Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Fatimah Mohsin tembusi pentas global - jadi jenama & rakyat S’pura pertama peraga di Minggu Fesyen Sopan London

Gaun-gaun rekaan Fatimah Mohsin bakal diperagakan di Minggu Fesyen Sopan London (LMFW) yang berprestij pada hujung minggu depan (18 Feb).

Anggaran Waktu Membaca:
Fatimah Mohsin tembusi pentas global - jadi jenama & rakyat S’pura pertama peraga di Minggu Fesyen Sopan London

Fatimah Mohsin. (Gambar: Fatimah Mohsin/Instagram)

BERITAMediacorp: Setelah lebih 20 tahun membangunkan jenamanya, buat julung-julung kalinya pereka fesyen terkenal Singapura, Fatimah Mohsin, bakal menembusi pasaran antarabangsa menerusi salah satu pusat fesyen dunia, iaitu London.

Gaun-gaun rekaan Fatimah Mohsin bakal diperagakan di Minggu Fesyen Sopan London (LMFW) yang berprestij pada hujung minggu depan (18 Feb).

BERITAMediacorp diberitahu, Fatimah Mohsin merupakan satu-satunya jenama dan pereka Singapura yang dipilih untuk ditonjolkan di acara fesyen antarabangsa itu, pada Ahad depan.

Malah, beliau juga mencatat sejarah sebagai pereka pertama dari Singapura yang berjaya menarik perhatian penganjur LMFW, yang diadakan buat kali kedua tahun ini. Ini bermakna sentuhan magis Fatimah Mohsin akan disaksikan oleh sekitar 600 tetamu antarabangsa yang dijangka hadir pada malam itu.

“Ini satu perjalanan yang menakjubkan bagi saya dan pasukan saya. Saya ghairah untuk mempamerkan koleksi (pakaian) saya di London. Kami bertuah kerana dapat bekerjasama dengan (syarikat perhubungan awam) 160 Works dan pasukan LMFW yang berkongsi visi yang sama untuk menjadikan fesyen sopan sebagai wadah penting baik bagi jenama baru mahupun yang sudah lama bertapak,” kata Fatimah.

Peluang keemasan di London itu terbuka kepadanya sedang beliau kini dalam perancangan untuk melancarkan jenama Fatimah Mohsin di Kuala Lumpur pada suku pertama tahun 2018 ini, serta merancang menembusi pasaran Timur Tengah.

Pengarah Kreatif dan Pengasas jenama Fatimah Mohsin itu menambah, salah satu cara terbaik untuk melonjakkan jenamanya ke persada fesyen antarabangsa adalah melalui acara LMFW di London. Ia membantu menonjolkan lagi pereka yang semakin naik mahupun yang sudah terkenal.

Semasa acara yang diadakan di bangunan ikonik Victoria House di Bloomsbury Square, London itu nanti, sebanyak 14 gaun jenama Fatimah Mohsin akan diperagakan. Gaun-gaun tersebut dijangka dapat memenuhi cita rasa penggemar fesyen, dari yang meminati gaun ala puteri sehinggalah rekaan moden, termasuk gaun yang digayakan dengan hijab jenis ‘turban’.

Beberapa jenama terkenal lain dalam industri fesyen sopan, yang akan diperagakan di LMFW termasuk Dian Pelangi (Indonesia), Mimpikita (Malaysia), Cover Me (Britain) dan Madiha (Britain).

Rekaan-rekaan Fatimah Mohsin menjadi antara koleksi pakaian yang diidam-idamkan di negara ini. Namun menjelang minggu depan, jenama itu mungkin meniti di bibir kaum wanita di luar sempadan Singapura.

(Gambar: FatimahMohsintwg/Instagram)

(Gambar: FatimahMohsintwg/Instagram)

Rekaan-rekaan gaun dan busana pengantin Fatimah Mohsin turut menjadi sebutan di negara jiran, Malaysia, setelah beliau menonjolkannya di pertunjukan fesyen pengantin Kuala Lumpur pada tahun 2017 dan awal tahun ini.

Menjawab pertanyaan BERITAMediacorp, 160works, iaitu firma perhubungan awam yang membantu mengendalikan urusan media Fatimah Mohsin bagi pertunjukan fesyen di London itu, mendedahkan Fatimah akan berangkat ke London malam ini (11 Feb).

Acara itu nanti boleh ditonton secara langsung pada pukul 2.00 pagi, 19 Februari (waktu Singapura). 

(Gambar: FatimahMohsintwg/Instagram)

(Gambar: FatimahMohsintwg/Instagram)

Sumber : BERITA Mediacorp/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan