Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

COMEX 2017 tinggal sehari lagi! Ini 5 produk menarik untuk anda tinjau…

Jika anda masih tidak pasti produk yang mana satu yang perlu ditinjau, berikut ini senarai lima produk yang mungkin akan menarik minat anda.

Anggaran Waktu Membaca:
COMEX 2017 tinggal sehari lagi! Ini 5 produk menarik untuk anda tinjau…

COMEX 2017 kembali lagi pada hujung minggu ini. (Gambar: COMEX and IT SHOW/Facebook)

SINGAPURA: Bagi para penggemar produk-produk teknologi, hujung minggu ini pasti sesuatu yang dinanti-nantikan. Inilah masanya untuk membeli atau meninjau-ninjau peralatan terbaru dan canggih di pasaran pada harga yang berbaloi.

Pameran teknologi terbesar di Singapura, COMEX 2017, kembali lagi dengan menjanjikan pelbagai tawaran dan potongan harga.

Antara yang menarik dalam pameran tahun ini termasuk peluang bertemu dengan robot XYZ, melihat sendiri alat pencetak da Vinci Jr. 3 dimensi (3D) dan DIY Lab yang membolehkan para pengunjung mencipta komputer mereka sendiri serta memahami bagaimana perisian dan sofwe sesebuah komputer berfungsi!

Selain itu, para pengunjung boleh memanfaatkan khidmat tukar beli atau ‘trade-in’ bagi barangan teknologi lama milik mereka, seperti komputer riba, tablet dan monitor untuk mendapatkan baucar tunai untuk digunakan bagi membeli peralatan yang baru.

COMEX 2017, yang bermula sejak Khamis lalu (31 Ogos), berlangsung sehingga hari ini (3 Sep) di tingkat tiga dan empat Pusat Konvensyen dan Pameran Suntec. Ini bermakna, tinggal sehari saja lagi untuk anda membeli-belah.

Jika anda masih tidak pasti produk yang mana satu yang perlu ditinjau, berikut ini senarai lima produk yang mungkin akan menarik minat anda.

1) GARMIN VIRB 360

Harga: $1,199

(Gambar: BERITAMediacorp)

Kamera tahan lasak dan kalis air ini memang luar biasa. Walaupun saiznya kecil, ia mampu merakam gambar, video dan audio 360 darjah dengan resolusi tinggi. Ini dapat membantu memudahkan proses menyunting, menerusi sistem penstabil video sehingga resolusi 4K pada 30 fps.

GARMIN VIRB 360 adalah yang pertama seumpamanya dan ini mungkin kamera terbaik untuk merakam kenangan manis pengembaraan dan kegiatan anda.

2) SONY 49 INCI - TV LED ANDROID ULTRA HD 4K

$1,899 (harga biasa $2,399)

(Gambar: BERITAMediacorp)

Televisyen adalah antara produk hangat setiap kali muncul pameran teknologi. Salah satu televisyen yang mungkin menarik minat anda dalam COMEX 2017 adalah TV SONY ini. Selain menawarkan resolusi 4k (3840 x 2160), ia mempunyai paparan ‘triluminous’ – yang membuatkan paparan warna pada kaca televisyen kelihatan lebih terang.

Bagi melindungi mata, televisyen ini juga mempunyai panel IPS, iaitu sejenis panel khusus yang digunakan untuk menghasilkan skrin supaya paparan warnanya lebih tepat.

Sebagai sebuah televisyen Android, ia turut menawarkan khidmat Netflix dan Hulu bagi penggemar filem atau pengikut setia sesuatu rancangan bersiri tv.

3) IROBOT Roomba 980

Harga $1,298 (Harga biasa $1,498)

(Gambar: BERITAMediacorp)

Bagi yang menginginkan rumah yang bersih tetapi jadual begitu padat dan kesuntukan masa untuk mengemas, anda mungkin berminat dengan IROBOT Roomba 980.

Dengan menggunakan app iRobot Home, anda boleh memulakan atau menyusun jadual untuk membersihkan rumah anda, tidak kira di mana saja anda berada.

Alat ini menggunakan teknologi navigasi iAdapt 2.0 dengan penempatan visual bagi membersihkan rumah. Ia akan disesuaikan mengikut jenis lantai atau permaidani yang anda gunakan.

Ia juga boleh membersihkan kawasan seluas 2,000 kaki persegi.

4) SONY XA1 ULTRA

$598 (tanpa kontrak)

(Gambar: BERITAMediacorp)

Anda yang menginginkan telefon bijak dengan paparan skrin lebih besar tetapi pada harga yang berpatutan, mungkin boleh mencuba telefon SONY XA1 Ultra.

Selain kamera utama dengan 23 megapiksel dengan lensa f/2.0 untuk membolehkan gambar dipetik di tempat yang gelap, kamera hadapan dengan lensa 16 megapiksel dan penstabil gambar optikal pula pasti membuatkan gambar-gambar ‘selfie’ anda sentiasa cantik dan terang.

Paparan skrin SONY XA1 Ultra ini sebesar enam inci dan dalam bentuk HD.

5) GARMIN FENIX 5S

Dari $899

(Gambar: BERITAMediacorp)

Jika lazimya jam tangan, yang dimuatkan dengan keupayaan memadankan sistemnya dengan telefon bijak, bersaiz besar dan kelihatan lebih sesuai untuk kaum adam, kini terdapat pilihan buat kaum wanita.

Selain saiz yang lebih kecil dan sesuai bagi pergelangan tangan wanita (42mm), ia menawarkan khidmat GPS dan notifikasi bijak atau ‘smart notification’. Anda juga boleh memuat naik status latihan dan kadar degupan jantung secara automatik.

Pilihan warna bagi jam tangan ini juga lebih banyak. Antaranya biru, merah jambu dan emas. 

Sumber : BERITA Mediacorp/ns
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan