Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Gabungan ilmu perbidanan Melayu dan moden baik untuk ibu dan bayi

Ilmu perbidanan Melayu yang baik boleh saling melengkapi rawatan moden bagi kesejahteraan ibu dan bayi semasa mengandung dan berpantang.

Anggaran Waktu Membaca:
Gabungan ilmu perbidanan Melayu dan moden baik untuk ibu dan bayi

(Gambar fail: Tengku Bahar/AFP)

Diterbitkan : 09 Nov 2018 09:54AM Dikemas Kini : 09 Nov 2018 11:20AM

CYBERJAYA: Ilmu perbidanan Melayu yang baik boleh saling melengkapi rawatan moden bagi kesejahteraan ibu dan bayi semasa mengandung dan berpantang.

Itulah pandangan isteri Perdana Menteri Malaysia, Dr Siti Hasmah Mohd Ali yang sudah berkecimpung dalam bidang perubatan sejak 1955.

Menurutnya, adat seperti berurut ketika berpantang baik untuk diamalkan kerana ia satu terapi bagi para ibu.

Bagaimanapun, beliau menambah, terdapat juga adat Melayu ketika berpantang yang perlu diubah terutamanya dari segi pemakanan seperti mengurangkan minum air kerana ia tidak baik untuk kesihatan ibu.

"Ada yang saya lihat hanya makan nasi sedikit dengan ikan kering dan air suam segelas kecil. Ini tidak bagus kerana ibu perlu tenaga sebab ketika bersalin sudah kehilangan banyak darah.

Dr Siti Hasmah Mohd Ali (tengah) melancarkan buku Ensiklopedia Perbidanan Melayu 'Sebuah Perbendaharaan Ilmu Perubatan dan Penjagaan Kesihatan' di Universiti Islam Malaysia. (Gambar: BERNAMA)

Dr Siti Hasmah Mohd Ali (tengah) di majlis pelancaran. (Gambar: BERNAMA)

"Air juga tidak boleh minum sedikit sahaja kerana ibu menyusukan bayi dan memerlukan banyak air," katanya dalam majlis pelancaran Ensiklopedia Perbidanan Melayu edisi kedua di Universiti Islam Malaysia (UIM).

BERI NASIHAT KEPADA SITI NURHALIZA

Dr Siti Hasmah turut menasihatkan ibu-ibu berusia lebih 35 tahun dan mengandung buat pertama kali selepas berkahwin lebih lapan tahun supaya tidak bersalin secara normal kerana ia membawa berisiko kepada keselamatan bayi yang dilahirkan.

Beliau berkata nasihat itu turut diberikan kepada Siti Nurhaliza, sebaik sahaja beliau mengetahui penyanyi nombor satu negara itu mengandung anak sulungnya, Siti Aafiyah Khalid.

"Saya tahu anaknya itu sangat bermakna buatnya, jadi saya hantar pesanan 'no normal delivery for you', biarlah bersalin secara pembedahan," katanya.

Mengenai Ensiklopedia Perbidanan Melayu itu, katanya ia diharap dapat memberi ilmu yang berguna untuk semua ibu bapa, di samping tidak melupakan perubatan moden.

Buku setebal 354 halaman terbitan UIM itu ditulis oleh Pengasas Nona Roguy, Datin Sharifah Anisah Barakbah.  

Sumber : Bernama/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan