Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

'Chef Naughty Rabbit' tawar khidmat 'fine dining' di rumah pelanggan

Penggemar makanan kini boleh rasakan pengalaman 'fine dining' tanpa menjejak keluar dari rumah, dengan adanya khidmat oleh Cef Nabeel Firdaus Aziz.

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAMediacorp: Anda tidak tahu ke mana nak keluar makan? Ataupun restoran kegemaran anda mungkin sudah sesak dengan pelanggan?

Tidak perlu gusar kerana Cef Nabeel Firdaus Aziz kini menawarkan khidmat baru. Satu lagi berita baik buat anda - anda tidak perlu melangkah keluar dari rumah, malah semuanya ditanggung beres - dari persiapan hingga kemas mengemas.

PENGALAMAN MAKAN UNIK DI RUMAH SENDIRI
Hasrat untuk mencipta pengalaman menjamu selera dalam sekitaran unik dan menyeronokkan, mendorong Cef Nabeel Firdaus Aziz, 27 tahun, untuk meninggalkan pekerjaannya sebagai cef sepenuh masa.

Maka lahirlah khidmat 'Chef Naughty Rabbit' yang memberi para pelanggan peluang untuk menikmati jamuan mewah atau 'fine dining' di rumah mereka sendiri.

Chef Nabeel Firdaus Aziz tawarkan khidmat 'fine dining' dalam keselesaan rumah pelanggan. (Gambar-gambar: Nurul Amirah Isa/BERITAMediacorp)

Bayaran bagi khidmat cef peribadi ini pula - $75 setiap seorang bagi menu tiga sajian. Ini termasuk harga bahan mentah dan pinggan mangkuk. Pelanggan juga dapat melihat sendiri cara hidangan disajikan.

"Menu saya diilhamkan oleh tempat-tempat yang saya pernah bekerja, yang saya pernah alami dan pernah berlatih di restoran-restoran. 10 tahun saya sudah menjejakkan kaki di dalam dapur, dan saya rasa terdapat sesuatu yang kurang dalam pasaran halal ini," kata Cef Nabeel.

"Saya dapati bahawa resipi-resipi daripada restoran-restoran tidak halal dapat direka semula untuk pasaran halal kerana makanan adalah untuk semua orang," tambah beliau.

Pengamatan beliau itu tepat memenuhi keperluan golongan muda khususnya dengan sambutan yang diterima amat memberangsangkan sejak dua bulan khidmat 'Chef Naughty Rabbit' dimulakan.

TAWAR PENGALAMAN UNIK, DAPAT SAMBUTAN MEMBERANGSANGKAN

Menurut seorang pelanggannya kepada BERITAMediacorp, Encik Halimi Siddiq Abu Bakar, khidmat 'Chef Naughty Rabbit' memang lain daripada yang lain.

"Sekarang kita berada dalam zaman di mana kita ada duit tapi tidak ada masa kadang-kadang. Jadi kadangkala, agak mahal kalau ingin makan di luar, dan apa yang bagus tentang khidmat ini adalah cef itu sendiri mendidik kami, memberi kami tip, dan terdapat interaksi. Inilah yang kami inginkan - khidmat dan juga kemesraan daripada cef," kata Encik Halimi.

Bagi memastikan khidmat terbaik bagi para pelanggan, Cef Nabeel mengehadkan satu tempahan setiap hari.

Antara hidangan oleh Chef Nabeel Firdaus Aziz. (Gambar-gambar: Nurul Amirah Mohd Isa/BERITAMediacorp)

Nampaknya, perit jerih beliau menimba pengalaman memasak di bawah bimbingan cef-cef terkemuka dunia seperti di restoran Gordon Ramsay di Marina Bay Sands membuahkan hasil memuaskan.

"Saya gemar memasak dan suka melihat reaksi mereka yang menikmati hidangan saya. Jadi, di restoran macam sedih kalau tidak tahu siapa pelanggan yang makan masakan saya. Pelanggan juga suka dan rasa istimewa jika cef keluar dari dapur dan tanya 'oh! anda nikmati hidangan tadi?", ujar Cef Nabeel. 

Sumber : BERITA Mediacorp/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan