Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Galeri Seni Islam dibuka di Muzium Tamadun Asia 1 Disember ini dengan 150 artifak dari 10 negara

Satu galeri pameran Seni Islam dengan 150 artifak seni seperti ukiran, khat dan ayat-ayat Al-Quran, bakal dibuka kepada orang ramai bermula 1 Disember ini di Singapura.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Satu galeri pameran Seni Islam dengan 150 artifak seni seperti ukiran, khat dan ayat-ayat Al-Quran, bakal dibuka kepada orang ramai bermula 1 Disember ini di Singapura.

Ia akan pamerkan secara tetap di Muzium Tamadun Asia (ACM) dan bertujuan meneroka bagaimana agama dan kepercayaan disebarkan di rantau ini.

BERITAmediacorp adalah antara yang pertama berpeluang melihat artifak-artifak itu, yang dibawa dari 10 negara termasuk Indonesia, India dan China.

KITAB SUCI ABAD KE-19 ANTARA TARIKAN UTAMA

Berukuran sepanjang 40 sentimeter dan selebar 25 sentimeter, kalimah kitab suci Al-Quran asal Terengganu pada abad ke-19, adalah salah satu karya seni Islam yang akan dipamerkan secara tetap di galeri ACM itu.

Hasil seni halus itu sebahagian daripada artifak terpilih yang melambangkan keindahan seni Islam di rantau ini.

Kurator Galeri Seni Islam, Cik Noora Zulkifli berkata: "Kami ingin menonjolkan seni Islam dari Asia Tenggara kerana selalunya naratif yang standard menyentuh tentang seni Islam daripada Uthmaniyyah sehingga India, zaman Mughal, dan di sini kami ingin menonjolkan seni Islam di Asia Tenggara adalah kaya dan banyak kepelbagaiannya."

Karya seni dengan lambang haiwan bersayap al-Buraq, pula dihasilkan di Mindanao, Filipina pada abad ke-20.

S'PURA TURUT 'SUMBANG' MELALUI JADUAL SOLAT

Malah Singapura turut 'menyumbang' melalui jadual solat yang pernah digunakan di Masjid Wak Sumang, di Punggol. Masjid tersebut dirobohkan pada 1995.

Karya seni lain termasuk pintu antik yang dihiasi dengan ayat-ayat Al-Quran dan kain sarung yang berasal dari Jawa Indonesia, peti simpanan dari Myanmar, serta artifak dari Iran yang kesemuanya mencerminkan tradisi dan warisan Islam yang sudah sekian lama wujud di Asia.

"Yang kami harapkan ialah seseorang pengunjung itu dapat memahami bahawa seni Islam itu begitu rencam dan berbagai-bagai dan juga kaya dari segi ungkapan atau ekspresi," ujar Cik Noora lagi.

2 GALERI LAIN DIBUKA SECARA TETAP

Galeri Seni Islam tersebut adalah satu daripada tiga galeri baru yang bakal dibuka di tingkat dua Muzium Tamadun Asia (ACM). Dua lagi galeri lain adalah Galeri Seni Kristian dan galeri yang mempamerkan warisan 'Nenek Moyang dan Adat'.

Bertemakan Agama dan Kepercayaan, pembukaan tiga galeri itu juga salah satu daripada daya tarikan bagi Tahun Asia Tenggara di muzium berkenaan.

Yang pasti, bahan-bahan pameran dalam Galeri Seni Islam misalnya memperlihatkan bagaimana para penganut di negara-negara berbeza mengekspresikan identiti-identiti keagamaan mereka. Hasilnya, menurut pihak penganjur, adalah paparan penuh berwarna warni yang secara umumnya dikenali sebagai 'seni Islam'.

Sumber : BERITA Mediacorp/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan