Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Cawangan Swensen's di ION Orchard ‘tutup kedai’ mulai 1 Januari

Ini berita kurang baik bagi anda yang gemarkan bufet aiskrim, khususnya dari restoran Swensen's.

Anggaran Waktu Membaca:
Cawangan Swensen's di ION Orchard ‘tutup kedai’ mulai 1 Januari

Cawangan Swensen's di ION Orchard akan ditutup selama-lamanya bermula tahun depan. (Gambar: Lovely Mera Rabe/Facebook)

BERITAmediacorp: Ini berita kurang baik bagi anda yang gemarkan bufet aiskrim, khususnya dari restoran Swensen's.

Restoran halal popular itu akan menutup cawangannya di ION Orchard pada 31 Disember ini, setelah sembilan tahun beroperasi di tapak tersebut. Cawangan berkenaan merupakan satu-satunya cawangan dari rangkaian restoran makanan Barat itu yang menghidangkan bufet aiskrim.

Restoran Swensen's ION Orchard juga merupakan hanya satu daripada dua cawangannya yang terletak di kawasan beli-belah Orchard Road. Dengan penutupannya, bermakna akan ada satu sahaja Swensen's di kawasan tersebut mulai 1 Januari 2019 - iaitu di Plaza Singapura.

Jadi, mengapa restoran di ION Orchard, yang digemari ramai pelanggan Melayu/Islam, akhirnya 'tutup kedai'? BERITAmediacorp mengajukan soalan tersebut kepada pihak pengurusan yang mengendalikan restoran tersebut.

Dalam jawapannya kepada pihak kami, Penolong Pengurus Pemasaran ABR Holdings Ltd (syarikat yang memiliki Swensen's Singapura), Cik Fiona Chin mendedahkan bahawa tempoh pajakan cawangannya di pusat beli-belah itu sudah tamat dan pihaknya "tiada rancangan untuk memperbaharuinya".

(Gambar: Tricia Shimizu/Facebook)

(Gambar: Tricia Shimizu/Facebook)

Cik Chin tidak menyebut sama ada ia ada kena mengena dengan kenaikan sewa. Namun kakitangan Swensen's ION Orchard ada memberitahu BERITAmediacorp bahawa cawangan tersebut masih dilanggani dengan baik oleh orang ramai.

"Kami berbesar hati dapat memberi khidmat kepada pelanggan kami di cawangan Swensen's ION Orchard selama ini. Kami berasa terharu dengan sokongan yang diberikan," kata Cik Chin pula.

PELANGGAN RANCANG ‘SERANG’ BUFET AISKRIM BUAT KALI TERAKHIR

Swensen's turut menghebahkan penutupan cawangan di ION Orchard itu di laman Facebooknya.

"Kepada pelanggan yang dihargai, Cawangan ION Swensen's akan ditutup selama-selamanya pada 31 Disember 2018. Terima kasih atas sokongan berterusan anda sejak beberapa tahun lalu ini," bunyi catatan tersebut pada 22 November.

Yang pasti, bufet aiskrim adalah salah satu daya tarikan utama Swensen's @ ION Orchard dan itulah yang pasti dirindui para peminat aiskrimnya.

Tinjauan BERITAmediacorp ke atas Facebook Swensen's juga mendapati, sebilangan pelanggan kini terdorong untuk menikmati bufet itu buat kali terakhir, sebelum ia pergi buat selama-lamanya.

(Gambar: Steff Lopez/Facebook)

(Gambar: Steff Lopez/Facebook)

"Apa! Tidak! Tempat terbaik bagi bufet pencuci mulut... tentu sesak sehingga Disember," komen pengguna dengan panggilan Shinju Izza.

"Harus pergi sebelum tidak ada bufet aiskrim lagi," kata Ana Mohd.

Meskipun wujud kekecewaan dalam kalangan pelanggan yang sering melanggani restoran tersebut, Cik Chin menjelaskan pelanggan masih dapat menikmati beraneka perisa aiskrim, walaupun bukan dalam konsep bufet.

"Dengan lebih 20 perisa aiskrim yang boleh dipilih di cawangan-cawangan Swensen's di serata negara, pelanggan boleh memilih pilihan 'Build Your Own Sundae' dalam menu kami," kata beliau memberi alternatif.

(Gambar: @veryeng/Instagram)

(Gambar: @veryeng/Instagram)

KINI TINGGAL 2 SWENSEN’S DI KAWASAN BANDAR

Selain di Plaza Singapura, Swensen's juga ada satu lagi cawangan di kawasan bandar, iaitu di Bugis Junction.

Penutupan Swensen's ION Orchard bermakna ia masih mempunyai sebanyak 24 cawangan Swensen's dan dua Earle Swensen's yang kekal beroperasi di seluruh Singapura.

Swensen's pertama kali bertapak di Singapura hampir 40 tahun lalu - di Thomson Plaza pada tahun 1979.

Kini, rangkaian restoran Barat yang berasal dari San Francisco itu bukan setakat menyajikan pelbagai makanan 'orang puteh' dan aiskrim sundae sahaja, tetapi ia juga menawarkan pelbagai hidangan Timur dan tempatan seperti Mee Goreng Sirloin, Nasi Lemak, King Prawn Bee Hoon Soup dan Claypot Spicy Laksa. 

Sumber : BERITA Mediacorp/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan