Images
  • screentime
    Alat digital didapati boleh menyumbang kepada risiko penyakit jantung. (Gambar: Roslan Rahman/AFP)

Hadkan penggunaan alat mudah alih; lindungi jantung anak

WASHINGTON: Peringatan kepada ibu bapa!

Kini terdapat satu lagi sebab mengapa anda harus mengehadkan masa yang diluangkan anak-anak anda menggunakan alat mudah alih. Persatuan Jantung Amerika (AHA) menyatakan bahawa pendedahan yang lama kepada alat digital boleh menyumbang kepada risiko penyakit jantung pada masa hadapan.

Nasihat terbaru AHA itu, menurut laporan agensi berita CNN, mengukuhkan lagi saranan yang ada sekarang untuk mengehadkan masa penggunaan alat tersebut kepada tidak lebih sejam dua dalam sehari bagi kanak-kanak dan golongan remaja.

"Masa yang diluangkan menggunakan alat mudah alih dikaitkan dengan masalah berat badan yang berlebihan dan kegemukan, yang ada kaitan dengan paras kolesterol yang tinggi serta tekanan darah tinggi," kata pakar kardiologi kanak-kanak, Dr Stephen Daniels, yang juga merupakan jurucakap AHA. "Faktor risiko seperti masalah kegemukan yang dialami semasa usia kecil mungkin berlarutan sehingga kanak-kanak menjadi dewasa."

Pengerusi Majlis Perhubungan dan Media Akademi Pediatrik Amerika, Dr David Hill, bersetuju. Beliau berkata: "Kesihatan jantung bermula pada usia kecil lagi. Jadi, saya rasa adalah penting bagi Persatuan Jantung Amerika meneliti setiap isu yang mungkin menyumbang kepada penyakit jantung."

Panel yang terdiri daripada para pakar AHA sudahpun menyemak kajian sains yang dijalankan selama 20 tahun mengenai hubungan antara penyakit kardiovaskular, angin ahmar dan tempoh masa diluangkan kanak-kanak dan remaja menggunakan alat mudah alih. CNN difahamkan para pakar mendapati bahawa meskipun masa menonton televisyen semakin rendah, namun penggunaan alat mudah alih kian meningkat.

Kanak-kanak yang berusia antara lapan dengan 18 tahun dianggarkan mengguna telefon bijak, tablet, alat permainan video dan alat rekreasi yang lain termasuk televisyen, selama lebih tujuh jam sehari.

Dr Hill berkata: "Sama ada mereka bermain permainan video ataupun menggunakan komputer riba atau komputer, kanak-kanak masih berduduk sahaja dan tidak aktif."

"Terdapat data yang menunjukkan bahawa masa menonton televisyen pada usia kecil boleh dikaitkan dengan masalah kegemukan di kalangan kanak-kanak," kata Dr Hill, sambil menambah bahawa ada kaitan antara iklan-iklan mengenai makanan kurang sihat dengan kemungkinan seseorang kanak-kanak akan memakan snek ketika menonton televisyen.

Selain itu, seorang penyelidik dari Institut-INRS Armand Frappier dan Pusat Penyelidikan Hospital Universiti Sainte-Justine di Montreal, Tracie Barnett, berkata: "Ada juga bukti yang menunjukkan bahawa skrin-skrin mudah alih boleh menjejas mutu tidur, dan ini juga boleh meningkatkan risiko kegemukan."

CNN menukil Dr Hill sebagai berkata bahawa sejauh ini, kajian tidak menunjukkan sebarang kaitan antara masalah kegemukan dengan media sosial atau permainan video. Ini mungkin kerana adalah lebih sukar untuk seseorang itu makan ketika bermain. Bagaimanapun, beliau menekankan bahawa penyelidikan jangka panjang perlu dijalankan memandangkan teknologi kini semakin canggih.

Panel pakar AHA juga bersetuju bahawa tidak banyak yang diketahui mengenai kesan penggunaan alat mudah alih jangka panjang terhadap kesihatan kanak-kanak. Menurut panel itu, para ibu bapa juga memerlukan nasihat yang berteraskan hasil penyelidikan mengenai cara mengehadkan masa penggunaan alat mudah alih dengan skrin serta bagaimana untuk meningkatkan kegiatan fizikal kanak-kanak.

Nasihat bagi ibu bapa termasuk galak anggota keluarga anda untuk mengamalkan gaya hidup yang lebih aktif, luangkan masa untuk melakukan kegiatan fizikal setiap hari, serta jangan meletakkan televisyen atau alat mudah alih di dalam bilik tidur.  

- Agensi berita/AI/ai

Top