Images
  • grabfresh gambar
    (Gambar: Grab)

GrabFresh dilancarkan; khidmat baru hantar barangan dapur

SINGAPURA: Syarikat teknologi Grab, pada Selasa (10 Jul) mengumumkan bahawa ia akan menceburi perniagaan penghantaran barangan dapur melalui khidmat GrabFresh.

Ia akan bekerjasama dengan penyedia khidmat penghantaran barangan dapur serantau HappyFresh yang akan menawarkan khidmat itu melalui aplikasi Grab yang diubahsuai.

Grab menyatakan lebih 100,000 produk barangan dapur dari lebih 50 rangkaian pasar raya dan pembekal khas barangan dapur akan disediakan melalui HappyFresh.

Para pemandu GrabExpress dan rakan kerjasama khidmat penghantarannya boleh menghantar barangan pesanan pelanggan ke rumah mereka dalam masa satu jam atau pada waktu-waktu yang ditetapkan terlebih dahulu.

Para pelanggan boleh menolak tempahan yang dibuat jika barangan hantaran itu kurang memuaskan, tambah Grab.

GrabFresh dijangka akan berdepan dengan persaingan daripada para pemain industri yang lain seperti Amazon Prime, RedMart dan NTUC FairPrice yang juga menawarkan khidmat yang serupa.

Ia disediakan sebagai khidmat beta di Jakarta bermula bulan ini, disusuli pula di Thailand dan Malaysia menjelang hujung tahun. Kesemuanya merupakan pasaran sedia ada HappyFresh.

Grab menambah bahawa khidmat itu akan dikembangkan ke negara-negara lain seperti Singapura, namun tidak mengumumkan tarikhnya.

- CNA/TQ/tq

Top