Images
  • Trump-Kim Burger
    Burger Trump-Kim dan Teh Ais Summit (Gambar: Royal Plaza on Scotts Singapore)

Burger Trump-Kim? Royal Plaza on Scotts sambut detik bersejarah dengan menu istimewa

SINGAPURA: Sedang Singapura bersiap sedia menjadi tuan rumah kepada sidang kemuncak Trump-Kim, Hotel Royal Plaza on Scotts (RP) turut sibuk menyambut acara bersejarah itu dengan memperkenalkan menu menarik, Burger Trump-Kim dan Teh Ais Summit.

Mencerminkan pertemuan bersejarah antara dua negara dan budaya, hidangan ini mendapat ilham daripada masakan Amerika dan Korea dengan inti burger yang diperbuat daripada campuran daging ayam cincang dan kimchi, di samping nasi gulung dan kentang goreng.

Teh ais yang dikatakan berasal dari Amerika Syarikat pula dicampur dengan perisa madu Yuzu untuk minuman Teh Ais Summit.

Menurut RP, kumpulan cefnya mula merancang dan memperbaiki menu ini sebaik sahaja Singapura diumumkan sebagai tuan rumah.

"Sidang puncak ini ialah suatu acara yang bersejarah dan merupakan langkah yang penting dalam menjalin hubungan antara dua negara. Makanan mampu menyatukan orang dan persahabatan sering bermula dari meja makan, maka itu, kami mencipta Burger Trump-Kim dan Teh Ais Summit ini," kata Pengurus Besar RP, Encik Patrick Fiat.

Dengan lokasinya yang terletak berdekatan dengan 'kawasan acara khas' Hotel Shangri-La, delegasi kedua-dua negara dan anggota media dijangka akan menginap hotel tersebut.

Sasaran RP adalah untuk menjual sebanyak 500 Burger Trump-Kim sepanjang minggu penjualannya.

Menu istimewa ini boleh didapatkan di Scotts Lounge dari 8 hingga 15 Jun, dari pukul 6.00 petang hingga 10.00 malam. Ia juga boleh dibawa pulang dari Carousel dari pukul 12.00 tengah hari hingga 8.00 malam.

Selain namanya, harga set Burger Trump-Kim ini sebenarnya merujuk kepada tarikh sidang puncak pada 12 Jun, dengan burger ini dijual pada harga S$12++ sementara teh aisnya pula S$6++.

Yang menarik, burger halal ini akan diagihkan secara percuma di luar bangunan RP pada hari sidang itu diadakan, iaitu Selasa 12 Jun pada 12.00 tengah hari dan 6.00 petang (selagi stok masih ada).

- BERITAMediacorp/ih

Komen Anda?

Top