Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Bukan 1, bukan 2 tapi ini 10 tempat untuk bawa anak anda pada cuti sekolah ini

Dari "musim kanak-kanak" di muzium-muzium merata Singapura hingga ke pesta-pesta, banyak kegiatan yang disediakan. Anda tinggal pilih sahaja.

Anggaran Waktu Membaca:
Bukan 1, bukan 2 tapi ini 10 tempat untuk bawa anak anda pada cuti sekolah ini

Rolling @ TAG di The Artground di Pusat Seni Goodman Arts. (Gambar: The Artground)

Diterbitkan : 31 May 2018 10:24PM Dikemas Kini : 31 May 2018 10:50PM

SINGAPURA: Musim cuti sekolah kembali lagi dan ini bermakna sepanjang dua atau tiga minggu mendatang, para ibu bapa akan sibuk memastikan masa terluang anak-anak mereka diisi dengan kegiatan-kegiatan bermanfaat.

Yang pasti, Singapura lazimnya menawarkan pelbagai kegiatan mesra keluarga setiap kali cuti sekolah.

Dari "musim kanak-kanak" di muzium-muzium merata Singapura hingga ke pesta-pesta, banyak kegiatan yang disediakan. Anda tinggal pilih sahaja.

Berikut beberapa kegiatan yang boleh anda selitkan dalam jadual cuti sekolah anak anda bulan ini. Mahu lakukan apa, mahu dibawa ke mana? Ayuh kita intai-intai:

1. BERSERONOK DI TAMAN PERMAINAN

Pameran yang sedang berlangsung di Muzium Negara Singapura sekarang ini mengimbau sejarah taman permainan Singapura - dan ia begitu interaktif untuk kanak-kanak.

Malah terdapat arca-arca dan seni pemasangan di bahagian rotunda muzium khas buat kanak-kanak berusia antara satu dengan tiga tahun. Terdapat juga taman permainan kembung atau

'inflatable' yang begitu popular ditempatkan di kawasan lapang di hadapan muzium.

Taman permainan bertema di Muzium Negara Singapura. (Gambar: Muzium Negara Singapura)  

Taman permainan bertema di Muzium Negara Singapura. (Gambar: Muzium Negara Singapura)

Sebaik berada di sana, anda mungkin mahu membaca buku kegiatan berkaitan taman permainan atau menonton filem animasi pendek oleh Robot Playground Media.

Kegiatan-kegiatan lain termasuk: Sensory Saturdays, di mana para ibu bapa dan anak-anak mereka boleh bermain di sudut-sudut berbeza seperti sudut air dan pasir; Tot's Thursday, di mana anda boleh membawa anak kecil anda menyaksikan persembahan tarian oleh Kueh Tutus di pameran Story of The Forest; dan sesi bercerita tentang taman permainan naga yang begitu ikonik di Singapura oleh Esther Rio.

Jika anak anda gemar mewarna, terdapat juga peraduan mewarna pada 2 Jun.

Acara-acara itu berlangsung sehingga 24 Jun di Muzium Negara Singapura.

2. ASYIKNYA SENI

Jika anda berjalan kaki, tidak jauh dari Muzium Negara, anda akan tiba di pameran seni kontemporari mesra keluarga Muzium Seni Singapura - Imaginarium.

Tema tahun ini adalah Into The Space of Time dan ia mempamerkan karya-karya seni interaktif dan mengasyikkan yang dihasilkan oleh 10 pelukis dan kumpulan dari merata dunia.

Antaranya adalah megafon raksasa karya rakyat Australia - Madeleine Flynn dan Tim Humphrey; rerumput yang dibuat daripada lampu-lampu gentian optik karya rakyat Singapura Matthew Sia; dan lubang-lubang intai serta alat filem antik karya rakyat Indonesia Boedi Widjaja.

Arca megafon di pameran Imaginarium. (Gambar: Muzium Seni Singapura)  

Arca megafon di pameran Imaginarium. (Gambar: Muzium Seni Singapura)

Pameran itu berlangsung sehingga 26 Ogos di Muzium Seni Singapura.

3. BAWA BAYI ANDA TONTON TEATER

Syarikat teater ACT 3 International sedang menganjurkan Pesta ACT3i bagi Kanak-Kanak dan keseluruhan pesta itu diadakan khusus buat bayi dan kanak-kanak berusia antara satu hingga tiga tahun, di Muzium Tamadun Asia.

Pertunjukan teater itu termasuk Paperbelle, di mana watak protagonisnya (yang hanya menggemari warna hitam dan putih) mula meneroka warna-warni di sekelilingnya; Leaf, yang mengisahkan tentang sehelai daun istimewa - anak anda juga boleh bermain dengan daun-daun pada hujung persembahan.

Leaf oleh Tam Tam Theatre di Pesta ACT3i untuk kanak-kanak. (Gambar: Tam Tam Theatre)

Leaf oleh Tam Tam Theatre di Pesta ACT3i untuk kanak-kanak. (Gambar: Tam Tam Theatre)

Pesta tersebut berlangsung sehingga 3 Jun di Muzium Tamadun Asia.

4. BAWA ANAK KE PESTA

Jika anda tinggal di kawasan timur Singapura dan tidak mahu ke bandar, anda boleh datang ke The Artground, iaitu tempat permainan baru untuk kanak-kanak di Pusat Seni Goodman di Mountbatten.

Ia sedang menganjurkan Pesta 100 (tahun) dan Lagi 100 Tahun, iaitu acara seni dwitahunan bagi para pengunjung cilik. Antara acaranya termasuk persembahan, pameran dan bengkel bagi kanak-kanak berusia sehingga 12 tahun.

Ini termasuk pertunjukan teater Especially On Birthdays, yang mengisahkan tentang kelebihan dan kekurangan dilahirkan sebagai pasangan adik-beradik kembar.

Paper Moon Puppet Theatre oleh kumpulan dari Indonesia mempersembahkan Puno di Pesta 100 dan 100 Tahun Lagi anjuran The Artground. (Gambar: Paper Moon Puppet Theatre)

Paper Moon Puppet Theatre oleh kumpulan dari Indonesia mempersembahkan Puno di Pesta 100 dan 100 Tahun Lagi anjuran The Artground. (Gambar: Paper Moon Puppet Theatre)

Pameran seni visual itu juga termasuk ruang interaktif Rolling @ TAG, untuk anak-anak anda bermain.

Pesta itu berlangsung sehingga 3 Jun di Pusat Seni Goodman, 90 Goodman Road.

5. TEROKA DUNIA ENID BLYTON

Apakah cara terbaik untuk memperkenalkan anak anda kepada karya penulis terkemuka Enid Blyton? Bawa mereka ke tempat di mana buku-buku popular beliau "dihidupkan".

Pesta kanak-kanak ini akan menghidupkan karya The Magic Faraway Tree oleh penulis terkemuka Enid Blyton. (Gambar: Taman di Pesisiran)

Pesta kanak-kanak ini akan menghidupkan karya The Magic Faraway Tree oleh penulis terkemuka Enid Blyton. (Gambar: Taman di Pesisiran)

Salah satu buku - The Magic Faraway Tree - akan 'dihidupkan' di Supertree Grove di Taman di Pesisiran. Ia adalah acara bertema terbesar daripada siri tersebut - Land of Enchantments, Land of Tea Paries, Land of Toys dan Land of Nursery Rhymes - di mana anak-anak-anak anda boleh mencuba pelbagai permainan, mengikuti sesi bercerita dan juga pertunjukan silap mata.

Ia berlangsung sehingga 10 Jun di Taman di Pesisiran.

6. 'LEPAK' BERSAMA JAKE, FINN & THE WE CARE BEARS

Jika sebelum ini anda sekeluarga menonton kartun-kartun di saluran Cartoon Network, cuti sekolah ini anda boleh membawa anak-anak 'bertemu' watak-watak kegemaran mereka.

Selain permainan-permainan karnival, terdapat juga zon-zon khusus bagi setiap siri kartun berbeza. Semuanya di pesta Animate Your Life (Animasikan Hidup Anda) oleh Cartoon Network.

Pesta Animasikan Hidup Anda oleh Cartoon Network. (Gambar: The Rainmaker Marketing Group)

Pesta Animasikan Hidup Anda oleh Cartoon Network. (Gambar: The Rainmaker Marketing Group)

Tidak kira tua atau muda, semua orang boleh melompat-lompat di zon trampolin Powerpuff Girls; meneroka pagar sesat, berselirat (maze) di zon Adventure Time (di sana terdapat juga mesin buih raksasa!); meluncur ke dalam lautan bebola di zon We Bare Bears; dan harungi cabaran-cabaran di zon Ben 10.

Karnival itu berlangsung sehingga 10 Jun di Bayfront Plaza, Taman di Pesisira.

7. INI CARANYA UNTUK KE SESAME STREET

Mudah saja: Datang ke Lapangan Terbang Changi, di mana anda boleh bersenggol bahu dengan Elmo, Cookie Monster, Bert dan Ernie serta rakan-rakan mereka.

Antara kegiatan menarik termasuk: Sesame Street 'S Is For Sharing, iaitu pertunjukan 'live' menonjolkan beberapa watak Sesame Street kesayangan ramai, sesi bertemu mesra dengan watak-watak tersebut dan taman permainan 'inflatable'.

(Gambar: Lapangan Terbang Changi)

(Gambar: Lapangan Terbang Changi)

Mesin-mesin layan diri 'gachapon' Cookie Monster dan Elmo raksasa, kembara gelongsor dan galeri pameran Teroka Eropah yang diperbuat daripada kadbod (sempena penerbangan terbaru dari Singapura ke Berlin yang ditawarkan Scoot pada 20 Jun).

Sesame Street akan menanti anda sekeluarga di Terminal 3 dan 4 Lapangan Terbang Changi sehingga 24 Jun nanti.

8. BONEKA ESPLANADE

Acara tahunan Esplanade, pesta kanak-kanak Flipside, sentiasa membuat kejutan-kejutan menarik.

Tahun ini, salah satu acara yang perlu anda saksikan adalah String Symphony oleh Teater Spare Parts Puppet Australia dan ia percuma!

Anda dan lagi 11 penonton boleh mencuba menjadi 'tok dalang' kepada patung raksasa yang diperbuat daripada tali.

String Symphony oleh Spare Parts Puppet Theatre di Pesta Flipside Esplanade. (Gambar: Esplanade)

String Symphony oleh Spare Parts Puppet Theatre di Pesta Flipside Esplanade. (Gambar: Esplanade)

Beberapa lagi kegiatan berbayar juga disediakan buat para pengunjung di Esplande.

Acara itu berlangsung sehingga Ahad ini (3 Jun). 

9. BUAT SENDIRI KOSTUM 'SUPERHERO' ANDA

Kumpulan seni inklusif, Superhero Me akan mengadakan bengkel-bengkel untuk menghasilkan "kostum wira" di Muzium ArtScience.

Bagi setiap sesi berbeza, anak-anak anda boleh menghasilkan "perisai wira" dan gelang daya tahan. Selain itu, anak-anak anda boleh berinteraksi dengan kanak-kanak lain dari keluarga kurang bernasib baik dan berkeperluan khas.

(Gambar: Superhero Me)

(Gambar: Superhero Me)

Terlanjur sudah berada di Muzium ArtScience, jangan lupa kunjungi pameran-pameran mesra keluarga yang lain di sana.

Bengkel-Bengkel tersebut diadakan pada 10, 17 dan 24 Jun pada pukul 2.30 petang dan 5.30 petang.

10. CUBA PERMAINAN ZAMAN 'TOK NENEK' KITA

Tinggalkan iPad di rumah. Seiring dengan pameran sementara yang masih berlangsung di Muzium Sukan Singapura - Games of Yesteryear - terdapat kegiatan-kegiatan lain di mana kanak-kanak boleh bermain congkak, capteh dan tapak kuda.

Acara itu berlangsung pada pukul 11.30 pagi dan 12.30 tengah hari pada 2 dan 9 Jun di Muzium Sukan Singapura, 6 Stadium Walk.

Sumber : CNA/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan