Images
  • coca cola bottles
    Gambar fail botol-botol minuman Coca-Cola (Gambar: AFP)

Coca-Cola S'pura sokong usaha pemerintah perangi kencing manis, tapi...

SINGAPURA: Coca-Cola Singapore akur ia mempunyai "tanggungjawab bersama" untuk membantu pembeli kurangkan pengambilan gula, namun bertegas terdapat cara-cara yang lebih berkesan selain mengenakan cukai ke atas minuman bergula atau menyekat pengiklanan.

Kedua-dua cadangan itu adalah antara empat langkah yang Kementerian Kesihatan (MOH) kini meminta maklum balas daripada orang awam, dalam usahanya menyekat pengambilan gula, yang dikaitkan dengan risiko obesiti dan kencing manis.

"Coca-Cola Singapura akur bahawa kencing manis dan kegemukan adalah isu-isu penting bagi para pelanggan kami dan kami mempunyai tanggungjawab bersama untuk membantu warga Singapura mengurangkan kalori dan gula," menurut syarikat tersebut dalam satu kenyataan pada Selasa (4 Dis).

"Kami percaya terdapat cara lebih berkesan bagi menangani kencing manis dan obesiti selain cukai atau sekatan iklan khusus ke atas minuman."

MOH sebelum itu pada Selasa mengumumkan ia mengalu-alukan maklum balas awam berhubung langkah-langkah yang diusulkan untuk mengurangkan pengambilan gula sedang Pemerintah mempergiat usahanya memerangi kencing manis.

Antara langkah yang dipertimbangkan termasuklah mengenakan cukai ke atas pengeluar dan pengimport minuman manis yang dibungkus, demi menggalakkan industri tersebut mengurangkan kandungan gula dalam produk mereka.

Satu lagi langkah adalah memperketat kawalan pengiklanan makanan dan minuman kurang sihat terhadap kanak-kanak. Ini merangkumi diperluas bagi saluran televisyen dan media online.

Coca-Cola Singapura menyatakan pihaknya sudah mengambil langkah-langkah untuk mengurangkan pengambilan gula, sambil menarik perhatian 60 peratus produknya di sini di bawah kategori rendah gula atau bebas gula.

POKKA SINGAPURA "MENYOKONG"

Syarikat besar minuman Pokka menyatakan bahawa ia "menyokong agenda kesihatan Pemerintah Singapura" seraya menambah ia menantikan kertas perundingan MOH.

"Pokka terus berinovasi dengan produk-produk baru yang dapat menyokong kemaslahatan pelanggan Singapura dan merata dunia," menurut syarikat Jepun itu.

Singapura mempunyai kadar kencing manis paling tinggi di kalangan negara-negara maju, dengan satu daripada sembilan penduduk menghidapi penyakit itu.

- CNA/TQ/tq

Top