Images
  • solar energy
    Panel tenaga suria yang sedang diuji di Singapura. 

HDB kaji guna panel suria terapung di laut

SINGAPURA: Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) sedang menimbangkan langkah memasang panel-panel kuasa suria yang diapungkan di laut, dalam usaha mempercepatkan penggunaan tenaga suria di negara ini.

Bagi tujuan itu, HDB mengumumkan pada Ahad (8 Jul) ia akan memulakan satu kerjasama dengan syarikat, ISO Landscape untuk mulakan kajian bagi menguji sistem modular yang mampu menyokong panel suria dalam keadaan laut terbuka.

Perjanjian yang akan ditandatangani pada Selasa sempena Sidang Puncak Bandar-Bandar Sedunia merangkumi kajian dan pembangunan sistem panel suria terapung dalam keadaan laut yang lebih mencabar seperti ombak dan angin kencang.

"Satu cara untuk lebih memanfaatkan kuasa suria di Singapura ialah untuk melihat ke laut. Ini merupakan pendekatan yang praktikal memandangkan kawasan tanah yang terhad di Singapura," menurut ketua pegawai eksekutif HDB Cheong Koon Hean.

Buat masa ini sebahagian besar panel suria dipasang di bumbung flat HDB. 2,400 blok flat sudah dipasang panel sedemikian. Menjelang 2020 sekitar 5,500 blok flat HDB akan dipasang atau sudah dikenalpasti untuk dipasang panel suria.

Langkah terbaru HDB itu menyusuli kejayaan pemasangan sistem modular di Punggol Waterway pada 2011 yang diapungkan di kolam-kolam air.

Sistem yang sama dipasang untuk mengapungkan sistem panel suria di Kolam Air Tengeh, di Tuas, pada Mei.

Sistem suria itu dianggar menjana kuasa elektrik sekitar 120 megawatt sejam dan mengurangkan pengeluaran karbon sebanyak 60 tan, setahun.
 

- TODAY/TQ/tq

Top