Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

George Town dipilih sertai projek UNESCO

Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) memilih George Town untuk menyertai dua projek warisan perintis.

Anggaran Waktu Membaca:
George Town dipilih sertai projek UNESCO

(Gambar: amar_hasshim/Instagram)

Diterbitkan : 02 Oct 2018 11:57AM Dikemas Kini : 02 Oct 2018 12:01PM

GEORGE TOWN: Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) memilih George Town untuk menyertai dua projek warisan perintis.

Ketua Unit Kebudayaan Pejabat UNESCO di Jakarta, Moe Chiba, berkata projek perintis pertama akan memberi fokus kepada urusan penyediaan inventori berkaitan warisan budaya tak ketara melalui penyertaan masyarakat. George Town merupakan satu-satunya bandar raya di Asia yang dipilih menyertai projek berkenaan.

"Pendekatannya melibatkan penyertaan masyarakat setempat dalam menyediakan inventori berkenaan. Ia tidak akan diterajui ahli akademik, tetapi merupakan inisiatif diterajui masyarakat sendiri. Kami melaksanakannya di George Town di samping dua bandar raya lain, satu di Afrika dan satu lagi di Amerika Latin.

"Inventori perlu dibuat di peringkat tempatan kerana pada akhirnya nanti, masyarakat, pemegang kepentingan akan berasa komited untuk meneruskan amalan itu,” katanya.

Beliau menambah, dengan cara itu, masyarakat akan dapat menceritakan kisah mereka sendiri kepada orang ramai serta memberi fokus terhadap perkara yang mereka anggap penting.

Menurut Cik Chiba, projek kedua pula akan memberi tumpuan tentang cara untuk membangunkan industri tempatan di tapak warisan dunia melalui pelibatan semua pihak berkenaan dalam usaha menyediakan pelan tindakan.

"Kami sedang memulakan projek ini yang bertujuan menghimpunkan semua pihak berkaitan, muzium, pusat industri kreatif, tukang tempatan, pengamal warisan dan pengurus tapak untuk sama-sama menyediakan pelan tindakan bagi mewujudkan kehidupan yang lebih sejahtera di bandar raya warisan," katanya.

Cik Chiba berkata George Town dipilih menyertai projek itu kerana bandar raya ini mempunyai potensi untuk menjadikannya berjaya.

Sementara itu, dalam ucapannya, Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata kerajaan negeri akan berusaha memajukan sektor industri kreatif bagi merancakkan lagi pertumbuhan ekonomi serta mewujudkan pekerjaan serta pendapatan untuk isi rumah melalui projek dan kerjasama yang dijalankan. 

Sumber : Bernama/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan