Images
  • batique1
    Moenawir Arslan atau lebih dikenali sebagai Wiro, berani memperjuangkan keusahawanan batik. (Gambar: Ira Musfirah)

Dari ‘pemandu Uber’ kepada ‘usahawan Batique’: Kisah anak S’pura perjuangkan batik

BERITAMediacorp: Ramai yang kenal dengan kain atau baju batik. Tapi ramai sebenarnya kurang kenal bahawa ‘batik’ adalah gabungan perkataan Jawa - amba dan titik? Amba membawa makna kain, dan titik pula adalah kaedah coraknya yang dihasilkan dengan cara dititik-titik.

Malah jauh lebih kecil lagi bilangan orang di Kota Singapura ini yang bergelumang dengan batik selaku pejuangnya.

Moenawir Arslan, berusia 27 tahun, adalah segelintir sahaja - boleh dikira dengan jari - warga Singapura yang berani memperjuangkan keusahawanan batik. Malah, usahawan muda yang menjalankan perniagaan bernama Batique itu, mahu membuktikan bahawa budaya batik tidak hilang ditelan zaman.

Dari ‘pemandu Uber’ kepada ‘usahawan Batique’: Kisah anak S’pu...

Pemuda S'pura ini seorang 'pejuang batik' dan obses mahu memartabatkan batik. Sanggup jadi penghantar Deliveroo & pemandu Uber demi mencari modal untuk membuka perniagaan batik. Ini kisah menarik Moenawir Arslan, pengasas pakaian Batique... Laporan penuh: http://bit.ly/2Bg8qf7

Posted by BERITAMediacorp on Friday, 15 December 2017

Sebaliknya ia semakin diminati terutamanya di kalangan golongan yang sebaya dengannya. Bahawa batik harus dijulang dan betapa ia terus relevan dengan corak dan potongan kontemporari serta mampu mengikut cita rasa moden.

BERITAMediacorp bertemu dengan Encik Moenawir untuk menggali apa dia pengorbanan beliau tentang batik sehingga melahirkan Batique. Serta, apa obsesi beliau demi memartabatkan ciptaan Nusantara itu.

DARI JERSI KE BATIK

Bermula dengan perusahaan kecil menjual pakaian serta membuat jersi sukan, Encik Moenawir, atau lebih mesra dikenali sebagai Wiro, sudah menceburi bidang perniagaan sejak lima tahun lalu.

Namun, jati dirinya sebagai seorang berketurunan Minang tetap utuh meskipun dilahirkan di Singapura. Lantas, minat dan kecenderungannya dalam budaya Melayu dan Indonesia terus mendorongnya untuk mengusahakan Batique.

Wiro memberitahu BERITAMediacorp: "Batik di Singapura sama ada terlalu murah sehingga menjejas kualitinya atau terlalu mahal dengan gaya labuh dan old-school.

"Melihat keperluan untuk memberi nafas baru kepada pakaian yang dikaitkan dengan budaya Melayu, tercetuslah idea untuk menghasilkan baju batik dengan potongan 'slim fit'," kongsinya yang mengambil enam bulan untuk mengkaji pasaran sebelum melancarkan jenamanya.


Malah, pelancaran Batique sempena Bazar Geylang Serai pada Ramadan tahun lalu yang menyaksikan sebanyak 1,500 helai baju batik juga menunjukkan penjualan yang memberangsangkan! Malah di akhir 30 hari itu, hanya empat peratus pakaian atau 60 helai pakaian tersebut yang belum terjual!

MODAL BUKAN HAMBATAN

Namun, tidak semuanya mudah bagi Wiro. Selain sering berulang-alik ke beberapa daerah di Indonesia dan bekerjasama dengan pasukan di sana untuk mencari kain dan menjahit pakaian, beliau juga sanggup memerah setiap keringat dan bertungkus-lumus sebagai penghantar Deliveroo dan pemandu Uber semata-mata untuk mengumpulkan modal sebanyak $15,000 bagi Batique.

Ini meskipun beliau sudahpun menggenggam ijazah dalam jurusan perniagaan di Pendidikan Global Institut Pengurusan Singapura (SIM).

"Rakan saya meyakinkan saya bahawa mengumpulkan modal tidak menjadi isu. Yang mungkin menjadi penghalang adalah masa yang diambil untuk mengumpulkan jumlahnya.

"Dengan adanya peluang seperti Uber, Grab dan Deliveroo, terdapat 1001 cara untuk anda mendapatkan modal. Tetapi selama empat bulan, ia benar-benar kerja keras bagi saya demi Batique," katanya, yang juga pernah menjadi presiden bagi Kelab Silat SIM.

Malah, selepas meraih ijazah, Wiro sanggup bekerja 11 jam enam hari seminggu sebagai seorang penghantar Deliveroo. Beliau kemudian bertukar sebagai pemandu Uber, sehingga mencapai 70 jam seminggu, selama lima minggu.


Berkat usaha dan titik peluhnya sendiri, Wiro akhirnya berjaya mengumpulkan $10,000 dalam masa empat bulan dan berjaya mencapai sasarannya sebanyak $15,000, berbekalkan simpanan awalnya sebelum ini.

RENTASI BUDAYA, NUSANTARA DI MATA DUNIA

Bukan sahaja menyediakan pakaian sempena Hari Raya dan bagi para pengapit di majlis perkahwinan, Batique juga mereka pakaian bersempena Tahun Baru Cina.

"Batik menjangkaui budaya Melayu. Ia adalah warisan dan seni Asia Tenggara. Kami bermain dengan warna 'heng' seperti merah. Saya mahu mendorong pandangan di Singapura bahawa batik bukan sahaja khusus buat masyarakat Melayu. Ia juga boleh dipakai oleh masyarakat lain dan semua orang.

"Jika anda gabungkan seni budaya dan suntikkan elemen moden tanpa melenyapkan identitinya, ia menjadi sesuatu yang menarik perhatian," jelasnya kepada BERITAMediacorp.

Matlamat Wiro sebenarnya lebih besar dan luas lagi - iaitu mahu meletakkan budaya nusantara di mata dunia. Tujuannya adalah untuk membawa batik ke peringkat global, dedahnya lagi tentang wawasannya itu.


(Gambar-gambar: Ira Musfirah)

BATIQUE LELAKI, WANITA DAN... KANAK-KANAK

Bermula dengan hanya kemeja bagi kaum lelaki, maklum balas dari pelanggannya kemudian mendorongnya untuk menghasilkan palazzo dan kain sarung batik bagi kaum wanita. Malah, Wiro kini juga menerima permintaan bagi pakaian batik untuk kanak-kanak!

"Pakaian kanak-kanak serta aksesori batik masih dalam perancangan. Dan saya juga sedang mengkaji pasaran Eropah untuk meninjau-ninjau dunia fesyen di sana," kongsinya ringkas.

Yang pasti, menjadi seorang usahawan muda yang berhasrat untuk memecah stereotaip batik bukannya mudah. Bagaimanapun, menurut Wiro, sokongan padu dari keluarga dan rakan-rakan menjadi tunggak kejayaannya setakat ini.

"Saya mempunyai beberapa rakan yang dapat memberikan nasihat yang berbeza. Ada yang dari sudut kreatif, malah ada juga yang akan menghentam setiap pendapat saya. Tapi saya tetap perlukan rakan sebegitu. Kelilingi diri anda dengan orang-orang yang betul," katanya.

Ternyata, berbekalkan usaha, sokongan dan kemahuan, tiada istilah cita-cita yang terlalu besar atau yang mustahil untuk dicapai. Seperti kata Wiro, modal tidak harus dijadikan isu. 

Ia hanya bergantung kepada berapa lama anda sanggup bertungkus-lumus demi mengumpul jumlah itu. 

- BERITAMediacorp/im

Top