Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

'Dunia perlu tahu tentang hirsutisme': Wanita kongsi pengalaman pahit gara-gara "berbulu"

Sejak memasuki alam remaja, Leah Jorgensen, sering diusik teman-teman di sekolah kerana beliau sering memakai kemeja lengan panjang dan seluar panjang, persis seperti seorang remaja lelaki. Tetapi hakikatnya, beliau ketika itu mencuba sedaya upaya untuk menyembunyikan keadaan tubuhnya.

Anggaran Waktu Membaca:
'Dunia perlu tahu tentang hirsutisme': Wanita kongsi pengalaman pahit gara-gara "berbulu"

Cik Leah Jorgensen mengalami hirsutisme. (Gambar: happyandhairy/Instagram)

Diterbitkan : 24 Sep 2018 05:26PM Dikemas Kini : 24 Sep 2018 09:57PM

WISONSIN: Sejak memasuki alam remaja, Leah Jorgensen, sering diusik teman-teman di sekolah kerana beliau sering memakai kemeja lengan panjang dan seluar panjang, persis seperti seorang remaja lelaki. Tetapi hakikatnya, beliau ketika itu mencuba sedaya upaya untuk menyembunyikan keadaan tubuhnya yang berbulu secara berlebihan.

Setelah bertahun-tahun cuba menyembunyikan kondisinya itu, wanita berkenaan kini berani berkongsi dengan pihak media tentang masalah kesihatan yang dihadapinya.

Leah sebenarnya mengalami hirsutisme, satu kondisi hormon di mana terdapat pertumbuhan rambut atau bulu badan yang berlebihan sama ada di bahagian yang biasa ditumbuhi bulu atau tidak. Masalah ini lazimnya dialami golongan wanita, lapor Daily Mail.

Mengulas tentang mengapa beliau bersikap terbuka tentang keadaannya, Leah berkata: "Saya rasa ia perlu dibicarakan dan orang ramai perlu tahu tentang kondisi yang saya alami."

Menurut Daily Mail, ketika Leah berusia 20-an tahun, beliau meluangkan masa berjam-jam untuk mencukur bulu yang tumbuh di bahagian dagu, pipi, atas bibir, dada, perut, lengan, kaki dan bahagian belakang badannya.

"Saya tidak pernah melihat wanita lain dengan masalah seperti saya. Saya begitu malu sehingga saya sama sekali tidak membicarakan tentang masalah yang saya hadapi," kata Leah.

Selepas berkongsi tentang kisahnya melalui satu rancangan televisyen, rata-rata orang ramai memberi kata-kata semangat kepada wanita itu. Malah, seorang pengguna mengirimkan tweet yang menyatakan bahawa beliau turut mengalami masalah kesihatan yang sama.

DOKTOR TIDAK PEKA TERHADAPNYA

Bercerita lebih lanjut tentang pengalaman hidupnya, Leah berkata keadaannya bertambah buruk sehingga beliau sukar menyembunyikan kondisi tubuhnya. Ini menjejas kesihatan mentalnya.

"Pengalaman saya bersama doktor juga tidak begitu baik. Beliau mengatakan bahawa kes saya satu kes hirsutisme yang ekstrim dan berasa terkejut. Beliau berkata demikian dengan mimik wajah yang membuat saya berasa tersinggung," kata Leah.

Pernah juga, seorang rakan sekolah menyedari bulu tumbuh pada bahagian muka Leah. Sekumpulan rakan lain kemudian mengejeknya dan memanggilnya sebagai seorang lelaki.

"Saya berasa malu, takut kalau saya 'kurang wanita'."

Leah begitu takut sehingga beliau tidak berjumpa dengan doktor gigi selama 12 tahun gara-gara tidak mahu doktor menyedari bulu yang tumbuh pada wajahnya.

KINI LEBIH YAKIN, INGIN KONGSI KISAH DENGAN ORANG RAMAI

Pada Disember 2015, Leah terlibat dalam satu kemalangan dan terpaksa dikejarkan ke hospital menaiki ambulans.

Pasukan paramedik terpaksa menanggalkan pakaiannya ketika itu dan beliau perlu menjalani pembedahan dan terapi. Itulah kali pertama orang lain melihat kondisinya secara dekat, kata Leah kepada Daily Mail.

"Baru saya sedari mereka tidak peduli tentang penampilan saya. Mereka hanya melihat saya sebagai seorang manusia biasa. Ia sangat membantu saya," tambahnya.

"Saya menyedari ia bukan satu masalah bagi saya. Masalahnya tidak terletak pada rambut atau bulu yang tumbuh pada badan saya tetapi pandangan orang ramai terhadapnya.

"Kemudian saya fikir, 'cukup sampai di sini', saya tidak ingin melarikan diri lagi."

"Saya berharap dengan cara saya mengongsi kisah kehidupan saya, ia akan memberi semangat kepada orang lain. Dan kepada wanita yang menghidapi hirsutisme, anda tidak keseorangan," ujar Leah.  

Sumber : Agensi berita/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan