Images
  • google pixel
    Telefon bijak Google Pixel 3 XL yang baru. (Gambar: AFP)

Google bawa telefon bijak Pixel 3 ke S'pura bulan depan

SINGAPURA: Google hari ini (10 Okt) mengumumkan ia akan membawa telefon bijak Pixel 3 dan Pixel 3 XL ke Singapura buat pertama kali bermula 1 November.

Produk terkini syarikat gergasi teknologi itu akan dijual syarikat telko Singtel dan StarHub serta kedai online Google sendiri. Edisi tahun lalu dijual secara eksklusif oleh Singtel, dan hanya Pixel 2 XL yang ditawarkan.

Harga bagi Pixel 3, yang mempunyai skrin berukuran 5.5 inci, bermula dari S$1,249 sementara bagi Pixel 3 XL harganya dari S$1,399. Model itu ditawarkan dengan tiga pilihan warna - hitam, putih dan warna baru, merah jambu.

Singtel menyatakan bahawa model Pixel 3 mempunyai memori dalaman sebesar 64GB manakala model Pixel 3 XL ditawarkan dengan pilihan 64GB atau 128GB. Ia juga mempunyai hak eksklusif untuk menjual peranti Pixel dalam warna yang baru. Para pelanggan boleh membuat tempahan awal bermula hari ini (10 Okt).

StarHub pula menyatakan ia akan mengumumkan harga jualan Google Pixel dekat dengan hari pelancaran, tetapi para pelanggan boleh membuat bayaran ansuran selama 12 atau 24 bulan melalui bil bulanan mereka.

Alphabet pada Selasa (9 Okt) mendedahkan edisi ketiga telefon bijak Pixel, di samping pembesar suara bijak Google Home yang mempunyai paparan skrin dipanggil Home Hub, dan satu peranti tablet baru, The Pixel Slate.


Gambar telefon bijak Google Pixel 3 dan Pixel 3 XL semasa majlis pelancaran produk Google di New York City. (Gambar: AFP)

Pixel 3 akan dilancarkan di 13 negara dengan pasaran baru termasuk Perancis, Ireland, Jepun dan Taiwan.

Tablet Slate ditawarkan di Amerika Syarikat, Britain dan Kanada, sementara Home Hub Google akan dilancarkan di Amerika Syarikat, United Kingdom dan Australia. 

- CNA/AQ/ai

Top