Images
  • futsal lombok
    Futsal jadi terapi pemuda Lombok selepas gempa. (Gambar: Bernama)

Futsal jadi terapi pemuda Lombok selepas gempa

LOMBOK: Selepas seharian kepenatan membina rumah yang musnah akibat gempa bumi yang berlaku beberapa bulan lalu, para pemuda Lombok Utara bersantai dengan bermain futsal pada waktu malam.

Suasana meriah dengan sorakan begitu jelas kedengaran apabila melintasi gelanggang futsal yang terletak di Danyiang, seolah-olah tragedi yang melanda kawasan itu tidak pernah berlaku. 

Pemuda Dusun Lokok Tujan, Desa Sesait Mulia, 26 tahun, berkata kegiatan itu sering dilakukannya bersama rakan-rakan untuk melupakan sementara kesengsaraan yang dihadapi mereka menyusuli bencana alam tersebut.

“Sudah menjadi aktiviti kami di sini pada waktu malam untuk bersukan bersama rakan-rakan selepas seharian membaiki rumah yang rosak teruk selepas gempa.

“Bila bermain futsal, saya lebih tenang dan elak daripada fikirkan keadaan rumah yang masih banyak perlu diperbaiki,” kata beliau kepada agensi berita Bernama yang mengikuti misi bantuan #peduligempalombok6.0 anjuran Global Peace Mission (GPM) Malaysia.

Bagi Sulkin Mada pula, selepas seharian bekerja membina rumah penduduk setempat, waktu malam digunakannya untuk berjumpa dengan rakan-rakan ketika bermain futsal.

“Rumah saya sudah siap dibina dan kini saya tolong jiran-jiran yang lain untuk membaiki rumah mereka setiap hari... hanya waktu malam saya punyai masa bertemu rakan-rakan ketika bermain futsal bersama,” katanya. 

Pemuda berusia 27 tahun itu berkata selepas bermain futsal, mereka sering kali meluangkan masa saling mengongsi cerita sesama mereka.

Lombok kini dalam fasa baik pulih selepas digegarkan dengan gempa bumi berukuran 6.4 pada skala Richter pada 29 Julai lalu, disusuli gegaran kedua berukuran 7 skala Richter pada 5 Ogos.

- BERNAMA/AI/ai

Top