Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

GAYA HIDUP: Anda sudah cuba trend lipstik 2018 ini?

Untuk memudahkan anda membuat pilihan, ikuti saranan dan tip berikut. Selain dapat bergaya dengan rona lipstik yang ideal anda juga dapat mempelajari aplikasi lipstik yang tepat.

Anggaran Waktu Membaca:
GAYA HIDUP: Anda sudah cuba trend lipstik 2018 ini?
Diterbitkan : 11 Aug 2018 11:07PM Dikemas Kini : 12 Aug 2018 12:13AM

BERITAmediacorp: Rambang mata bila melihat pelbagai rona lipstik yang baru diperkenalkan di pasaran. Bila hendak membeli lipstik baru, mesti ada yang tertanya-tanya rona dan jenis apa yang menjadi trend sekarang?

Untuk memudahkan anda membuat pilihan, ikuti saranan dan tip berikut. Selain dapat bergaya dengan rona lipstik yang ideal anda juga dapat mempelajari aplikasi lipstik yang tepat.

Wanita dengan lipstik memang tidak dapat dipisahkan lagi. Hampir setiap wanita mempunyai paling tidak sebatang lipstik di dalam beg tangan. Seperti gaya pakaian, rona lipstik juga memainkan peranan penting dalam penampilan keseluruhan.

Dengan hanya satu olesan, lipstik mampu mengubah gaya dan dapat meningkatkan keyakinan diri dan memberi kesan atau efek yang berbeza-beza dalam setiap penampilan.

APA WARNA POPULAR TAHUN INI?

Hakikatnya, setiap bulan ada saja lipstik baru yang dilancarkan di kaunter kosmetik di pusat membeli-belah. Tampil dalam pilihan yang luas, dari rona hinggalah tekstur dan sebagainya.

Jika rona nude dan merah sensual merupakan warna popular setiap tahun. Tahun 2018 pula memperkenalkan rona terang seperti jingga dan fuschia yang kian menjadi tarikan ramai, terutama golongan muda.

Menurut Penolong Pengurus kaunter jenama Chanel, Cik Nadira Nezamudin, ramai wanita yang kini lebih berani untuk mencuba warna terang kerana ingin tampil trendy mengikut perkembangan gaya masa kini.

“Warna jingga merupakan antara yang popular tahun ini. Sementara lipstik jenis matte pula disenangi ramai kerana ia dapat bertahan lama atau ia lebih long lasting,” kongsi Cik Nadira.

Pakar solek yang mempunyai hampir 20 tahun pengalaman dalam bidang kosmetik ini turut berkongsi, dalam cuaca panas seperti di Singapura ini, rata-rata ramai yang gemar memilih lipstik jenis sheer kerana mereka inginkan keselesaan.

“Bagi saya, usah lah gunakan lipstik jenis sheer sepanjang tahun. Sebab apa, anda akan terlepas untuk bergaya mengikut trend lipstik terkini yang sering kali menampilkan pelbagai pilihan rona yang sangat cantik, antaranya jingga,” sambung Nadira.

Walaupun lipstik jingga bukan warna kegemaran ramai, jika bijak menyesuaikan warna ini dengan gaya pakaian, si pemakai akan kelihatan lebih konfiden dan stylish. Sesuai untuk gaya seharian dan ke acara-acara formal.

Apabila menggunakan gincu rona terang, pastikan ia sesuai dengan rona bibir asli dan bukan rona kulit anda. Contohnya, wanita yang mempunyai bibir yang pucat akan tampak lebih menyerlah dengan gincu rona seperti ceri.

Bagi yang mempunyai rona bibir merah asli, anda boleh berekperimentasi dengan rona merah jambu terang, jingga dan juga kranberi. Dan bagi yang mempunyai rona bibir gelap, cubalah rona seperti merah gelap dan burgundy.

MATTE ATAU GLOSSY?

Menyentuh tentang jenis lipstik pula, walaupun matte yang berona solid menguasai pasaran dan merupakan pilihan wanita seantero dunia, lipstik jenis glossy atau kilat turut kekal di minati ramai.

Teksturnya yang licin dan lembut mudah meresap mesra di bibir dan menjadikan pemakaian begitu selesa dan kulit bibir tidak kering. Jenis lipstik yang mempunyai tekstur cair dan kental ini adakalanya disertakan sekali dengan glitter untuk memberi kesan yang lebih ketara.

Walaupun lipstik glossy tidak dapat bertahan lama dan perlu kerap dioles bila warnanya sudah pudar dari bibir, ia mempunyai keisitmewaan untuk membuat bibir tampil terbentuk dan lebih mungil.

Apa juga pilihan rona, rasanya, anda belum terlewat lagi untuk ikut trend lipstik 2018. Tunggu apa lagi? Jom ke kaunter lipstik dan dapatkan rona terkini yang menepati gaya anda!

5 PETUA APLIKASI LIPSTIK

1. Rona lipstik akan tampil lebih menyerlah bila tekstur bibir lembap. Gunakan lip balm dan biarkan seminit dua sebelum mengoles lipstik.

2. Agar lipstik dapat tahan lebih lama, calitkan pensel bibir pada keseluruhan bibir. Pilih warna yang berbeza dari rona lipstik – satu ton lebih terang atau lebih gelap.

3. Gunakan berus bibir jika inginkan calitan yang lebih kemas.

4. Untuk dapatkan efek bibir yang kilat, sapukan glos bibir.

5. Jika menggunakan lipstik merah darah dan tidak mahu ia kelihatan terlalu ‘garang’, ambil sehelai tisu dan tekapkan pada bibir dan ia dapat memberikan kemasan rona pusam. 

Sumber : BERITA Mediacorp/AO/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan