Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Dengan trend harga sewa yang naik saban tahun, ini 5 kelainan dijanjikan pengendali, peniaga bazar Geylang

BERITAMediacorp berpeluang meninjau dan bertemu bual dengan beberapa pengendali bazar Geylang dan juga para peniaga yang akan terus menyewa gerai meskipun trend harga sewa tidak menunjukkan sebarang kemerosotan.

Anggaran Waktu Membaca:
Dengan trend harga sewa yang naik saban tahun, ini 5 kelainan dijanjikan pengendali, peniaga bazar Geylang

Laluan trafik di luar Bazar Hari Raya Geylang Serai. (Gambar: Jason Quah/TODAY)

SINGAPURA: Dengan harga sewa paling mahal bagi satu lot gerai bazar Geylang tahun ini mencapai rekod $20,000, pasti ramai tertanya apakah kelainan yang ditawarkan kepada para peniaga dan juga orang ramai?

BERITAMediacorp berpeluang meninjau dan bertemu bual dengan beberapa pengendali bazar Geylang dan juga para peniaga yang akan terus menyewa gerai meskipun trend harga sewa tidak menunjukkan sebarang kemerosotan.

Berikut lima kelainan yang dijanjikan para pengendali dan peniaga bazar Geylang tahun ini:

1.PERSIAPAN LOGISTIK BAGI BANTU PENIAGA, PENGUNJUNG

Pemilik EnNiche Events Encik Mohamed Mustaffa Shah Jehan yang akan mengendalikan bazar di kawasan pasar berkata syarikatnya satu-satunya pengendali bazar yang menyediakan khidmat keselamatan pada malam hari hingga pagi hari.

Ini bagi memberi jaminan kepada para peniaga bahawa gerai dan barangan mereka selamat dijaga sepanjang masa dan ini semua di dalam pakej harga sewa antara $4,000 hingga $8,000.

BERITAMediacorp mendapati lingkungan harga sewa itu adalah antara yang paling murah di pasaran.

Ketua Pegawai Eksekutif Orange Events & Media Shah Ibrahim juga berkongsi bazar beliau di Wisma Geylang Serai akan menyediakan laluan yang lebih luas dan juga menggunakan permaidani untuk seluruh kawasan bazarnya.

Ini, menurut beliau, diharap dapat membuat orang ramai rasa lebih selesa ketika 'berasak-asak' di bazar Geylang, yang lazimnya sesak dengan orang ramai.

Bukan itu saja, buat pertama kali satu ruang untuk berbuka puasa juga disediakan, yang mampu menempatkan sekitar 200 orang. Encik Shah Ibrahim menambah ruang solat juga akan disediakan bagi orang ramai.

2. JAMIN JAGA KEBERSIHAN

Encik Shah Ibrahim menambah syarikatnya akan mendapatkan khidmat inspektor kebersihan untuk memeriksa tahap kebersihan di gerai-gerai kendaliannya.

Selain pada itu, litar kamera tertutup (CCTV) juga akan digunakan bagi membantu memantau tahap kebersihan bazar.

Menurutnya, ini belum mengambil kira pemeriksaan yang akan dijalankan para pegawai Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) sendiri.

Beliau berkata isu kebersihan ini penting, terutama sekali gerai-gerai yang menjual makanan kepada orang ramai.

3. YANG 'HIPSTER', YANG TRADISIONAL, YANG HALAL

"Orange juga mengalu-alukan kalau ada usahawan-usahawan muda kita yang kreatif. Produk-produk yang mungkin sesuatu kita inginkan untuk menampakkan kelainan dalam bazaar kita, andalah yang kami cari," kata Encik Shah Ibrahim.

Selain daripada itu, beliau juga berkata akan ada gerai-gerai yang menjual produk bersesuaian dengan Hari Raya dan ini bermakna bazar di kawasan Wisma Geylang Serai akan menampilkan khidmat dan barangan yang baru dan juga lama.

Dalam pada itu, Encik Shah akan memastikan gerai-gerai menjual makanan yang halal sempena bazar pada bulan Ramadan ini.

4. INGIN HIDUPKAN SEMULA 'SEMANGAT BAZAR GEYLANG LAMA'; RAJA LELONG KEMBALI

Bagi bazar di kawasan pasar, Encik Mustaffa memberitahu bahawa bazar di sana akan menumpukan pada nama-nama besar yang sinonim dengan masyarakat.

"Kami dapat peniaga yang popular seperti Jakel dari Malaysia. Mereka tiap-tiap tahun sudah sampai sekarang sudah masuk tahun yang keempat di mana saja lokasi khemah kami, mereka ikut.

"Kami juga ada peniaga seperti Adrianna Yariqa. Jadi gerai-gerai individu yang terkenal ini bagus untuk gerai yang kecil-kecil jadi mereka boleh menikmati kehebatan masing-masing," tambah Encik Mustaffa.

Dengan niat ingin hidupkan semula semangat bazar Geylang yang lama, Encik Mustaffa berkongsi bahawa Raja Lelong yang terkenal pada tahun-tahun 1980an hingga 1990an akan juga kembali tahun ini.

Lebih menarik lagi, sebahagian daripada hasil jualan Raja Lelong itu akan disalurkan kepada pesakit barah yang memerlukan rawatan.

5. GUNA TEKNOLOGI, PELIBATAN ASEAN

Jika biasanya artis-artis tempatan dan luar negara ditampilkan bagi menarik lebih ramai pengunjung, kali ini diharapkan penggunaan teknologi dan pelibatan ASEAN dapat juga menarik perhatian para pengunjung.

Encik Shah Ibrahim berkata: "Kita ingin kelainan, kalau boleh cita-cita saya, kita mengadakan seperti video-mapping di Wisma Geylang Serai kerana ini adalah tahun pertama, julung-julung kalinya kami adakan di Wisma Geylang Serai.

"Kami memang menjangkakan kemasukan atau penyertaan gerai-gerai dari pihak ASEAN kerana pihak Wisma juga bekerjasama dengan pihak-pihak kedutaan, tertentunya akan membawa masuk peniaga-peniaga baru dengan produk-produk mereka yang tersendiri." 

Sumber : BERITA Mediacorp/ru
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan