Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Gadis Afghan ini dipaksa 'jadi' lelaki atas permintaan ibu bapa

Sitara Wafadar inginkan rambut panjang seperti wanita lain. Tetapi, dia terpaksa 'bersembunyi' di sebalik penampilannya sebagai seorang lelaki selama lebih 10 tahun selepas dipaksa ibu bapanya untuk menjadi "anak lelaki" yang tidak mereka punya.

Anggaran Waktu Membaca:
Gadis Afghan ini dipaksa 'jadi' lelaki atas permintaan ibu bapa

(Gambar: Noorullah Shirzada/ AFP)

Diterbitkan : 24 Apr 2018 12:18AM Dikemas Kini : 24 Apr 2018 12:59AM

SULTANPUR: Sitara Wafadar inginkan rambut panjang seperti wanita lain. Tetapi, dia terpaksa 'bersembunyi' di sebalik penampilannya sebagai seorang lelaki selama lebih 10 tahun selepas dipaksa ibu bapanya untuk menjadi "anak lelaki" yang tidak mereka punya.

Dengan lima orang saudara perempuan, Sitara hidup dalam budaya 'tukar ganti jantina' yang dikenali sebagai "bacha poshi". Dalam bahasa Dari, ia merujuk kepada seorang wanita yang "berpenampilan sebagai seorang lelaki", bagi membolehkannya untuk menjalankan tanggungjawab sebagai seorang anak lelaki dalam masyarakat patriakal.

Remaja 18 tahun itu, tinggal bersama keluarganya dalam satu rumah bata mentah (mud-brick) di kawasan perkampungan timur Afghanistan di wilayah Nangarhar. Dia menyamar sebagai seorang lelaki hampir sepanjang hidupnya.

Setiap pagi, dia akan memakai baju yang gelebeh dan sepasang seluar dan selipar, serupa dengan cara pakaian golongan kaum Adam di Afghanistan. Kadangkala, beliau menyembunyikan rambut pendeknya dengan menggunakan kain dan berbicara seperti lelaki untuk menyembunyikan jantina sebenarnya.

"TIDAK PERNAH BERFIKIR SAYA... PEREMPUAN"

(Gambar-gambar: Noorullah Shirzada/ AFP)

"Saya tidak pernah berfikir bahawa saya seorang perempuan," kata Sitara. Beliau bekerja dengan bapanya di sebuah kilang di mana mereka bekerja sebagai 'buruh terikat' kerana perlu bekerja untuk melunaskan hutang dengan majikan.

"Bapa saya selalu berkata 'Sitara adalah anak lelaki sulung saya'. Kadangkala... saya hadir upacara kematian sebagai anak lelaki sulungnya" - sesuatu yang tidak dibenarkan untuk dilakukan oleh seorang wanita.

Bacha poshi wujud sejak dahulu lagi dalam negara yang sangat konservatif, di mana lelaki dianggap lebih istimewa berbanding perempuan yang sering kali hanya duduk di rumah.

Biasanya, keluarga yang tidak mempunyai keturunan lelaki akan memakaikan pakaian lelaki kepada anak perempuan mereka supaya anak-anak mereka dapat menjalankan tugas sebagai seorang anak lelaki tanpa dianiaya, atau lebih parah dari itu.

Namun, sesetengah wanita memilih untuk menyamar sebagai lelaki supaya mereka boleh menikmati kebebasan yang tidak dimanfaatkan sepenuhnya oleh kaum adam.

Meski kebanyakan 'bacha posh' berhenti menyamar sebagai seorang lelaki selepas baligh, Sitara terus berkelakuan seperti lelaki kerana menurutnya ia cara terbaik untuk "melindungi dirinya".

"Apabila saya ke tempat kerja, ramai yang tidak tahu bahawa sebenarnya saya seorang perempuan," kata Sitara.

"Jika mereka menyedari bahawa seorang gadis 18 tahun bekerja di kilang batu bata, saya akan berdepan dengan pelbagai masalah. Saya mungkin akan diculik."

TIADA PILIHAN LAIN

Sitara mula bekerja di kilang pada usia lapan tahun. Beliau mengikuti jejak empat lagi kakaknya, yang juga membuat batu bata dan tidak ke sekolah. Mereka hanya duduk di rumah selepas berkahwin.

Sitara membuat 500 bata setiap hari untuk menerima gaji sebanyak $2 (S$2.70).

"Saya tidak berasa malu tetapi ada seumur dengan saya memberitahu saya bahawa saya tidak lagi perlu bekerja pada usia ini," kata Sitara.

"Tapi apa yang boleh saya lakukan? Saya tidak mempunyai pilihan lain."

Ayah Sitara, Noor, hanya mampu mengucapkan 'Allahu Akbar' kerana tidak memberinya seorang anak lelaki sehingga beliau tidak lagi mempunyai pilihan lain kecuali memaksa anaknya untuk menyamar sebagai seorang lelaki dan bekerja.

Keluarga itu berkata mereka mempunyai hutang sebanyak 25,000 Afghani (S$470) dengan pemilik kilang dan sanak saudara lain untuk membiayai kos ibu Sitara yang menghidapi penyakit kencing manis.

"Jika saya mempunyai seorang anak lelaki, saya tidak akan perlu berdepan dengan semua masalah ini dan kehidupan anak perempuan saya tentu lebih tenang dan damai," kata Noor.

JADI KELIRU TENTANG JANTINA

Bacha poshi sering kali diamalkan dalam kawasan-kawasan yang konservatif di Afghanistan, kata seorang profesor sosiologi dari Universiti Kabul.

Namun selepas bertahun-tahun berpakaian sebagai seorang lelaki, kaum hawa menjadi keliru tentang jantina dan status mereka dalam masyarakat.

"Wanita dapati mereka sukar untuk kembali menjadi diri mereka sendiri atau menjadi seorang isteri yang taat kepada suami. Ini boleh mengakibatkan mereka berasa tertekan ataupun berlakunya keganasan dalam rumah tangga," kata Profesor Fetrat.

Ibu Sitara, Fatima, berharap satu hari nanti Sitara akan memakai pakaian wanita dan duduk di rumah, namun beliau akui masih memerlukan bantuan Sitara untuk "membeli barang dapur, bawanya ke doktor dan lakukan kerja lain kerana suaminya sudah uzur".

YA TIDAK ADIL, TAPI...

Meskipun Sitara tahu keadaannya sesuatu yang "tidak adil", beliau pasrah kerana adiknya yang berusia 13 tahun akan "mengalami nasib yang serupa" jika beliau berhenti.

"Saya akan melakukan semua kerja yang sukar kerana saya tidak mahu adik saya berpakaian sebagai seorang lelaki dan bekerja di kilang," kata Sitara.

"Jika saya tidak bekerja, kami akan berdepan dengan banyak lagi masalah."

Meski sudah bertahun menyamar sebagai seorang lelaki, Sitara masih membayangkan tentang nikmatnya mempunyai seorang saudara lelaki dan beliau pula mempunyai rambut panjang dan dapat ke sekolah.

"Apabila saya memakai baju lelaki, akan timbul harapan dalam hati saya untuk mempunyai seorang saudara lelaki. Jika itu kenyataannya, segala impian saya mungkin tercapai," katanya.  

Sumber : AFP/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan