Images
  • plastic bags
    Gambar fail beg plastik. (Gambar: AFP/FRED DUFOUR)

Demi alam sekitar, bawa bekas makanan sendiri ke bazar Ramadan

KUALA LUMPUR: Sekiranya anda berkunjung ke bazar atau pasar Ramadan, cuba perhatikan berapa ramai yang membawa bekas makanan sendiri untuk diisi makanan yang dibeli. Jumlahnya mungkin boleh dikira dengan jari atau mungkin langsung tidak ada. 

Rata-rata ramai akan menjinjing beg plastik berisi pelbagai makanan atau juadah yang dibeli untuk berbuka puasa.

Bayangkan dalam tempoh sebulan sepanjang jualan di bazar Ramadan, berapa banyak beg plastik yang digunakan dan sebahagian besarnya akan dibuang ke tempat sampah.

Menyedari akan pentingnya kawalan dibuat terhadap penggunaan plastik, badan sukarelawan alam sekitar,  EcoKnights mengambil inisiatif menganjurkan kempen Beg2Bekas di bazar ramadan di Jalan Raja Uda, Kampung Baru.

Kempen itu adalah sebahagian daripada usaha membantu meningkatkan kembali kesedaran orang ramai untuk membawa bekas makanan sendiri dan tidak lagi menggunakan plastik ketika membeli di bazar Ramadan.

KEMPEN BAWA BEKAS MAKANAN

Menurut Pegawai Program EcoKnights, Encik Emirul Redzuan Mohd Khali, kempen dalam skala yang lebih besar pada tahun ini menyasarkan 1,000 beg yang mengandungi sebuah bekas makanan untuk diagih-agihkan kepada pengunjung bazar Ramadan,

"Kempen kali ini lebih besar yang mengambil masa kira-kira 16 hari bermula 26 Mei sehingga 10 Jun.

"Pada 2017 kempen yang sama dibuat untuk hanya satu hari sahaja di bazar Ramadan Taman Segar, Cheras dengan pengagihan kira-kira 150 beg dengan bekas makanan," katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Kali ini, kempen yang dijalankan lebih tersusun dengan fokus untuk menyedarkan orang ramai  mengenai isu pencemaran alam sekitar akibat penggunaan plastik.

Setiap pengunjung bazar yang menerima beg turut diberikan satu kupon. Setiap kali pengguna menggunakan bekas makanan sendiri atau bekas makanan yang diagihkan untuk mengisi makanan, mereka boleh datang ke khemah EcoKnights bagi mendapat satu cop pada kupon berkenaan.

Sekiranya mereka dapat melengkapkan 10 cop pada kupon itu, mereka layak mendapat barangan dapur seperti minyak masak, tepung, gula dan seumpamanya.

"Dengan cara ini diharapkan lebih ramai lagi pengunjung bazar Ramadan membawa bekas makanan sendiri atau yang kami berikan setiap kali membeli makanan.

"Selain itu, kami mengadakan tinjauan bagi mendapat maklum balas mengenai kempen yang dijalankan serta kesedaran mereka tentang pentingnya menjaga alam sekitar terutama penjagaan sungai," kata Encik Emirul Redzuan.

KESAN ALAM SEKITAR

Kesan alam sekitar yang ditinggalkan oleh plastik bukannya sedikit. Sungai sering menjadi tempat pembuangan sampah dan plastik iaitu antara punca utama pencemaran yang berlaku.

Selain itu, kesan jangka panjang penggunaan plastik yang merupakan bahan pepejal yang sukar diurai di dalam tanah menyebabkan tanah menjadi berasid dan tidak sesuai untuk pertanian.

Encik Emirul Redzuan turut merujuk kepada Kempen “Projek River Of Life” atau “Sungai Nadi Kehidupan” melalui kerjasama Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan Kementerian Wilayah Persekutuan yang mahu meningkatkan kesedaran pemuliharaan sungai terutama di Sungai Bunus, anak Sungai Klang yang melalui kawasan Kampung Baru.

"Kita terangkan kepada pengunjung yang datang ke sini kesan alam sekitar akibat penggunaan plastik dan kita kaitkan kemudiannya dengan pemuliharaan sungai agar mereka tidak menjadikan sungai sebagai tempat longgokan sampah termasuk plastik," katanya.

Jelasnya, pada permulaan kempen ramai pengunjung yang kurang faham mengapa mereka perlu membawa bekas makanan sendiri dan mengelakkan daripada menggunakan beg plastik.

Tahap kesedaran mereka masih lagi rendah walaupun pada hari pertama telah diberikan beg dan bekas makanan, katanya.

"Pada minggu pertama kempen, kita lihat masih ramai yang tidak menggunakan bekas makanan sendiri atau yang diberi ketika membeli makanan di bazar ramadan. Kita harap keadaan itu akan berubah sehingga kempen ini berakhir.

"Melalui kempen ini juga kita akan dapat kenalpasti jumlah mereka yang menggunakan bekas makanan sendiri melalui kupon yang  kita cop. Sasaran kita seramai 400 orang akan tebus barangan runcit daripada kami," katanya.

BANTU KURANGKAN PERBELANJAAN

Bagi Encik Alfiz Umaiya, 40, beliau sudah menjadikan amalan membawa bekas makanan sendiri ketika berbelanja di bazar Ramadan Jalan Raja Uda, Kampung Baru sejak dua tahun lalu.

Menurut beliau, kesedaran membawa bekas makanan setiap kali ke bazar Ramadan bukan sahaja untuk membantu mengurangkan penggunaan beg plastik tetapi turut membantu mengawal perbelanjaan.

"Sebelum membawa bekas makanan sendiri, saya kurang merancang perbelanjaan ketika membeli di bazar Ramadan. Tambahan bulan puasa, semua makanan kita nampak sedap dan beli.

"Apabila saya amalkan membawa bekas makanan sendiri, saya rancang apa yang hendak dibeli dan kuantitinya juga tidak terlalu banyak bagi memudahkan masuk  ke dalam bekas," katanya kepada Bernama.

Beliau berharap usaha Beg2Bekas bukan sahaja akan diteruskan tetapi diperluaskan untuk menyedarkan lebih ramai orang agar tidak menggunakan beg plastik.

- BERNAMA/SM/sm

Komen Anda?

Top