Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Budak 7 tahun ini raih pendapatan S$30 juta setahun dari YouTube

Seperti kanak-kanak biasa, Ryan gemar meluangkan masa bermain dengan pelbagai alat permainan. Ini termasuk Lego serta permainan kereta api dan kereta. 

Anggaran Waktu Membaca:
Budak 7 tahun ini raih pendapatan S$30 juta setahun dari YouTube

Ryan berjaya meraih pendapatan AS$22 juta (S$30 juta) sepanjang setahun lalu dan mempunyai lebih 17 juta pengikut di YouTube.

Diterbitkan : 04 Dec 2018 11:03AM Dikemas Kini : 04 Dec 2018 11:12AM

AMERIKA SYARIKAT: Seperti kanak-kanak biasa, Ryan gemar meluangkan masa bermain dengan pelbagai alat permainan. Ini termasuk Lego serta permainan kereta api dan kereta. Namun tidak seperti kanak-kanak sebayanya, Ryan meraih pendapatan AS$22 juta (S$30 juta) sepanjang setahun lalu dan mempunyai lebih 17 juta pengikut di YouTube.

Baru-baru ini, Forbes mengeluarkan senarai penerima bayaran tertinggi YouTube dan kanak-kanak berusia 7 tahun itu, Ryan dari Ryan Toysreview, mendahului senarai tersebut.

"Saya sangat menghiburkan dan kelakar," kata Ryan kepada NBC. Ryan mempunyai impian untuk menjadi seorang pengeluar mainan apabila dewasa kelak.

Keistimewaan budak lelaki ini semata-mata pada kebolehannya membuat ulasan pelbagai mainan kanak-kanak menerusi YouTube.

Video-video pendek Ryan - di mana beliau bermain dan memberi ulasan mengenai alat permainan terbarunya - ditonton hampir 26 bilion kali sejak beliau dan keluarganya melancarkan laman YouTube itu pada Mac 2015.

Video di mana beliau membuka bungkusan yang mengandungi 100 mainan kereta menjadi tular pada tahun itu, menjadikannya popular.

Ryan kini mempunyai jenama mainan dan pakaiannya sendiri di bawah jenama 'Ryan World' yang dijual di Walmart. Mainan yang dipaparkan dalam videonya pula pantas dijual dalam tempoh beberapa minit sahaja. Selain itu, terdapat juga rancangan untuk menerbitkan semula videonya dan sebarkan menerusi Amazon dan Hulu.

Pada tahun lalu, Ryan menduduki tempat kelapan dalam senarai Forbes, menurut Business Insider.

Bintang YouTube lain di dalam senarai itu semuanya berusia dalam lingkungan 20-an dan 30-an tahun. Ramai daripada mereka adalah pemain game di internet seperti Vanoss Gaming dari Kanada (tempat ketujuh) dan Markiplier dari Hawaii (tempat keenam). Jake Paul pula menduduki tempat kedua dengan meraih pendapatan AS$21.5 juta (S$29.4 juta). 

Forbes mengukur pendapatan yang diraih sebelum potongan cukai, antara 1 Jun 2017 hingga 1 Jun 2018 sebelum mengeluarkan senarai tersebut. Ia tidak termasuk bayaran ejen, pengurus dan peguam.  

Sumber : CNA/AI/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan