Images
  • funan mall impression
    Lukisan pusat beli-belah Funan (Gambar: CapitaLand)

Funan dijangka buka semula 2 bulan lebih awal

SINGAPURA: Teknologi binaan bijak membantu pusat beli-belah ikonik Funan dibuka semula kepada orang ramai lebih awal daripada jadual asalnya.

Bangunan itu kini dijangka siap pada suku kedua tahun depan, dua bulan lebih awal.

Perkara ini diumumkan dalam satu acara pada Jumaat (28 Sep) yang menandakan tamatnya fasa pembinaan struktur Funan.

Funan sepatutnya siap pada suku keempat 2019.

Namun dengan cara pembinaan yang baru, bangunan itu kini akan dibuka semula dua bulan lebih awal.

Perkara ini berjaya dilakukan dengan teknologi rekaan dan binaan maya yang dilaksanakan sejak mula lagi.

Pembinaan projek ini juga menggunakan proses yang menjimatkan tenaga manusia sekitar 15 peratus.

Selain daripada itu, inovasi teknologi juga merupakan ciri utama pembangunan bersepadu itu.

Bangunan enam tingkat itu akan menampilkan papan panduan bijak yang menggunakan pengesanan wajah yang mampu memberikan cadangan khusus bagi para pengunjung.

Alat-alat pengesan juga akan dipasang di sekitar pusat beli-belah itu untuk menyediakan data dan demografik tentang para pengunjung melalui analisis video.

Menteri Kewangan Heng Swee Keat yang hadir di acara berkenaan berkata melaksanakan teknologi sebegitu penting dalam landskap ekonomi digital.

"Pusat Funan yang asal apabila dibuka pada 1985, adalah pusat beli-belah biasa," kata Encik Heng.

"Namun setelah ledakan teknologi pada lewat 1990-an, tingkat enam, Computer Mart, berkembang dan mengambil sebahagian besar ruang pusat beli belah itu."

"Sepertimana Funan menyesuaikan diri mengikut ledakan teknologi sebelum ini dan melalui penjenemaan semula menjadi pusat IT yang kita kenali dan sayangi ketika itu, Funan kini juga sedang menjalani tahap perubahan seterusnya untuk menyiapkan diri bagi ekonomi digital, kata Encik Heng.

Dikenali sebagai Pusat Beli-Belah DigitaLife Funan sebelum ini, ia kini sebuah pembangunan bersepadu yang terdiri daripada ruang runcit, pejabat dan juga tempat tinggal. 

- CNA/RU/tq

Top