Images
  • indomie file
    Gambar iklan mi segera Indomie (Gambar: Facebook/Indomie)

Gara-gara banduan 'ketagih' Indomie, Australia terpaksa belanja S$500,000

VICTORIA: Jenama mi segera Indomie boleh dikatakan antara jenama yang paling popular, terutama sekali di rantau ini.

Namun tahukah anda bahawa produk asal Indonesia ini begitu popular di penjara Australia sehinggakan Nine News Melbourne melaporkan bahawa pemerintah di Victoria membelanjakan lebih AUD$500,000 (S$499,064) untuk bekalan Indomie selama dua tahun?

Mungkin ini membuat ramai tertanya-tanya apa yang dibuat dengan mi segera begitu banyak itu?

Menurut laman Mashable, ia disimpan di penjara bersama pelbagai kudap-kudapan dan jajan lain untuk dibeli oleh para banduan, menggunakan hasil pendapatan daripada kerja-kerja yang mereka lakukan semasa di dalam penjara.

Menurut Mashable lagi, mi segera memang sekian lama menjadi sebahagian budaya kehidupan di sesetengah penjara.

Di Amerika Syarikat misalnya, penghuni penjara amat menghargai makanan ringan tersebut sehingga ia diibaratkan sebagai satu bentuk mata wang dalam penjara - lebih berharga daripada rokok.

Namun tidak semua orang menyetujui langkah membeli Indomie atau snek yang begitu banyak bagi banduan.

"Daniel Andrews sepatutnya menjaga penjara," kata John Pesutto, Penolong Peguam Negara, sambil merujuk kepada lelaki yang menjaga sistem penjara wilayah itu.

"Beliau bukan Willy Wonka menguruskan kilang coklat. Satu juta dolar untuk gula-gula?" soal beliau, merujuk kepada filem cereka 'Willy Wonka and the Chocolate Factory'.

Meskipun demikian, sistem memberikan banduan kerja-kerja di dalam penjara sebagai pembangunan perwatakan disokong sesetengah pihak, terutamanya pejuang hak asasi banduan.

"Ini adalah aspek penting untuk memastikan mereka ingin bekerja dan belajar bagaimana untuk merancang kewangan dengan betul, dan ia merupakan sebahagian daripada mekanisme pengurusan penjara dan jel," kata Brett Collins dari kumpulan Prisoners Action Group kepada Nine News Melbourne. 

- Agensi berita/TQ/tq

Top