Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Ikuti 5 tips berguna ini untuk anda harungi kesesakan di Artbox S’pore 2017

Hujung minggu tiba lagi dan pasti ramai di negara ini sudah mengetahui acara Artbox Singapore iaitu pasar lambak khas yang “diterbangkan” dari Thailand.

Anggaran Waktu Membaca:
Ikuti 5 tips berguna ini untuk anda harungi kesesakan di Artbox S’pore 2017

Acara Artbox Singapore minggu lalu berjaya menarik lebih 300,000 orang. (Gambar: Artbox Thailand / Facebook)

SINGAPURA: Hujung minggu tiba lagi dan pasti ramai di negara ini sudah mengetahui acara Artbox Singapore iaitu pasar lambak khas yang “diterbangkan” dari Thailand.

Acara yang diadakan pada dua hujung minggu itu menyasarkan untuk menarik sekitar 400,000 pengunjung secara keseluruhan.

Namun selepas hujung minggu pertama yang diadakan minggu lalu, BERITAMediacorp mendapati rata-rata laporan online memberikan maklum balas yang menyuarakan kekecewaan mereka.

BERITAMediacorp sendiri sempat meninjau keadaan pada minggu lalu dan merumuskannya sebagai satu keadaan seperti “sardin dalam tin” kerana keadaan sesak membuat ramai yang hadir tidak berjaya membeli atau mencuci mata dengan puas.

Selepas meninjau pandangan para pengunjung, cadangan dari pelbagai laporan online dan juga dari para penjual di Artbox Singapore itu sendiri, BERITAMediacorp membawakan untuk anda 5 tips bagi mengharungi keadaan “sardin dalam tin” itu.

1. BERPAKAIAN SELESA ITU PENTING

Pastikan anda memakai pakaian yang selesa. Atau, lebih baik lagi pakaian yang kainnya jenis senang untuk menyerap peluh. Ini kerana anda pasti akan berpeluh dan juga berdepan dengan cuaca tidak menentu, haba daripada makanan yang sedang disediakan dan juga keadaan trafik yang sesak.

Daripada tinjauan kami minggu lalu, kami mendapati aliran trafik yang berpusu-pusu tidak henti-henti membuat jarak anda dengan para pengunjung lain terlalu dekat.

“Bazar Geylang Serai pun kalah!” seloroh seorang pengunjung yang ditemui kami. Jadi kepada anda yang ingin memperagakan fesyen terkini ataupun pakaian pilihan anda hari ini (OOTD), nasihat kami - lupakan saja hajat itu.

Memakai seluar dan baju yang labuh dan kasut atau sandal yang selesa sudah memadai untuk anda merempuh Artbox Singapore 2017 ini.

2. JANGAN GUNA KERETA SORONG

Bagi ibu bapa yang akan membawa anak anda yang masih kecil lagi, tips kedua kami adalah untuk tidak menggunakan kereta sorong apabila anda ke sana.

Anda mungkin ingin menimbangkan untuk menggunakan alat penggendong bayi. Bukan kerana orang ramai tidak memahami keadaan anda tetapi orang ramai sendiri tidak dapat membuat apa-apa untuk membantu anda disebabkan keadaan yang sesak sangat.

Tambahan lagi, dengan menggunakan alat penggendong bayi, anda dapat berjalan dan melihat sekitaran acara itu dengan lebih baik lagi. Anda juga tidak perlu memikirkan jika kereta sorong anda itu akan “melenyek” kaki para pengunjung lain.

“Nasib baik saya tidak bawa kereta sorong. Jikalau tidak, saya sendiri tidak tahu bagaimana untuk mengendalikannya di dalam tadi,” kata seorang ibu, Cik Suhaila yang membawa anak lelakinya yang berusia tiga tahun.

3. HUJAN OH HUJAN

Mungkin untuk kali ini saja, anda ingin menukar lirik “hujan oh hujan, kenapa engkau turun” kepada “hujan oh hujan turunlah hari ini”. Namun, pastikan anda membawa baju hujan atau payung sebelum itu!

Menurut satu catatan blog tempatan, waktu hujan minggu lalu adalah masa yang paling terbaik untuk anda terus “memburu” barangan atau hidangan yang anda inginkan. Ini kerana itu sajalah saatnya keadaan Artbox Singapore nampak lengang.

Perkara itu disetujui seorang penjual di acara itu yang ditemui BERITAMediacorp: “Pada awalnya hujan turun dengan lebat, tiada orang. Apabila cuaca mula reda, bilangan pengunjung bertambah dengan mendadak.”

Walaupun gambar anda kebasahan di kawasan bandar (atau pada sebelah awal hari itu) bukan sesuatu yang diinginkan, nampaknya itu sajalah masa keadaan di Artbox Singapore lengang. Kata orang, hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih.

Lantas, siapkan baju hujan dan payung dan berharap keadaan lengang semasa hujan itu benar. Jangan cakap abang tak payung!

4. JANGAN SESAT, GUNAKAN PETA

Bagi sebilangan daripada anda yang sudah membuat “kajian” mengenai acara Artbox Singapore ini, pastikan anda menyenaraikan kedai atau barangan yang ingin dibeli.

Sebelum anda masuk pula, pihak penganjur sebenarnya sudah menyediakan peta yang menandakan kedudukan kedai-kedai di sana.

Semak senarai anda dengan peta yang disediakan supaya anda dapat memastikan laluan yang terbaik untuk diambil. Jikalau tidak, anda akan membuang masa menggunakan laluan yang salah dan berdepan dengan kesesakan.

Bagi anda yang belum membuat persediaan pula, cuba meninjau laman-laman sosial atau akaun media sosial para penjual yang menyertai acara Artbox Singapore 2017. Jikalau anda bernasib baik, ada di antara penjual yang menyatakan kedudukan gerai mereka di acara berkenaan.

Antara menjadi kunjungan ramai menurut pemerhatian kami adalah kedai perabot Hip Van, kedai The Lab SG/Sinseh The Grocery yang menjual makanan dan minuman halal yang bertemakan ‘Galaxy’ dan kedai Bangkok Street Thai Pancakes yang menjual makanan ringan popular negara Thailand.

5. JANGAN PANIK

Kami juga menasihati anda untuk membawa sebotol air untuk membasahkan tekak dan juga untuk menghidratkan diri anda.

Meskipun pihak penganjur ada menyediakan bantuan kecemasan, sentiasalah menghidratkan diri anda supaya dapat mengelak kejadian yang tidak diingini. Mentelah lagi, dengan keadaan yang sangat sesak, peluang untuk membeli air minuman mungkin mengambil masa yang agak lama.

Jangan lupa untuk alas perut dahulu sebelum ke sana. Dengan perut yang tidak berkeroncong dan tahap kehausan yang terjaga, pasti ia membantu anda dalam mengharungi keadaan sesak "seperti sardin dalam tin”.

Jangan panik. Terus bertenang dan menikmati sekitaran acara itu yang buat julung-julung kalinya diadakan di Singapura. 

LAPORAN BERKAITAN:

Sumber : BERITA Mediacorp/ru
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan