Images
  • hangnadim new cover
  • Hidayah Amin at SAVH
    Cik Hidayah Amin dan kakitangan SAVH menyemak tulisan Braille dalam prototaip buku. (Gambar: Laman Facebook Hidayah Amin)
  • Braille in Hang Nadim Book
    Kakitangan SAVH menyemak tulisan Braille dalam prototaip buku. (Gambar: Laman Facebook Hidayah Amin)

“Hang Nadim” eksklusif bagi kanak-kanak disleksia & cacat penglihatan

SINGAPURA: Tidak lama lagi, kanak-kanak, dengan atau tanpa keperluan khas, boleh memanfaatkan sebuah buku bergambar yang bersifat inklusif.

Berjudul "Hang Nadim and the Garfish", buku itu menyertakan tiga ciri unik termasuk teks dengan font "Dyslexie" yang direka khas untuk pembaca yang mengalami disleksia.

Ia juga mempunyai unsur sentuhan yang dihasilkan secara digital, serta tulisan Braille yang membolehkan golongan cacat penglihatan untuk sama-sama membaca.

Dalam buku itu, penulis tempatan, Cik Hidayah Amin mengungkapkan semula cerita rakyat Singapura yang melibatkan seorang kanak-kanak, iaitu Hang Nadim.

Dalam kisah lagenda Orang Melayu, apabila Singapura diserang oleh ribuan ikan todak, kanak-kanak bijak bernama Hang Nadim mencadangkan untuk membariskan batang pisang di tepi pantai untuk dijadikan kubu pertahanan.

RAIKAN POTENSI KANAK-KANAK

Buku itu disasarkan untuk pembaca yang berusia 4 tahun dan ke atas, dengan falsafah mahu "mendekati tadika dahulu".

Cik Hidayah memberitahu BERITAMediaCorp: "Cerita ini menunjukkan bahawa walaupun kecil, idea mereka (kanak-kanak) penting. Saya mempermudahkan cerita untuk sesuaikan dengan tulisan Braille. Dalam buku ini, kami juga sertakan glosari untuk perkataan sukar seperti todak, dan juga senarai abjad Braille."


Cik Hidayah Amin dan kakitangan SAVH menyemak tulisan Braille dalam prototaip buku. (Gambar: Laman Facebook Hidayah Amin)

Awal minggu ini, Cik Hidayah ke Persatuan Cacat Penglihatan Singapura (SAVH) untuk menyemak tulisan Braille dalam prototaip buku "Hang Nadim and the Garfish".

Buku itu adalah yang pertama daripada empat buku dalam siri "Little Kids, Big Ideas".

Siri buku itu meraikan potensi setiap kanak-kanak, mendorong mereka untuk percaya diri sendiri dan kebolehan mereka untuk membawa perubahan kepada dunia.

Buku yang kedua, berjudul "Si Ma Guang and the Giant Jar" sedang diusahakan dan ia juga menceritakan semula cerita rakyat melibatkan seorang kanak-kanak.

SALINAN BUKU TERHAD

Menurut Cik Hidayah, buku khas itu akan dicetak dalam jumlah yang terhad, iaitu sekitar 200 salinan.

Cik Hidayah menambah: "Kami tidak tahu bagaimana sambutannya, memandangkan buku ini adalah yang pertama seumpamanya. Tidak murah untuk menghasilkannya kerana teknologi yang digunakan untuk mencetak buku-buku ini."


Buku "Hang Nadim and the Garfish" (Gambar: Laman Facebook Hidayah Amin)

Buku tersebut bagaimanapun boleh dikatakan dalam kategori mahal. Cik Hidayah berkata, harganya "sekitar $40 dan kurang daripada $50".

Buku "Hang Nadim and the Garfish" akan dilancarkan pada Sabtu, 20 Jun di Plaza, Bangunan Perpustakaan Negara.

Ia di bawah projek buku masyarakat yang disokong oleh Dana Seni Majlis Seni Kebangsaan.

- BERITAMediaCorp/is

Komen Anda?

Top