Images
  • elderly
    Seorang warga emas dibantu ketika berjalan. (Gambar: TODAY)

Diet Mediterranean boleh lambatkan penyakit Alzheimer: Kajian

SYDNEY: Mengamalkan diet Mediterranean mampu melengahkan pembentukan penyakit Alzheimer selama beberapa tahun, lapor agensi berita China Xinhua memetik penemuan terkini penyelidikan di Australia.

Menurut kenyataan Universiti Edith Cowan berhubung penemuan itu pada Selasa (6 Nov), individu yang mengamalkan diet ini secara kerap menunjukkan kadar pengumpulan peptida asid amino berkaitan amyloid beta (Aβ) dalam otak berlaku dengan lebih perlahan.

Kenyataan itu menyebut pembentukan Aβ dikaitkan dengan perkembangan Alzheimer, sejenis penyakit kemerosotan neuron yang kronik di sebalik kebanyakan kes demensia.

Kajian terdahulu menunjukkan bahawa diet Mediterranean membabitkan pengambilan sayur-sayuran, buah-buahan, bijirin penuh, ikan dan minyak zaitun yang banyak mampu melengahkan kemerosotan kognitif.

"Kami mendapati dengan hanya mengamalkan diet Mediterranean selama tiga tahun akan mampu mengurangkan pembentukan Aβ sehingga 60 peratus," kata penyelidik utama universiti itu, Dr Stephanie Rainey-Smith.

"Ini memberitahu kita bahawa pengamalan diet Mediterranean berpotensi melengahkan pembentukan gejala penyakit Alzheimer selama beberapa tahun."

Pengambilan buah-buahan adalah yang paling banyak dikaitkan dengan pengurangan pembentukan peptida, menurut penemuan itu yang diterbitkan dalam jurnal perubatan Translational Psychiatry.

"Meskipun semua aspek diet Mediterranean kelihatan penting bagi mengurangkan risiko Alzheimer, dalam kajian kami, pengambilan buah-buahan ternyata memberikan manfaat paling besar," kata Dr Rainey-Smith yang menggesa orang ramai mengamalkan diet penuh Mediterranean berbanding sekadar makan buah-buahan bagi memperoleh manfaat paling banyak.

- BERNAMA/NA/na

Top