Skip to main content

Iklan

Iklan

Teknologi

Google, Facebook didakwa ‘rompak’ berita

Agensi-agensi berita terbesar Eropah dalam kenyataan bersama menuduh Google dan Facebook melakukan ‘rompakan’ apabila mengambil berita-berita mereka secara percuma dan sebagai penyelesaian syarikat gergasi internet berkenaan dipaksa supaya berkongsi pendapatan dengan mereka.

Anggaran Waktu Membaca:
Google, Facebook didakwa ‘rompak’ berita

(Gambar fail: Dado Ruvic/REUTERS)

Diterbitkan : 05 Sep 2018 04:40PM Dikemas Kini : 05 Sep 2018 04:42PM

PARIS: Agensi-agensi berita terbesar Eropah dalam kenyataan bersama menuduh Google dan Facebook melakukan ‘rompakan’ apabila mengambil berita-berita mereka secara percuma dan sebagai penyelesaian syarikat gergasi internet berkenaan dipaksa supaya berkongsi pendapatan dengan mereka.

Menukil AFP, Utusan Online melaporkan bahawa kenyataan itu diterbitkan dalam satu ruangan ditandatangani oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) daripada lebih 20 agensi berita AFP, Persatuan Akhbar Britain dan Deutsche Presse-Agentur dari Jerman.

Kesemua mereka menyeru Parlimen Eropah supaya mengemas kini undang-undang hak cipta di Kesatuan Eropah (EU) bagi membantu menangani apa yang berlaku itu.

“Syarikat-syarikat gergasi internet merompak kandungan media berita dan hasil pengiklanan mereka menimbulkan ancaman kepada pengguna dan demokrasi,” jelas ruangan itu, seperti ditukil Utusan Online.

Para penggubal undang-undang Parlimen Eropah akan membahaskan undang-undang hak cipta baru bulan ini yang akan memaksa syarikat-syarikat gergasi internet tersebut membayar lebih bagi kandungan kreatif yang digunakan dalam platform mereka seperti berita, muzik atau filem.

Utusan Online melaporkan bahawa draf pertama undang-undang berkenaan ditolak pada Julai lalu dan cadangan itu ditentang hebat oleh firma teknologi AS, serta penyokong kebebasan internet yang bimbang peraturan tersebut boleh membawa kepada peningkatan kos kepada pengguna.

“Bolehkah syarikat-syarikat internet membayar pampasan kepada media tanpa meminta pengguna membayar akses kepada internet, kerana mereka mendakwa mereka mungkin terpaksa (mengenakan bayaran)? Jawapannya jelas sekali, ‘ya’,” kata ruangan itu.

Menurut agensi-agensi terbabit, Facebook melaporkan pendapatan sebanyak AS$40 bilion (S$55 bilion) pada tahun lalu dengan jumlah keuntungan sebanyak AS$16 bilion (S$22 bilion) sementara Google memperoleh AS$12.7 bilion (S$17.5 bilion) daripada hasil jualan sebanyak AS$110 bilion (S$151.3 bilion).

“Siapa yang boleh mempertikaikan dengan alasan kukuh bahawa mereka tidak mampu membayar secara adil bagi kandungan yang mereka gunakan?

“Apa yang kita perkatakan adalah memperkenalkan pembayaran yang adil kepada mereka yang ‘mencuri’ berita-berita kami. Demi kebebasan akhbar dan nilai-nilai demokratik Eropah, Ahli Parlimen EU perlu melaksanakan pembaharuan dalam hak cipta,” tambah mereka.

Ruangan tersebut juga menandakan usaha melobi yang terbaru dilakukan oleh kumpulan media, disokong rakan artis seperti Paul McCartney bagi mendapatkan sokongan penggubal undang-undang Eropah ketika mereka bersiap sedia untuk melakukan undian kedua pada 12 September ini.

Usaha itu melibatkan dua bahagian undang-undang baru.

Perkara pertama adalah Artikel 13 yang akan menjadikan platform seperti YouTube milik Google bertanggungjawab secara sah terhadap bahan yang memiliki hak cipta bagi mengelakkan hasil kerja pengeluar kandungan atau 'content' dimuat naik tanpa dibayar.

Perkara kedua pula melibatkan Artikel 11 yang akan mewujudkan ‘hak jiran’ atau bermaksud akhbar, majalah dan agensi berita harus dibayar apabila Google atau laman sesawang lain mengadakan pautan kepada bahan berita mereka.

“Tanpa membayar, gergasi internet seperti Google dan Facebook menggunakan sejumlah besar berita yang dihasilkan dengan harga yang tinggi oleh penerbit akhbar dan agensi berita,” tambah kenyataan bersama itu.

Sumber : AFP/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan