dan anda masih boleh mendapatkannya pada harga $5.30 setiap satu di Konditori, Bussorah Street.

5) SHIOK S'PURA BERSAMA DELIVEROO

Bagi yang mahu mengelak daripada keluar rumah dan bersesak-sesak dengan orang ramai pada cuti Hari Kebangsaan nanti, apa kata anda tempah penghantaran ke rumah sahaja.

Sempena Hari Kebangsaan yang ke-53, syarikat penghantaran makanan Deliveroo menawarkan beberapa hidangan yang berciri tempatan pada harga $5.30, $0.53 atau harga yang diberi potongan harga $5.30!


Empat restoran halal menyertai promosi tersebut - Crave, PappaRich, PastaMania dan Qi Ji. Semuanya menawarkan satu atau dua hidangan pada harga $5.30.

Restoran Nasi Lemak Crave menawarkan set Nasi Lemak Ayam 'cutlet'.

PappaRich menawarkan Penang Char Kway Teow dan Nasi Goreng Istimewa dengan Peha Ayam Goreng.


(Gambar: Deliveroo/Facebook)

PastaMania menawarkan Aglio Olio manakala Qi Ji menawarkan dua popiah basah udang. 


(Gambar: Deliveroo/Facebook)

- BERITAMediacorp/nk

Top