Images
  • sitting
    (Gambar: iStock)

Duduk terlalu lama mungkin kurang baik untuk otak

AMERIKA SYARIKAT: Tahukah anda bahawa darah mungkin mengalir dengan lebih perlahan ke bahagian otak jika anda duduk selama berjam-jam tanpa bergerak langsung?

Dalam kajian yang dijalankan ke atas para pekerja pejabat, para penyelidik mendapati bahawa ia boleh membawa kesan negatif kepada kesihatan jangka panjang otak anda.

Namun jika anda sering berdiri dan berjalan walaupun hanya selama dua minit setiap setengah jam, ia dapat mencegahnya dan mungkin juga meningkatkan aliran darah ke bahagian otak.

Menurut laporan New York Times, pengaliran darah ke bahagian otak merupakan satu proses dalaman automatik yang jarang difikirkan ramai, tetapi ia adalah proses yang penting sekali bagi kehidupan dan kognisi.

Sel-sel otak memerlukan oksigen dan nutrien dalam kandungan darah, dan beberapa arteri besar juga sentiasa membawa darah sehingga ke bahagian tengkorak kita.

Oleh kerana ia amat penting, otak kita sentiasa mengawalnya dengan rapi dan memantau pelbagai isyarat fisiologi, termasuk tahap karbon dioksida dalam darah.

New York Times melaporkan bahawa kajian-kajian yang dijalankan sebelum ini terhadap manusia dan haiwan menggambarkan penurunan pada aliran darah ke otak, walaupun sedikit dan bagi tempoh yang pendek, boleh menjejas pemikiran dan memori buat sementara waktu, manakala penurunan yang berpanjangan boleh dikaitkan dengan risiko tinggi bagi beberapa penyakit saraf, termasuk demensia.

Kajian-kajian lain pula menunjukkan bahawa jika kita duduk selama berjam-jam, aliran darah ke pelbagai bahagian badan akan terjejas.

Kebanyakan kajian itu meneliti bahagian kaki, yang terjejas teruk oleh postur seseorang. Jika anda terus duduk selama berjam-jam, aliran darah dalam sebahagian besar pembuluh darah di bahagian kaki mungkin akan menjadi lebih perlahan.

Para penyelidik dari Universiti Liverpool John Moores di England mengkaji 15 pekerja pejabat wanita dan lelaki dewasa yang sihat dalam kajian terbaru itu.

Seperti yang dijangkakan, aliran darah ke bahagian otak menjadi lebih perlahan apabila mereka duduk selama empat jam tanpa bergerak.

Namun aliran darah meningkat apabila mereka berdiri dan berjalan setelah duduk selama dua jam, lapor New York Times. 

Aliran darah ke otak juga meningkat sedikit apabila mereka kerap berjalan selama dua minit setiap kali dalam tempoh empat jam.

Yang menarik sekali, perubahan pada aliran darah ke otak tidak terjejas oleh sebarang perubahan pada pernafasan dan tahap karbon dioksida.

Mungkin sesuatu yang ada kaitan dengan duduk dan pergerakan menjejas aliran darah ke otak. 

Namun, kajian ini hanya melibatkan sekumpulan peserta yang kecil dan dijalankan bagi tempoh yang singkat. Ia bagaimanapun tidak mengkaji sama ada kejatuhan kecil pada aliran darah ke bahagian otak ketika mereka duduk akan menjejas keupayaan mereka untuk berfikir.

Bagaimanapun, hasil kajian itu memberikan satu lagi sebab suaya jangan duduk terlalu lama tanpa sebarang pergerakan, kata Sophie Carter, seorang siswazah kedoktoran, yang mengetuai kajian itu.

Oleh itu, sila timbangkan untuk meletakkan peringatan pada komputer atau telefon bimbit anda bagi mengingatkan anda supaya berdiri dari tempat duduk setiap setengah jam, kata beliau.

Berjalan di koridor, naik atau turun tangga untuk ke tandas di tingkat atas atau bawah, serta berjalan di sekitar kawasan pejabat. 

Ini tentunya dapat memanfaatkan otak anda beberapa tahun dari sekarang.

- Agensi berita/AI/ai

Top